Khamis, 22 Februari 2024 | 11:54am
Pekerja kilang keropok, Norazihan Md Sidek, menjemur keropok di atas jemuran di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Pekerja kilang keropok, Norazihan Md Sidek, menjemur keropok di atas jemuran di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Pekerja kilang keropok menyusun keropok untuk dijemur atas jemuran di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Pekerja kilang keropok menyusun keropok untuk dijemur atas jemuran di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Cuaca panas beri rahmat pada pengusaha keropok keping

BESUT: Peralihan musim dari Monsun Timur Laut (MTL) kepada cuaca panas serta fenomena El Nino memberi semangat baharu kepada pengusaha keropok meneruskan aktiviti seharian mereka.

Pengusaha keropok, Rosfaizo Yaacob, 52, berkata, sepanjang musim MTL sekitar November sehingga Disember lalu, dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM15,000 kerana keropok dihasilkan rosak akibat cuaca tidak menentu.

Rosfaizo mengusahakan keropok lebih 28 tahun lalu, menjelaskan keropok yang masih dalam proses untuk dikeringkan hanya mampu bertahan tiga hari sekiranya tidak kering sepenuhnya akan rosak serta terpaksa dibuang.

"Musim MTL baru-baru ini agak panjang berbanding biasa lebih daripada 10 hari dan keadaan itu menyebabkan keropok yang diproses tidak dapat dijemur sepenuhnya.

"Keadaan cuaca tidak menentu juga menyebabkan keropok siap dijemur atas jemuran terpaksa diangkat berulang kali kerana hujan serta panas bergilir-gilir dalam sehari," katanya ketika ditemui di kilang keropok, di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Rosfaizo berkata, pada musim tengkujuh mereka tetap juga akan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya kerana terikat dengan kontrak pembekal ikan mentah.

"Walaupun mempunyai tempat untuk mengeringkan keropok dengan kaedah menjemur dalam bilik 'oven' menggunakan kipas serta menghidupkan unggun api, namun jarang digunakan.

"Pelanggan lebih suka rasa asli keropok yang dijemur bawah panas terik cahaya matahari berbanding guna unggun api," katanya.

Katanya, sepanjang musim panas selepas sambutan Tahun Baharu Cina, dia mampu menghasilkan kira-kira 250 sehingga 300 kilogram keropok keping sehari.

"Setiap hari keropok mula dijemur atas jemuran kira-kira jam 8 pagi sehingga 4.30 petang sebelum boleh diagihkan mengikut permintaan pelanggan.

"Keropok dihasilkan ini dijual secara borong dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor serta Johor," katanya.

Pekerja kilang keropok, Norazihan Md Sidek, 43, berkata dia sudah bekerja lebih 15 tahun di kilang keropok untuk menyara keluarga.

Katanya, musim cuaca panas memberi rahmat buat mereka kerana boleh menjana pendapatan lebih berbanding ketika musim hujan.

Berita Harian X