Selasa, 20 Februari 2024 | 11:55am

Gula melaka Ani, diproses lebih 10 jam sudah sampai ke AS, Makkah

Tumpat: Di saat pengusaha lain sudah beralih kepada penggunaan mesin atau dapur lebih moden, pembuat nise atau gula melaka di Kampung Kelong, di sini masih mengekalkan kaedah tradisional sehingga produknya sampai ke Amerika Syarikat (AS), Makkah dan China.

Bermula seawal jam 7 pagi bengkel mini milik Ani Dolah, 55, di belakang rumahnya mula beroperasi dan kerja menghidupkan api dari dapur kayu dimulakan untuk memasak nira.

Setiap hari, kira-kira 25 tong nira kelapa biasa dan kelapa pandan bersamaan 250 liter akan dibawa dari kebun kelapa milik suaminya, Mohd Asri Shaffien, 59, dimasak untuk menghasilkan gula melaka.

Sudah 20 tahun Ani membuat gula melaka menggunakan kaedah tradisional dikacau tanpa henti lebih lima jam untuk menjadi likat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Sudah 20 tahun Ani membuat gula melaka menggunakan kaedah tradisional dikacau tanpa henti lebih lima jam untuk menjadi likat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ani berkata, sudah hampir 20 tahun dia menceburkan diri dalam perusahaan gula melaka dan permintaan yang semakin hari semakin meningkat membuatkan pemanis makanan itu perlu dihasilkan setiap hari.

"Kami masih mengekalkan kaedah tradisional iaitu menggunakan tenaga manusia dan dimasak dengan kayu api, maka proses pembuatannya lebih 10 jam.

"Pada awal pembuatan dahulu, saya hanya hasilkan sekitar 70 liter sehari, namun permintaannya semakin menggalakkan menyebabkan saya tambahkan pengeluaran tiga kali ganda.

"Dari segi bekalan air nira, saya tidak berdepan dengan masalah kerana suami mempunyai kebun kelapa dan perusahaan gula melaka ini dianggap sebagai produk hiliran," katanya ketika ditemui BH.

Ibu tujuh cahaya mata itu berkata, proses menghasilkan gula melaka di bengkelnya membabitkan sembilan pekerja bermula dari memasak nira, menuang ke dalam acuan serta membungkus.

Adunan dikacau lebih 5 jam

Adunan nira dalam kawah perlu dikacau tanpa henti lebih lima jam sehingga menjadi likat sebelum terus dituang ke dalam acuan.

Setiap hari dia menghasilkan sekitar 55 kilogram (kg) gula melaka dan buat masa sekarang perlu memenuhi permintaan sebanyak 500 kg yang sudah ditempah pelanggan.

"Perusahaan ini saya warisi daripada ibu bapa yang pada awalnya berlaku lambakan air nira di kebun kelapa diusahakan.

Gula melaka dimasukkan dalam acuan dan dimasak selama 10 jam.- NSTP Nik Abdullah Nik Omar
Gula melaka dimasukkan dalam acuan dan dimasak selama 10 jam.- NSTP Nik Abdullah Nik Omar

"Bermula dari situ, perusahaan gula melaka ini berkembang, manakala suami juga menghasilkan jualan air nira yang sangat laku pada bulan puasa," katanya.

Ani berkata, menjelang musim perayaan atau kenduri, permintaan sangat tinggi dan ketika itu dia dan pekerja akan cuba sedaya upaya memenuhi tempahan yang dibuat.

Menurutnya, ada pelanggan yang datang membeli di rumah dan ada juga yang meminta dipos memandangkan ramai juga pembeli dari luar Kelantan.

Gula melaka yang sudah siap untuk sebelum dihantar kepada pelanggan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Gula melaka yang sudah siap untuk sebelum dihantar kepada pelanggan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Harga gula melaka dijual pada harga RM15 untuk sekilogram dan ramai juga pelanggan membeli untuk dijual semula, saya difahamkan produk saya sudah menjengah ke Makkah, China dan Amerika Syarikat.

"Rata-rata pelanggan memberitahu gula melaka saya hasilkan rasa berbeza dan kemanisan bukan disebabkan campuran gula kasar sebaliknya keaslian air nira," katanya.

Ani mengusahakan pembuatan nise atau gula melaka guna kaedah tradisional yang menerima tempahan tinggi termasuk dari AS dan Makkah. - NSTP Nik Abdullah Nik Omar
Ani mengusahakan pembuatan nise atau gula melaka guna kaedah tradisional yang menerima tempahan tinggi termasuk dari AS dan Makkah. - NSTP Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X