Khamis, 8 Februari 2024 | 10:01am
: Arob bersama anaknya menghiaskan sekitar kediaman menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Batu Papan 2, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda Yahya
: Arob bersama anaknya menghiaskan sekitar kediaman menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Batu Papan 2, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda Yahya

Lebih banyak 'ong' tahun ini

GUA MUSANG: Keterujaan menyambut Tahun Baharu Cina semakin terasa dalam kalangan keluarga Tionghua dengan membuat pelbagai persiapan, termasuk menghias kediaman.

Bagi wanita bangsa Thailand berketurunan Cina, Arob Rattanaburi, 54, persiapan itu sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, sambutan tahun naga ini akan diraikan secara besar-besaran sejajar simbolik naga itu sendiri melambangkan kebijaksanaan, kekuasaan, kekayaan dan dipercayai membawa tuah.

Justeru, dia dan keluarganya melakukan kerja mencantikkan kediaman dengan pelbagai hiasan bersama anaknya.

Sambutan tahun ini lebih meriah kerana membawa lebih banyak 'ong' atau tuah kepada kami.

"Saya menabung untuk membeli segala bahan hiasan termasuk lampu, tanglung dan Bunga Mei Hua.

"Untuk tahun ini, kami berhabis hampir RM1,000 dan turut menggunakan bahan hiasan tahun sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kampung Batu Papan 2, di sini.

Teruja sambut raya bersama anak

Menurut Arob, dia tidak sabar menunggu ketibaan ambang Tahun Baharu Cina, pada Sabtu ini kerana dapat makan besar bersama anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Arob berbelanja lebih RM1,000 untuk menghias rumah sempena Tahun Baharu Cina, Sabtu ini. - NSTP/Paya Linda Yahya
Arob berbelanja lebih RM1,000 untuk menghias rumah sempena Tahun Baharu Cina, Sabtu ini. - NSTP/Paya Linda Yahya

"Setiap tahun anak akan pulang beraya bersama keluarganya. Saya pun tidak sabar menunggu kepulangan mereka bagi meraikan Tahun Baharu Cina kerana hampir setahun tidak berjumpa," katanya.

Sambutan itu juga bakal tambah meriah apabila kediamannya akan dikunjungi jiran tetangga Melayu bagi meraikan bersama.

"Di kawasan perumahan ini, hanya ada dua keluarga Cina. Namun, kami di sini hidup aman damai dan saling berziarah apabila musim perayaan.

"Saya juga akan mengadakan rumah terbuka untuk jiran di kawasan ini dalam tempoh seminggu selepas sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

Berita Harian X