Sabtu, 6 April 2024 | 3:33pm
 Siti Norsyakila tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini. Gambar NSTP/ Paya Linda Yahya
Siti Norsyakila tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini. Gambar NSTP/ Paya Linda Yahya

Tempahan jahit baju tidak surut

GUA MUSANG: Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, seorang tukang jahit wanita Orang Asli dari Kampung Lambok, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Walaupun terdapat pelbagai tawaran fesyen baju raya secara dalam talian, ia tidak sekalipun memberi kesan kepada Siti Norsyakila Kamarzaman, 35, yang berkhidmat sebagai tukang jahit 15 tahun lalu.

Bahkan tempahan jahitan baju raya yang diterima wanita Orang Asli suku kaum Temiar ini lebih sekali ganda daripada tahun lalu.

Menurut Siti Norsyakila kerana tempahan yang diterima melebihi jangkaan, dia terpaksa mengupah pekerja untuk membantunya.

"Pada tahun ini, saya mendapat tempahan baju raya lebih 60 pasang untuk sambutan Aidilfitri nanti, berbanding hanya 30 pasang pada bulan biasa.

"Kerana baju yang dijahit adalah terdiri daripada pelbagai fesyen, jadi masa yang diambil agak lama untuk menyiapkan sepasang baju. Selain baju kurung saya juga menerima tempahan jahitan baju kurung moden, kebaya, kurta dan baju Melayu.

"Persaingan dengan pakaian yang dijual secara dalam talian tidak menjejaskan pendapatan kerana masih ramai pelanggan yang mahukan khidmat tukang jahit. Mereka selesa dengan ukuran serta jahitan yang diambil sendiri oleh tukang jahit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lambok, RPS Kuala Betis, di sini.

Beliau yang juga usahawan jahitan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berkata, pada tahun ini baju kurung moden dan kebaya mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggannya.

Katanya, upah jahitan baju adalah bergantung kepada fesyen baju yang ingin dijahit oleh pelanggan.

"Untuk baju kurung upah jahitan bermula pada harga RM40 ke atas dan selain itu mengikut fesyen yang dimahukan pelanggan, manakala baju lelaki pula harga bermula RM35 sehingga RM80 untuk sepasang.

"Untuk tahun ini fesyen pakaian yang mendapat sambutan tinggi adalah baju kurung moden dan kebaya.

Upah jahitan baju yang dikenakan adalah bergantung kepada fesyen baju yang ingin dijahit oleh pelanggan. Gambar NSTP/Paya Linda Yahya
Upah jahitan baju yang dikenakan adalah bergantung kepada fesyen baju yang ingin dijahit oleh pelanggan. Gambar NSTP/Paya Linda Yahya

"Kebanyakan pelanggan saya ialah penduduk RPS Kuala Betis dan ada juga pelanggan dari luar daerah ini yang menghantar tempahan melalui perkhidmatan pos," katanya.

Berita Harian X