Sabtu, 20 Januari 2024 | 9:36am
Nur Farahida (dua dari kanan) bersama ahli keluarga dan arwah ayahnya ketika menunaikan umrah DIY, pada tahun lalu. - Foto/Ihsan Nur Farahida
Nur Farahida (dua dari kanan) bersama ahli keluarga dan arwah ayahnya ketika menunaikan umrah DIY, pada tahun lalu. - Foto/Ihsan Nur Farahida

Ayah meninggal dunia, selepas dua hari pulang tunai umrah cara DIY

KUALA LUMPUR: Mengerjakan umrah secara sendiri (DIY) semakin menjadi trend sekarang lebih murah dan menjimatkan berbanding menggunakan khidmat pakej agensi pelancongan sekali gus memberi peluang ramai melakukan seisi keluarga.

Perkara itu diakui Nur Farahida Muhamad Akir, 39, apabila beliau melakukan umrah DIY bersama sekumpulan 14 ahli keluarganya menjelang Ramadan terakhir, tahun lalu yang disifatkan sebagai suatu kenangan sukar dilupakan.

Malah, beliau dapat melunaskan impian ayahnya, Muhamad Akir Samsudin yang menghidap penyakit Sistematik Lupus Eritematosus (SLE) yang agak kronik menunaikan umrah.

Nur Farahida dapat tunaikan impian arwah ayahnya ketika menunaikan tahun lalu.
Nur Farahida dapat tunaikan impian arwah ayahnya ketika menunaikan tahun lalu.

SLE adalah penyakit autoimun di mana badan menghasilkan antibodi menyerang tisu badan menyebabkan radang atau inflamasi banyak pada bahagian badan seperti kulit, sendi dan organ dalaman termasuk otak, paru-paru, jantung dan buah pinggang.

Justeru, memikirkan kekangan masa yang dihadapi, akhirnya beliau dan keluarga memilih melakukan umrah DIY, mengikut permintaan ayahnya, memandangkan masing-masing mempunyai sedikit pengalaman berdasarkan kunjungan sebelum ini yang menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

Menurut Nur Farahida, tiada beza melakukan ibadah umrah DIY atau menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan kerana semuanya adalah sama, kecuali kos dan masa diperuntukkan ketika berada di Tanah Suci itu.

"Kebiasaannya, bayaran pada Ramadan mencecah RM16,000 seorang, tetapi dengan DIY, kos sekitar RM11,000 seorang. Kita boleh berjimat cermat dengan mencari tiket penerbangan murah, memilih hotel, memasak dan membuat jadual perjalanan sendiri.

"Untuk membeli barangan basah, mudah saja kerana ada pasar berdekatan untuk membeli dan boleh memasak di tempat penginapan masing-masing, memandangkan kami perlu menjaga dua orang tua yang berkerusi roda.

"Jadi, urusan tidak begitu sukar kerana kami mempunyai pengalaman umrah sebelum ini," katanya sudah beberapa kali menunaikan umrah menerusi agensi pelancongan.

Jadi, hasrat ayah difikirkan semula, walaupun pada awalnya doktor tidak mengizinkan ayahnya untuk menunaikan umrah memandangkan SLE yang dihadapi menyerang paru-parunya dan boleh menyebabkan tekanan berbeza di ruang udara.

Nur Farahida membuat perancangan rapi sebelum menunaikan umrah DIY.
Nur Farahida membuat perancangan rapi sebelum menunaikan umrah DIY.

"Tapi, apabila ayah berkeras dan bersedia menanggung sebarang risiko kerana menurut doktor akan mengganggu pernafasan, kami meneruskan umrah DIY. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar semasa penerbangan ke Tanah Suci.

"Bagaimanapun, dua hari pulang menunaikan umrah ayah saya meninggal dunia selepas 16 hari kami bersama di Tanah Suci.

"Kami bersyukur dapat lakukan umrah DIY ini bersama-samanya dan ini kenangan paling indah yang akan saya simpan sampai bila-bila," kata pekerja swasta itu.

Umrah DIY perlu ada pengetahuan

Mengulas lanjut, katanya, bagi sesiapa ingin menunaikan umrah DIY, perlu ada ilmu pengetahuan secukupnya kerana jika lakukan perkara dilarang, ia akan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit saja.

"Seeloknya, ikuti kursus umrah kini banyak dilakukan secara siaran langsung di platform media dan catat setiap apa disebut supaya anda dapat sedikit pengetahuan seperti bermiqat di tempat ditetapkan kerana jika tidak melakukannya, boleh didenda dengan menyembelih seekor kambing dan perlu bermiqat di tempat yang ditetapkan apabila berada di Tanah Suci.

"Ini kerana saya pernah melihat melalui platform 'Facebook Story' seorang lelaki masih memakai pakaian berjahit walaupun sudah berada di Tanah Suci di mana ia adalah satu kesalahan besar.

"Melalui perkara itu saya sentiasa menekankan perlu ada ilmu sebelum melakukan umrah DIY, untuk mengelakkan kesalahan dan mendapat umrah yang makbul," katanya.

Larangan ketika umrah

Bagi memudahkan urusan ketika di Tanah Suci, bakal jemaah digalakkan gunakan khidmat mutawwif bagi membantu dan mengelak melakukan perkara dilarang, antaranya lelaki tidak boleh menutup muka walaupun ketika berada di dalam bas berhawa dingin.

Bagi wanita, beliau sarankan dapatkan nasihat doktor mengenai haid dan ubat apa perlu dimakan mengikut kesesuaian.

"Wanita datang haid ketika ketika umrah, amatlah rugi kerana tidak dapat menunaikan ibadah dan hanya berada di kawasan hotel saja.

"Berdasarkan pengalaman saya, doktor menyarankan makan dengan segera ketika habis waktu bersahur dan sebaik berbuka kerana khuatir ia tidak akan berfungsi sebaiknya kerana ubat itu perlu dimakan setiap kali selepas lapan jam.

"Namun, jika ada situasi haid itu datang berterusan, boleh dapatkan pandangan pakar," katanya.

Mengenai permohonan visa, prosesnya mudah, namun menyarankan bakal jemaah memohon visa umrah kerana ia juga terdapat perlindungan insurans, tetapi sekiranya ingin mengurangkan kos, boleh memohon umrah pelancongan.

Pakej umrah DIY lebih murah

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Multimedia, Azwina Wati Abdull Manaf, 43, menyifatkan umrah DIY ibadah yang dapat mendekatkan diri bersama keluarga lebih-lebih perkara dituntut dalam Islam.

Azwina (kanan) bersama keluarga dan ibunya menunaikan ibadah umrah DIY pada 2022.
Azwina (kanan) bersama keluarga dan ibunya menunaikan ibadah umrah DIY pada 2022.

Katanya, yang melakukan umrah DIY pada 2022 bersama tujuh ahli keluarganya, kos dikeluarkan juga lebih murah, iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 seorang berbanding menggunakan agensi pelancongan sekiranya tidak berkunjung pada waktu puncak.

"Tindakan awal perlu dilakukan ialah mencari tiket penerbangan murah antara RM2,000 ke RM3,000, buat kajian hotel yang ingin diduduki dan pengangkutan di sana, selain mutawwif.

"Saya berpendapat, pakej umrah dikenakan agensi pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat mahal, memandangkan kerajaan Arab Saudi sudah memberikan kelonggaran menggunakan visa pelancong, jadi saya ambil peluang pergi bersama keluarga," katanya sudah beberapa kali melakukan umrah bersama agensi pelancongan.

Bagaimanapun, bagi wanita yang kali pertama kali guna DIY, disaran pergi bersama seorang ahli yang sudah biasa melakukan umrah supaya tidak terpinga-pinga.

"Apabila berada di Tanah Suci, disarankan wanita tidak berjalan berseorangan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, menjaga kehormatan dan tatasusila bagi mengelak fitnah.

Ikuti forum umrah DIY

"Sebelum itu, wanita perlu ada mahram, tetapi kini dengan visa pelancong, peraturan itu dilonggarkan, bagaimanapun bakal jemaah wanita boleh mengikuti forum umrah DIY di mana-mana laman sosial yang sering berkongsi maklumat mengenai segala diperlukan ketika berada di sana.

"Saya sarankan tidak memilih waktu puncak seperti musim cuti sekolah, Rejab, Syaaban, Ramadan dan Syawal atau musim sejuk kerana harga semua perkhidmatan berganda," katanya.

Beliau menggalakkan orang muda khususnya mahu cuba umrah DIY perlu sihat dan ada ilmu berkaitannya.

"Apabila anda melakukan umrah DIY, baru anda tahu selok-belok, belajar banyak perkara dan lebih menarik kerana anda sendiri menguruskan ibadah daripada menyerahkan kepada agensi pelancongan.

"Pengalaman itu yang sangat berharga apabila berjaya lakukan umrah DIY dan tidak menyesal berbelanja sedikit wang," katanya yang turut menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke 17 di sana.

Berita Harian X