Selasa, 27 Februari 2024 | 12:11pm
Maryam dan Ryzal Ibrahim masing-masing 32 tahun pempengaruh media sosial di saluran Durian Kimchi memaparkan kehidupan harian, aktiviti memasak, kini banyak kandungan keibubapaan menarik untuk keluarga campur Melayu-Korea Selatan.
Maryam dan Ryzal Ibrahim masing-masing 32 tahun pempengaruh media sosial di saluran Durian Kimchi memaparkan kehidupan harian, aktiviti memasak, kini banyak kandungan keibubapaan menarik untuk keluarga campur Melayu-Korea Selatan.

Rina anak kacukan Melayu-Korea, baru berusia 2 tahun boleh berzikir, baca surah pendek

GELAGAT dan tutur katanya sering menghiburkan, membuatkan ramai terleka untuk terus menonton satu demi video Maryam You Narae, wanita berasal dari Ansan, Gyeonggi-do, Korea Selatan kini diulit bahagia membesarkan anak perempuan comel yang berusia dua tahun lebih.

Malah, tumpuan warganet terhadap video terbaharu anaknya, Rina mendapat pujian ramai kerana kepandaiannya dilihat lancar mengalunkan zikir mengikut pemain multimedia dipasang dalam kenderaan dipandu bapanya.

Begitulah populariti tiga beranak berkenaan, yang tidak hanya tertumpu di laman sosial peribadi, berikutan Maryam dan suami, Ryzal Ibrahim masing-masing 32 tahun pempengaruh media sosial di saluran Durian Kimchi, malah sering memaparkan kehidupan harian dan aktiviti memasak, kini banyak kandungan keibubapaan menarik dikongsi oleh keluarga campur Melayu-Korea Selatan itu.

Cinta merpati sejoli dua benua ini disatukan pada 17 Ogos 2019 dan Masjid Itaewon, Seoul, untuk mengabadikan kenangan terindah serta memeterai hubungan dengan ikatan perkahwinan mencuri tumpuan umum.

Tambah membahagiakan, rumah tangga diserikan dengan kehadiran Rina gabungan nama Rizal dan Narae, yang dibesarkan dalam suasana budaya campur.

Ryzal utama pendidikan Islam dan nilai murni kepada Maryam dan Rina.
Ryzal utama pendidikan Islam dan nilai murni kepada Maryam dan Rina.

Menurut pasangan ini, mereka sepakat membesarkan Rina dengan mengutamakan didikan Islam dan pada masa sama tidak meminggirkan jati diri budaya Korea supaya tidak kekok sebagai Muslim berdarah Korea Selatan.

Lantas, Ryzal menghantar Rina ke sekolah ketika usia setahun enam bulan, pada tahun lalu untuk memberikan pendedahan awal pendidikan kerana mengikut perancangannya beliau mahu menyekolahkan anaknya di Korea Selatan.

"Saya menerapkan nilai agama melalui teladan kepada Rina dan pastinya juga Maryam seperti membaca doa makan. Saya solat dahulu supaya mereka melihat dan ada keinginan sendiri mahu melakukannya tanpa rasa terpaksa.

"Perbuatan melalui teladan itu memberikan impak positif kerana anak kecil mudah menyerap atau meniru tingkah laku orang dewasa.

"Syukur Rina sudah boleh mengikut alunan zikir, membaca doa-doa pendek serta mengikut aturan dalam solat hanya dengan melihat saya dan isteri mengamalkannya. Saya mengakui kepantasannya meniru sama seperti ibunya.

Mendidik mualaf bukan tugas muda

"Saya melihat banyak perkembangan positif, walaupun diakui hingga kini dia belum mahir 100 peratus solat.

"Namun, pencapaiannya semakin baik dan saya tidak sesekali memaksa dia yang memerlukan masa untuk mengadaptasi.

"Mendidik mualaf bukan tugas mudah kerana ia berkaitan menukarkan kefahaman serta kepercayaan kepada agama Islam. Jika dia kepenatan saya solat sendirian dan biarkan saja dia tertidur kerana faham keadaan dirinya kepenatan," katanya ketika ditemui BH di kediamannya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rina pandai baca surah pendek, berzikir

Tidak musthil mengapa, cara didikan Rina turut menjadi tumpuan warganet. Terbaharu video Rina mendapat pujian ramai kerana kepandaiannya dilihat lancar mengalunkan zikir mengikut pemain multimedia dipasang dalam kenderaan dipandu Ryzal.

Akui Ryzal memang kerap memasang alunan zikir sama ada di rumah atau ketika di dalam kenderaan supaya Rina terdedah kepada ayat suci al-Quran sejak awal usia.

Selain itu, perhatian tetap terarah kepada Maryam kerana dia bukan saja seorang usahawan serta menyerlah dalam dunia lakonan, tetapi bergelut tanggungjawab sebagai ibu.

Pastinya corak didikan kepada Rina menjadi perhatian kerana dibesarkan dalam dua budaya berbeza.

Menurut Maryam, Rina didedahkan dengan buku pelbagai bahasa terutama bahasa Inggeris dan Korea sebagai asas pembelajaran pertama pada usia dua tahun.

"Seperti kanak-kanak lain dia juga menonton persembahan kumpulan terkenal, 'Black Pink' serta kartun bahasa Melayu dan Inggeris supaya dapat mempelajari bahasa dengan baik.

"Di rumah kami banyak berkomunikasi menggunakan bahasa Korea, bahasa Melayu serta Inggeris.

"Memandangkan dia di sekolah dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang, kami mempunyai waktu agak terhad, makan malam bersama, memandikannya serta bermain permainan di bilik air.

"Malam elak asyik dengan hiburan di telefon bimbit, sebaliknya kami akan mengajaknya menonton siri anime Jepun. Sejak usia Rina setahun lebih juga sudah biasa tidur di bilik sendiri," katanya menjadikan rutin membacakan buku Islamik dan belajar bahasa Korea kepada permata hatinya itu.

Menariknya, hijrah Maryam menganut Islam dan berhijab, turut membuka hati ibunya yang mula menunjukkan minat lebih mendalami Islam terutama selepas berkunjung ke negara ini tidak lama lalu.

Ibu Maryam dalami Islam, minta telekung

Maryam berkata, ibunya belum mengucap dua kalimah syahadah dan tetapi ibunya terdetik mempelajari Islam selepas melihatnya mula berhijab serta cuba belajar memakainya.

"Ibu sudah mula memakai pakaian lebih menutup aurat termasuk meninggalkan makanan haram.

"Dia pernah minta saya ajar cara solat termasuk membawanya ke masjid. Saya memang tak sangka ibu minta bawa balik telekung ke Korea Selatan," katanya.

Bagi Ryzal pula, beliau sebagai suami bersyukur terpilih menjadi suami Maryam dan jodoh mereka membuatkan beliau semakin dekat dengan Allah.

Selain bersama-sama mengukuhkan penghayatan agama Islam termasuk mahu Maryam menutup aurat serta memberi kefahaman mengenai makanan halal.

"Jodoh cerminan diri kita dan apabila menjaga hubungan dengan Allah, segala-galanya menjadi semakin lancar dan Insya Allah kami sekeluarga akan menunaikan umrah 29 Februari ini sebagai hadiah sempena hari lahir Maryam.

"Ia umrah pertama kami dan sedang mengikut kelas. Sudah lebih dua sebulan menyertai 'Solat Subuh Macam Jumaat'. Cara saya bimbing Maryam solat adalah saya baca dengan kuat supaya dia dapat dengar dan mengikut hingga selesai.

"Perlahan-lahan dia tingkatkan kualiti solat dengan hati yang suci serta Istiqamah dan Alhamdulillah dia boleh menguasai surah pendek seperti 'tiga qul' serta bacaan solat," katanya.

Berita Harian X