Rabu, 21 Februari 2024 | 12:34pm
Azizah ketika menjalankan tugas mengurut pelanggannya
Azizah ketika menjalankan tugas mengurut pelanggannya

Berurut jaga fizikal, emosi selepas bersalin

Kuala Lumpur: Berdepan dengan wanita terutama ibu muda yang dalam keadaan beremosi seperti meroyan ketika tempoh berpantang selepas bersalin antara pengalaman biasa dialami oleh juruurut.

Ada ibu yang tidak dapat mengawal emosi apabila terlalu letih menjaga anak, masalah urusan rumah tangga dan terlalu memikirkan cara mengembalikan bentuk asal badan.

Justeru, Juruurut, Azizah Mohamed, 46, berkata berurut dapat membantu mereka mengurangkan tekanan ibu selepas bersalin, selain menjadikan badan lebih sihat dan segar.

Berpengalaman 27 tahun menjadi juruurut, katanya, banyak manfaat berurut ketika berpantang, antaranya mengelak ibu meroyan, bentan, peranakan kembang, mengurangkan perut buncit, menambah susu dan pelbagai lagi.

Malah, jika konsisten berurut dan menjaga pemakanan, mereka dapat mengembalikan semula bentuk tubuh badan ideal.

.

"Sebab itu penting wanita berurut untuk mengurangkan pelbagai penyakit dan memudahkan mengandung lagi.

"Wanita tidak berurut dan berpantang dengan betul selepas bersalin, rahim akan bermasalah dan boleh menyebabkan sukar mengandung lagi," katanya.

Namun, katanya berurut tidak semestinya hanya selepas bersalin, tetapi boleh dilakukan ketika kehamilan berusia 22 minggu ke atas sebagai persiapan menghadapi tempoh bersalin.

"Ramai wanita memilih berurut selepas berpantang kerana ketika itu badan sakit-sakit.

"Tapi, urutan sebelum bersalin dibuat santai untuk membantu memudahkan bersalin dan mengurangkan tekanan," katanya.

Azizah belajar cara berurut daripada nenek dan ibunya, selain mengikuti kursus urutan

secara berkala bagi meningkatkan kemahiran.

Kakak dan dua adiknya juga juruurut, empat adik-beradik lain menjadi bidan manakala tiga adik-beradik lelaki adalah perawat bekam.

Juruurut, Azizah Mohamed dan Norhidayah Zakaria
Juruurut, Azizah Mohamed dan Norhidayah Zakaria

Berurut untuk kesihatan luaran dan dalaman

Rakannya juga juruurut, Norhidayah Zakaria, 42, dari Besut, Terengganu, berkata wanita terutama mereka yang baharu bersalin supaya mengamalkan berurut demi kesihatan luaran dan dalaman.

Katanya, dengan berurut juga dapat membantu menjaga emosi kerana badan yang sihat mampu membantu mengawal emosi atau tekanan yang dihadapi.

"Ada kes mengurut untuk mengurangkan bengkak susu. Saya lakukan yang terbaik dan kerjaya ini tak boleh dipandang enteng lagi kerana ramai wanita sudah celik untuk menjaga kesihatan dan memiliki tubuh menarik.

"Sebab itu walaupun saya tinggal di kawasan kampung, tetapi permintaan untuk berurut tidak pernah putus," katanya sudah 12 tahun dalam bidang itu mendapat kemahiran itu hanya melihat neneknya berurut.

Namun katanya, untuk menambahkan kemahiran sedia ada, beliau mengambil sijil latihan untuk meluaskan peluang kerjaya itu.

Berita Harian X