Selasa, 19 March 2024 | 8:27am
Fatimah (dua dari kanan) bersama keluarganya yang menetap di London sejak 25 tahun lalu.
Fatimah (dua dari kanan) bersama keluarganya yang menetap di London sejak 25 tahun lalu.

Cabaran berpuasa di perantauan

KUALA LUMPUR: 'Alah biasa tegal biasa', begitulah situasi rakyat Malaysia yang berpuasa di perantauan khususnya di negara empat musim berikutan perubahan cuaca, namun dilakukan dengan penuh kesabaran termasuk pernah berpuasa selama 20 jam.

Pensyarah Perakaunan di Universiti Southampton dan menetap di Westbury, Wiltshire, United Kingdom (UK), Dr Fatimah Zainudin, mengakui berpuasa penuh mencabar apabila perlu berpuasa dalam pelbagai cuaca selain berbuka puasa dalam pelbagai keadaan.

"Saya dan keluarga pernah berpuasa sehingga 20 jam, sembilan tahun lalu dan ketika itu juga saya sedang sarat mengandung lapan bulan anak bongsu.

"Malah, sepanjang 25 tahun tinggal di sana, kami sekeluarga juga pernah berpuasa tempoh pendek, iaitu kira-kira 10 jam.

"Selain itu, saya juga pernah berbuka puasa ketika sedang mengajar dan hanya sempat minum sebelum perlu menyambung mengajar," kata ibu kepada tiga anak itu.

Fatimah berkata, jika diberi pilihan beliau memang mahu berpuasa di tanah air sahaja kerana amat rindukan kemeriahan suasana berpuasa terutama apabila arwah bapanya menjadikan amalan berbuka puasa di masjid.

Katanya, sejak dari kecil dia dan adik-beradik dididik untuk berbuka puasa, tarawih dan bertadarus di masjid berhampiran rumah mereka iaitu Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.

"Walaupun amalan itu saya bawa sehingga ke UK dan akan berbuka puasa bersama keluarga di Masjid An-Nur yang terletak kira-kira 10 minit dari rumah, tetapi suasananya amat berbeza.

"Ini kerana masjid di sini penuh dengan komuniti daripada Maghribi dan kami berbuka puasa dengan makanan yang setiap hari ditaja oleh restoran berhampiran sini.

"Tapi kadangkala, saya juga akan membawa sendiri makanan yang dimasak dari rumah untuk berbuka puasa di masjid," katanya.

Namun katanya, apa yang menggembirakannya apabila dapat berbuka puasa di masjid berkenaan adalah suasananya seakan berada di Makkah dan Madinah.

Katanya, ketika masih kecil ibu bapanya pernah membawa dia dan adik beradik menjalani ibadat umrah pada Ramadan.

"Jadi apabila berada di masjid, saya sentiasa akan terkenangkan suasana ketika berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

"Malah, apabila imam membaca doa di dalam bahasa Arab, walaupun kurang faham, tetapi ia menusuk ke kalbu," katanya yang setiap tahun akan pulang ke tanah air untuk berjumpa keluarganya dan keluarga mentua di Sungai Petani, Kedah.

Fatimah berkata, beliau bersyukur apabila bahan untuk memasak makanan Melayu kini semakin mudah diperoleh berbanding 20 tahun lalu.

"Walaupun saya tinggal di kawasan perkampungan orang Inggeris, tetapi bahan-bahan seperti daun kari, serai, daun limau purut dan sebagainya banyak dijual di kedai barangan Asia.

"Saya selalu masak kari dan asam pedas kerana ia makanan kegemaran suami, jadi bahan-bahan untuk memasak kedua-dua menu itu tiada masalah diperoleh selain boleh didapati menerusi dalam talian," katanya.

Belajar hidup sendiri

Hana kali pertama berpuasa di negara orang.
Hana kali pertama berpuasa di negara orang.

Sementara itu, bagi pelajar bidang Kewangan di Universiti Manchester, UK, Hana Elisa Mohd Faisal, 21, pula tahun ini kali pertama beliau berpuasa di perantauan dan mengakui amat merindui keluarga dan pelbagai kuih-muih Melayu.

Katanya, pada Ramadan ini, sejak September tahun lalu beliau perlu belajar hidup sendiri di perantauan.

"Tapi, saya gembira kerana ada dua lagi rakan serumah juga rakan dari zaman kolej, bergilir-gilir masak pelbagai juadah Melayu untuk berbuka puasa setiap hari.

"Kami berbuka puasa di surau dan berpeluang menikmati pelbagai juadah seperti nasi beriani dan nasi Arab.

"Paling saya rindukan kuih-muih terutama tepung pelita dibeli di bazar Ramadan di tanah air. Memang boleh buat sendiri, tapi belum berkesempatan disebabkan kekangan masa,," kata anak kedua empat beradik ini.

Beliau tetap teruja kerana berpeluang menyambut Ramadan di negara orang dan yakin dapat belajar banyak perkara apabila berada di perantauan.

"Saya sering menghubungi keluarga, jadi dapat kurangkan sikit rasa kerinduan," katanya bercita-cita menjadi penganalisis kewangan.

Setakat ini, belum buat persiapan untuk menyambut raya, manakala dia dan rakan dari Malaysia, berhasrat untuk berkumpul bersama-sama.

Beliau akan tamat pengajian pada 2026 berkata, mereka akan bertukar juadah seperti ketupat dan rendang dan sudah pasti ia akan mengubat kerinduan kepada suasana Aidilfitri di kampung halaman.

Berita Harian X