Jumaat, 9 Februari 2024 | 12:54pm
Chia May Yin, 30, dan Chia May Fern, 25 membungkus kuih bakul yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Chia May Yin, 30, dan Chia May Fern, 25 membungkus kuih bakul yang ditempah oleh pelanggannya. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

25 jam kukus kuih bakul untuk hidangan Tahun Baharu Cina

PASIR MAS: Bermula hanya membuat kuih bakul untuk dihidang kepada ahli keluarga sempena perayaan Tahun Baharu Cina lebih 10 tahun yang lalu, Ong Lee Sew, 51, sudah menjadikan ia sebagai perniagaan komersial.

Pembuat kuih bakul, dari Kampung Sakar, Tendong, di sini, berkata dia mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dan sejak lapan tahun lalu terus bergiat cergas dalam perniagaan berkenaan.

Katanya, sempena Tahun Baharu Cina, kali ini, dia menggunakan 210 kilogram (kg) beras pulut yang dicampur dengan gula untuk menghasilkan lebih 600 biji kuih bakul.

Kuih bakul merupakan hidangan bagi kaum Cina yang diperbuat daripada tepung pulut dan gula sebelum ia dibentukkan seperti dodol. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kuih bakul merupakan hidangan bagi kaum Cina yang diperbuat daripada tepung pulut dan gula sebelum ia dibentukkan seperti dodol. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Dia dibantu oleh dua anaknya, Chia May Yin, 30, dan Chia May Fern, 25, serta dua anak saudara.

"Kuih bakul saya mendapat permintaan bukan sahaja dari masyarakat Tionghua dari Kelantan, malah dari Terengganu.

"Saya mula membuat kuih bakul sejak tiga minggu lalu dan hampir setiap hari menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, resipi kuih bakul daripada ibu saudaranya yang berpengalaman membuat juadah tradisional itu sejak puluhan tahun lalu.

Kuih bakul yang dihasilkan akan diletakkan dalam acuan dan dikukus antara 20 hingga 25 jam untuk memastikan ia tahan lama.

"Disebabkan itu, ramai yang berminat untuk membeli kerana kuih bakul boleh disimpan dalam tempoh beberapa bulan.

"Selepas proses mengukus, juadah ini akan dikeluarkan daripada acuan dan diletakkan dalam daun pisang atau plastik khas.

"Kuih bakul ini mengambil masa lebih kurang empat hari untuk betul-betul keras. Berat kuih bakul dianggarkan 200 gram sebiji dan dijual antara RM18 hingga RM20 sebiji.

"Saya gembira kerana dapat memenuhi permintaan orang ramai dan akan meneruskan usaha ini pada masa akan datang dengan dibantu dua anak," katanya.

Berita Harian X