Selasa, 12 March 2024 | 12:18pm
Semakin banyak butik, kedai pakaian dan pasar raya menyediakan baju raya siap dipakai mengikut cita rasa terkini. - Foto hiasan
Semakin banyak butik, kedai pakaian dan pasar raya menyediakan baju raya siap dipakai mengikut cita rasa terkini. - Foto hiasan

Baju raya siap dijahit lebih murah dan banyak pilihan

KUALA LUMPUR: Lebih murah dan banyak pilihan menyebabkan ramai memilih untuk membeli baju raya siap dipakai atau Ready To Wear (RTW) berbanding menempah untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

Selain itu, baju raya siap dipakai boleh didapati di butik dan pusat beli-belah, selain lambakan pelbagai jenama mudah dibeli secara dalam talian.

Pensyarah, Rubiah Mohd Yunus, 39, berkata dia mula membeli baju raya siap dipakai sejak 2014 kerana lebih murah.

Katanya, ketika itu semakin banyak butik dan kedai pakaian menyediakan aneka pilihan baju raya yang cantik.

"Itu membuatkan saya membeli baju raya berbanding menempah yang bukan saja kain mahal, tetapi juga kos menempah pakaian juga sudah semakin mahal," katanya.

Ibu tiga anak itu selalu membuat persiapan raya menjelang Ramadan bagi mendapatkan suasana Aidilfitri, berkata suaminya juga tidak kisah mereka sekeluarga membeli pakaian raya kerana lebih jimat.

Kakitangan swasta, Norhani Zainal, 50, berkata sejak empat tahun lalu dia mula membeli baju raya siap dipakai.

Selain lebih murah, ia mudah dibeli di platform e-dagang jika tiada masa untuk ke kedai.

"Bagi saya baju raya siap jahit ini semakin mudah dibeli dan tidak perlu risau saiz kerana sekarang sudah banyak pilihan selain selesa dipakai walaupun harga murah," katanya yang menetap di Setia Alam.

Selesa tempah baju

Bagi Zamnah Abdul Malik, 64, pula dia lebih selesa menempah baju kurung dari dulu sehingga sekarang dengan tukang jahit kegemarannya.

Katanya, menempah baju kurung lebih selesa kerana mengikut saiz badan berbanding jika beli siap bimbang saiz tidak sesuai.

"Memang kos upah menjahit naik saban tahun malah kini semakin mahal.

"Tapi saya lebih selesa menempah dari dulu kerana bukan sahaja boleh memilih jenis kain tetapi juga boleh memilih rekaan yang saya mahu," kata nenek kepada lima cucu itu.

Tukang jahit, Rafidah Asri, 39, mengakui tempahan baju kurung untuk Aidilfitri semakin berkurang sejak beberapa tahun ini.

Malah katanya, sejak selepas pandemik COVID-19, jumlah tempahan pakaian lebih ketara menurun sehingga kini.

"Malah sejak beberapa tahun ini, saya dapati jumlah mengubah baju kurung dan baju Melayu siap jahit pula semakin bertambah," katanya yang masih mengambil tempahan baju kurung ketika ini.

Namun katanya, mulai tahun ini, dia membuka tempahan menjahit baju kurung lebih awal iaitu tiga bulan lalu kerana tidak mahu menjahit pada Ramadan.

"Sebelum ini ketika tempahan banyak, saya masih menjahit lagi sehingga ke malam raya dan sangat letih.

"Tetapi tahun ini saya tidak lagi mahu menjahit pada Ramadan kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah tarawih," katanya.

Namun, ibu tujuh anak itu berkata, mulai Ramadan ini dia akan berniaga ikan bakar di bazar Ramadan bagi menambah pendapatan keluarga.

"Saya memilih berniaga kerana hanya perlu masak sehingga waktu siang sahaja dan malam boleh berehat serta memberi tumpuan kepada ibadah," katanya yang menetap di Pantai Dalam, di sini.

Berita Harian X