Sabtu, 30 March 2024 | 8:23am
Nor Asmida menerima tempahan kira-kira 250 akok bunga setiap hari. - Foto BH
Nor Asmida menerima tempahan kira-kira 250 akok bunga setiap hari. - Foto BH

Guna 400 telur sehari hasilkan 250 akok bunga

GUA MUSANG: Pasangan suami isteri memperuntukkan masa sembilan jam setiap hari bagi menyiapkan tempahan sebanyak 250 biji akok bunga daripada pelanggannya untuk juadah berbuka puasa.

Pasangan suami isteri, Hafiz Nasir, 37, dan Nor Asmida Arif, 33, bersyukur sejak lebih 10 tahun akok bunga yang juga dikenali kuih piana buatan mereka sentiasa mendapat sambutan dan tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan khususnya menjelang Ramadan, setiap tahun.

Menurut Nor Asmida, beliau menerima tempahan kira-kira 250 akok bunga yang dimasak di dapur rumah ibu mereka setiap hari.

Katanya, seawal jam 10 pagi beliau dan suami serta dibantu ibu mentua akan menyiapkan tempahan akok bunga yang diterima pelanggan di sekitar bandar ini.

"Proses membuat adunan akok bunga mengambil masa setengah jam bermula dengan mengisar daun pandan kerana kami tidak menggunakan bahan pewarna.

Pasangan suami isteri memperuntukkan masa sembilan jam setiap hari bagi menyiapkan tempahan sebanyak 250 biji akok bunga daripada pelanggannya untuk juadah berbuka puasa. - Foto BH
Pasangan suami isteri memperuntukkan masa sembilan jam setiap hari bagi menyiapkan tempahan sebanyak 250 biji akok bunga daripada pelanggannya untuk juadah berbuka puasa. - Foto BH

"Setiap hari kami akan membuat untuk pelanggan yang menempah sahaja. Akok bunga kami tidak dijual di kedai atau pasar, pelanggan yang berminat nak beli perlu membuat tempahan awal dan datang rumah mengambil sendiri atau boleh menggunakan khidmat penghantaran makanan.

"Jika ada permintaan lebih daripada jumlah itu, saya terpaksa menolak kerana kekangan masa dan hanya menggunakan satu ketuhar pembakar," katanya ketika ditemui di Taman Wangi, di sini.

Menurut Nor Asmida, setiap hari dia menggunakan lebih 400 biji telur untuk membuat akok bunga yang dijual RM8 sebiji kepada pelanggan.

"Selain telur, bahan lain adalah santan segar yang dibeli setiap hari. Jadi kualiti kuih ini terjamin dan tidak mudah rosak walaupun sehingga waktu sahur," kata ibu tiga anak ini.

Menurut Hafiz, setiap hari tugasannya untuk membakar adunan kuih itu.

"Sekarang kerja membakar Akok semakin mudah apabila menggunakan ketuhar berbanding sebelum ini menggunakan arang dan dimasak satu-persatu," katanya.

Berita Harian X