Isnin, 27 Mei 2024 | 11:51am
Ibu bapa boleh bentuk persekitaran kondusif dengan menggalakkan komunikasi terbuka dan berkongsi pandangan dalam penyelesaian konflik anak.- Foto hiasan
Ibu bapa boleh bentuk persekitaran kondusif dengan menggalakkan komunikasi terbuka dan berkongsi pandangan dalam penyelesaian konflik anak.- Foto hiasan

Elak si kecil bercakaran, cuba 4 langkah atasi penyelesaian konflik anak

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memberi pendedahan kemahiran penyelesaian konflik kepada anak seawal usia, iaitu ketika berumur tiga hingga empat tahun bagi membantu mereka membangunkan kemahiran sosial dan mengekalkan kesejahteraan emosi.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pembangunan Profesional dan Pendidikan Lanjutan

Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Noormi Alias, berkata

mengajar kemahiran penyelesaian konflik kepada anak adalah sebahagian daripada kemahiran keibubapaan positif.

Katanya, dengan memberi pendedahan yang bersesuaian mengenai pengurusan konflik, ibu bapa dapat memperkasakan anak dengan sifat empati, kasih sayang, membangun kaedah komunikasi berkesan dan membentuk peribadi mereka.

"Konflik kanak-kanak yang dilahirkan dengan ketersediaan pelbagai jenis teknologi pada zaman ini adalah kompleks.

"Konflik yang mereka hadapi bukan lagi terhad kepada konflik berlaku melalui interaksi bersemuka, malah turut terdedah dengan pelbagai jenis konflik yang berlaku di alam maya.

"Melalui penggunaan pengukuhan positif yang bersesuaian, ibu bapa dapat memperkasakan anak untuk mengenal pasti gejala konflik dan kaedah terbaik untuk menanganinya.

"Pada usia seawal tiga hingga empat tahun, kanak-kanak sudah mula terdedah dengan konflik dengan ibu bapa, adik-beradik dan rakan sepermainan.

"Justeru, kebolehan mengawal situasi melalui pengaplikasian kaedah mengurus konflik. Melalui proses ini, mereka akan belajar mengenai kewujudan perbezaan dan kepelbagaian, kecenderungan untuk berlakunya bias dalam pemilihan dan keperluan untuk mencapai kata sepakat," katanya.

Siti Noormi berkata, faktor usia yang masih terlalu muda, pengenalan kemahiran sebegini dapat mengelakkan mereka daripada masalah buli atau diasingkan oleh rakan.

Anak-anak akan berasa lebih berkeyakinan untuk menyatakan kehendak mereka pada masa sama turut mempertimbangkan keperluan orang lain atau lebih bertimbang rasa.

Antara strategi digunakan oleh ibu bapa adalah dengan menunjukkan contoh amalan yang baik sekali gus dapat menjadi model kepada anak-anak.

"Antaranya menggunakan nada suara sesuai mengikut situasi, mengawal emosi dan membiasakan perbincangan sesama ahli keluarga untuk menyelesaikan sesuatu isu.

"Anak perlu diperkenalkan dengan komunikasi tanpa keganasan dan komunikasi terbuka. Mereka perlu diberi pemahaman bahawa pemilihan perkataan, ekspresi muka, gestur badan dan sebagainya boleh memberi kesan kepada orang lain," katanya.

Selain itu, ibu bapa boleh membentuk persekitaran yang menggalakkan komunikasi terbuka supaya anak dapat menyatakan perasaan dan pandangan mereka.

4 langkah atasi konflik anak

"Empat langkah menguruskan konflik, iaitu merangkumi (1) giliran anda, (2) giliran saya, (3) perancangan bersama, (4) tindakan susulan boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam interaksi harian bersama anak-anak.

"Empat langkah ini antara strategi mengajar anak mengenai teknik penyelesaian masalah.

"Akhir sekali, tindakan susulan penting bagi kedua-dua pihak untuk menilai sama ada konflik itu berjaya diselesaikan ataupun tidak berdasarkan kriteria ditetapkan," katanya.

"Jadi, kemahiran pengurusan konflik penting kepada anak dan ibu bapa pula boleh mengaplikasikan pelbagai teknik bagi memberi pendedahan kepada mereka," katanya.

Ibu bapa perlu mengamalkan kaedah pengurusan konflik yang betul, ibubapa akan menjadi model penting kepada pengurusan konflik berkesan bagi kanak-kanak.

Berita Harian X