Isnin, 12 Februari 2024 | 8:57am
 Banyak kes membabitkan kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran sehingga mampu mencederakan pasangan
Banyak kes membabitkan kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran sehingga mampu mencederakan pasangan

Mengurus garang dan panas baran

"EH! Saya penat dan baru je balik daripada mesyuarat penting, awak buatkan saya air sekarang, saya nak sekarang!"

"Sila hantar kerja-kerja yang saya berikan tanpa sebarang kesalahan yang sama."

Ketiga-tiga pernyataan di atas menunjukkan dialog untuk sikap yang berbeza-beza, iaitu garang, panas baran dan tegas.

Perdebatan adalah di mana perbezaan ketiga-tiga sikap itu?

Garang adalah cara berdepan dengan kemarahan. Panas baran pula adalah sikap seseorang yang mudah marah dan menunjukkan kemarahannya dengan cepat.

Tegas pula sikap yang menunjukkan kejelasan dan keputusan dalam sesuatu perkara, baik dalam bertindak mahupun dalam menerapkan prinsip hidup.

Jika dilihat secara kasarnya, ketiga-tiga sikap ini menciptakan suasana yang tegang, tetapi kunci perbezaannya adalah terletak pada bagaimana ia diaplikasikan dalam sesuatu keadaan tertentu.

Gagal kawal emosi

Garang sikap yang ditonjolkan individu melalui perbualan atau penyataan dengan dimensi yang jauh melampaui sekadar kata-kata.

Ekspresi garang bukan hanya kata-kata tetapi juga membabitkan tingkah laku yang kasar, suara dengan lonjakan nada yang tinggi, dan kata-kata yang tajam.

Kerap kali sikap garang ini akan diiringi tingkah laku yang suka melenting, maki-hamun dan tengking-tengking.

Garang lebih kepada bagaimana seseorang berdepan dengan kemarahan tidak hanya melalui ungkapan secara lisan, tetapi juga menonjol dalam bentuk tindakan fizik dan vokal yang tinggi.

Ini cara seseorang itu menghadapi kemarahan yang dirasainya seolah-olah seperti terdapat badai melanda yang sukar untuk dikawal dengan baik dan mungkin kehilangan kawalan emosinya dan seterusnya terbabit dalam tingkah laku impulsif yang mencerminkan perasaan yang dialami.

Analoginya seperti laut yang bergelora, di mana gelombang kemarahan memenuhi ruangan dan waktu, menciptakan suasana yang tegang dan penuh gejolak.

Darah panas

Di dalam kehidupan seharian, masyarakat sering kali dihidangkan dengan laporan mengenai perihal rumah tangga tersebar luas di media sosial berpunca daripada individu yang bersifat darah panas.

Istilah "darah panas" atau "panas baran" merujuk pada individu yang tiada daya untuk mengawal dan ketidakupayaan menahan emosi apabila sedang marah.

Panas baran menunjukkan sifat seseorang yang mudah marah. Sebagai contoh, bila bahu dicuit terus menunjukkan sifat panas baran dan amarah.

Baru ditegur oleh individu lain walaupun dengan suara yang lemah lembut, terus hendak tarik muka.

Mungkin individu itu tidak mengekspresikan dengan tengking dan maki-hamun, tetapi dari respon dan reaksinya yang tidak senang dengan keadaan itu.

Baru-baru ini, ada kes seorang penganggur sanggup mencederakan isterinya dengan sebilah pisau, berpunca daripada sikap suka melenting dan 'naik tangan' terhadap pasangan.

Masalah kesihatan mental

Menurut pemerhatian, banyak kes membabitkan kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran sehingga mampu mencederakan pasangan.

Bahkan ada kes menyebabkan kematian. Akar permasalahan individu yang bersikap agresif dan panas baran ini sering kali terkait dengan masalah kesihatan mental yang tidak stabil.

Kesukaran dalam mengawal emosi dan tekanan hidup dengan baik mungkin menjadi pemicu tingkah laku agresif yang merugikan diri sendiri.

Hal ini bukan sahaja mempengaruhi individu itu, malah juga memberi tempias kepada ahli keluarga dan masyarakat sekitarnya.

Perkara yang lalu, masa silam yang tidak selesai contoh dalam kalangan ahli keluarga yang panas baran, anak-anak masa kecil akan meniru perlakuan yang sama disebut sebagai modelling dalam

Teori Pembelajaran Tingkahlaku Sosial. Walaupun pada awalnya anak-anak ini berasa takut, tetapi lama kelamaan jadi terikut, dia membesar menjadi individu yang pemarah, memberikan kesan di sekolah dan bila dah berpasangan, ini adalah biasa, ini dipanggil vicious cycle, kitaran keganasan iaitu situasi di mana percubaan untuk menyelesaikan satu masalah mewujudkan masalah baru yang membawa kembali kepada situasi asal.

Kalau garang dan pemarah dikategorikan dalam suasana yang negatif, tegas pula membawa maksud yang agak berbeza.

Dalam konteks perbandingan di antara sikap garang, pemarah dan tegas, tegas menonjol sebagai satu dimensi yang dapat dilihat dari dua sudut pandang berbeza, iaitu sebagai positif dan negatif.

Pada dasarnya, individu yang tegas adalah individu yang memiliki prinsip hidup dan disiplin yang kuat.

Orang yang tegas ini bukan sahaja mempunyai ekspektasi yang tinggi terhadap diri mereka sendiri, tetapi juga kepada orang lain.

Malah, individu ini juga sering mengejar kualiti dan ketelitian dalam segala hal. Sebagai contoh, seseorang yang sangat menjaga kebersihan, dia mungkin tidak dapat melihat jika ada sekelumit habuk pun di sekelilingnya.

Tapi, tegas itu akan menjadi negatif bila melampaui batas dalam satu-satu perkara. Sebagai contoh, terlalu pembersih akan menjadikan individu stres dan letih apabila ada orang tidak menjaga kebersihan dan individu itu mungkin merasakan dirinya tidak dihormati. Ini contoh tegas boleh membawa kepada kemudaratan.

Dalam situasi sebegini, individu tidak dapat beradaptasi dengan perubahan atau mempertimbangkan sudut pandang lain.

Tegas yang positif adalah apabila seseorang individu mampu mempertahankan prinsip dan disiplin tetapi tetap fleksibel dan terbuka terhadap perubahan mendadak.

Ini dikenali sebagai seni keseimbangan di antara ketegasan dan fleksibiliti dimana seseorang dapat mempertahankan prinsip hidup tanpa menjadi terlalu kaku dan memberi peluang pada diri untuk belajar dan beradaptasi dengan perubahan yang wujud.

Tegas yang negatif pula membawa maksud tidak menerima perubahan dan boleh memberikan kesan tidak baik kepada diri iaitu menghadapi stres yang sebenarnya boleh dielakkan.

Kaedah tangani panas baran

Menangani akar permasalahan daripada ketiga-tiga sikap ini adalah sangat penting dan langkah-langkah yang diambil seharusnya melibatkan pendekatan yang lebih holistik.

Intervensi psikologi, sokongan kesihatan mental atau bantuan daripada pihak sewajarnya seperti kaunselor atau pakar yang lebih profesional sangat diperlukan.

Upaya pencegahan juga memegang peranan penting terutamanya dalam hal untuk memberikan pemahaman yang lebih baik tentang keperibadian diri termasuklah tahap kesihatan mental yang dialami dan tidak dilupakan juga kepada keluarga yang turut terkena tempias daripada individu yang bersikap sedemikian.

Teknik 3R

Justeru, teknik 3R dirasakan sangat bermanfaat untuk situasi begini.

Dalam menghadapi situasi ini, teknik 3R ('retract, rethink dan respond') dapat menjadi alternatif yang berkesan dalam mengawal perasaan dengan baik.

Apabila kita sedar keadaan diri kita, aplikasikan 'retract' iaitu kita berundur seketika daripada perkara yang menjadi punca kepada wujudnya tiga sikap ini. Ini memberi peluang untuk individu mendapatkan jarak emosi dan menghindari daripada tindakan impulsif.

Pada masa sama, ambil nafas dalam-dalam supaya diri menjadi lebih tenang. Amalkan teknik pernafasan yang betul dan ia sangat membantu dalam kawalan terhadap tekanan.

Seterusnya, 'rethink' atau berfikir semula apa isu yang membawa kepada pergolakan emosi dan bagaimana solusi efektif yang boleh diambil.

Akhir sekali, 'respond' iaitu membalas atau bertindak dengan lebih waras dan terkawal.

Sentiasa juga amalkan prinsip 90-10, di mana 90 peratus perkara dalam kehidupan yang dialami boleh dikawal oleh setiap individu manakala, hanya 10 peratus yang berada di luar kawalan kita.

Jadi, mengapa perlu memberikan fokus kepada perkara kecil iaitu 10 peratus yang tidak boleh dikawal.

Didik diri dan berikan tumpuan pada 90 peratus yang boleh dikawal dan elakkan dari pemikiran negatif yang berterusan. Corak pemikiran perlu dilatih untuk melihat daripada perspektif positif dan seterusnya menghasilkan emosi dan tingkah laku positif.

Kata lawan kepada garang juga penyayang. Oleh itu, menjadi tugas kitalah yang perlu memupuk perasaan dengan penuh kelembutan ini dengan lebih mendalam dalam diri kita.

Dalam ajaran Islam, "Apabila salah seorang daripada kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk.

Diharapkan langkah holistik ini dapat merobohkan tembok yang memisahkan individu daripada sikap garang, panas baran dan tegas yang melampau. Sekali gus memutuskan 'vicious cycle' yang mengundang bahaya kepada generasi akan datang.

Penulis adalah Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) dan kaunselor berdaftar, Dr Azmawaty; Nurmaliya calon Sarjana Pendidikan Fakulti Pendidikan, UM

Berita Harian X