Sabtu, 6 Januari 2024 | 8:27am
Tip berjimat cermat urus kewangan keluarga wajar dilakukan elak masalah kewangan berpanjangan. - Foto huasan
Tip berjimat cermat urus kewangan keluarga wajar dilakukan elak masalah kewangan berpanjangan. - Foto huasan
Perbelanjaan ‘ukur baju ikut di badan sendiri’ elak anda terjerat masalah kewangan berpanjangan. - Foto hiasan
Perbelanjaan ‘ukur baju ikut di badan sendiri’ elak anda terjerat masalah kewangan berpanjangan. - Foto hiasan

Ibu bapa kusut fikir bajet keluarga? 10 tip berjimat patut anda cuba

SALAH satu cara pengurusan bijak bajet kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat.

Dalam situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan, pastinya ramai ibu bapa sedang kusut memikirkan perbelanjaan pelbagai keperluan seisi keluarga.

Oleh itu, individu terutama mempunyai tanggungan yang ramai tidak perlu terlalu memikirkan jenama barangan anak, sama ada untuk pakaian sekolah mahupun harian atau santai, sebaliknya lebih tahan lasak.

Jika barangan itu mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, ia pasti menjimatkan belanja.

Berikut adalah beberapa tip berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama.

1. Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukur baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang perlu untuk keluarga.

2. Elak bawa anak ketika membeli-belah

Ini langkah yang baik kerana kehadiran anak biasanya mendorong kita membeli barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang yang ingin dibeli terlebih dulu.

3. Masak sendiri

Sekiranya anda mempunyai masa, cuba sediakan bekalan anak ke sekolah. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga dan lebih terjaga kebersihannya.

4. Beli secara pukal

Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya.

Beli barang untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

5. Lakukan perbandingan harga

Amalan ini penting kerana kadang kala ada perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu anda berjimat.

6. Kurangkan pembelian barangan berjenama

Anda tidak perlu laburkan wang yang banyak semata-mata mahu melihat anak ke sekolah dengan kelengkapan barangan berjenama kerana sikap semula jadi anak yang aktif dan lasak akan membuatkan barangan mewah itu cepat rosak serta tidak dijaga rapi.

7. Tabung anak sekolah

Cuba ketepikan RM50 hingga RM100 setiap bulan untuk membeli buku rujukan anak, alat tulis, atau apa saja berkaitan dengan perbelanjaan sekolah anak sepanjang tahun.

8. Pakaian sekolah

Jika anak baru memasuki Tahun Satu atau Tingkatan Satu, baju sekolah dan sukan wajib beli yang baharu.

Tetapi jika anak kita masuk tahun dua, perhatikan baju, kain atau seluar sekolah andainya masih elok dan tidak singkat boleh dipakai semula. Anda cuma perlu tambah satu pasang yang baru saja untuk tahun ini.

*9. Buku tulis

Buku tulis pula biasanya yang disenaraikan pihak sekolah mungkin untuk kegunaan setahun oleh pihak sekolah. Sekiranya anda lihat jumlah itu terlalu banyak untuk tahun berikutnya boleh gunakan buku yang belum digunakan lagi.

Begitu juga dengan keperluan lain, jika boleh diguna semula, tidak salah gunakan semula. Tidak perlu rasanya semua kelengkapan dibeli baharu. Anda juga boleh beli setiap keperluan secara beransuransuran.

10. Dahulukan keperluan

Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada tahap kewangan keluarga, tidak salah memberi yang terbaik untuk anak dan belajar untuk utamakan perkara penting dahulu.

Berita Harian X