Selasa, 26 March 2024 | 8:59am
Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan Bazar Ramadan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. - Foto hiasan
Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan Bazar Ramadan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. - Foto hiasan

'Masak sendiri kena selera, lauk tahan hingga ke sahur'

KUALA LUMPUR: Pernah mendapat makanan tidak elok dan tidak sedap apabila membeli di bazar Ramadan, membuat ada yang memilih memasak untuk berbuka puasa.

Selain itu, makanan yang dimasak sendiri juga lebih kena dengan selera tekak dan mampu bertahan sehingga waktu bersahur.

Suri rumah, Azidah Abd Aziz, 42, berkata dia pernah terbeli makanan yang tidak sedap di Bazar Ramadan dan ia amat merugikan kerana terpaksa dibuang.

Ibu lima anak itu akui, kini dia lebih selesa memasak sendiri kerana ia lebih menjimatkan, lebih-lebih lagi apabila mempunyai ramai ahli keluarga.

"Malah, apabila memasak seperti lauk-pauk, lebih tahan lama dan boleh dimakan sehingga sahur, boleh nikmati juadah seperti asam pedas, kari, kadang kala saya masak bihun goreng dan sandwich ikut permintaan anak," katanya.

Tahun ini dia sekeluarga belum lagi ke bazar Ramadan dan pada tahun lalu hanya dua atau tiga kali membeli makanan di bazar.

Jika perlu membeli juadah dia dan suami akan ke kedai yang sudah biasa kerana tahu makanan yang dijual sedap dan enggan membazir dengan membuang makanan berkenaan jika tidak enak.

Bagi pegawai bank, Azlin Yazid, 45, berkata dia turut memilih masak juadah berbuka puasa untuk sekeluarga kerana yakin makanan dimasak sendiri lebih bersih.

Ibu tiga anak itu berkata, walaupun bekerja, tetapi dia memilih masak siap-siap lauk pada setiap hujung minggu dan menyejukbekukannya.

"Saya sampai rumah dari tempat kerja kira-kira jam 7 malam dan memang tidak sempat masak lauk atau ke bazar Ramadan.

"Jadi setiap hujung minggu saya akan masak siap-siap lauk untuk disajikan pada waktu berbuka puasa setiap hari.

"Kuih-muih saya akan memilih yang sejuk beku dan apabila mahu makan hanya perlu goreng sahaja," katanya menetap di Kajang.

Masak untuk anak, cucu

Bagi Misslia Ismail, 66, walaupun hanya berdua bersama anak, dia tetap memasak sekurang-kurangnya satu lauk untuk berbuka puasa.

Namun, katanya, setiap hujung minggu semua enam anaknya akan berkumpul di rumahnya.

"Jadi, saya tetap akan memasak kerana anak dan cucu mahu memakan juadah air tangan saya.

"Malah, ketika berkumpul saya akan masak menu tambahan seperti kuih-muih diminta mereka," kata nenek kepada enam cucu itu.

Berbeza Azwani Salleh, 35, dari Kajang, dia tiada pilihan dan perlu membeli makanan berbuka puasa setiap hari.

Bekerja sebagai jurujual dari jam 10 pagi sehingga 10 malam menyebabkan tiada masa memasak.

"Jadi, setiap hari RM8 sehingga RM12 dibelanjakan untuk menu berbuka dibeli di kawasan tempat bekerja," kata ibu kepada dua anak itu.

Dari kiri: Misslia Ismail, Azlin Yazid dan Azidah Abd Aziz.
Dari kiri: Misslia Ismail, Azlin Yazid dan Azidah Abd Aziz.

Berita Harian X