Rabu, 3 Januari 2024 | 10:31am
Kuih serunai manisan tradisional di Pantai Timur.- NSTP/Paya Linda Yahya
Kuih serunai manisan tradisional di Pantai Timur.- NSTP/Paya Linda Yahya

Kuih serunai digemari penduduk di Pantai Timur

GUA MUSANG: Kuih serunai mungkin agak asing bagi penduduk di luar Pantai Timur, namun manisan tradisional itu menjadi kegemaran ramai masyarakat di daerah ini kerana rasanya yang lemak manis.

Bahkan kuih diperbuat daripada tepung beras dan diletakkan di dalam daun pisang berbentuk serunai ini tidak dijumpai di tempat lain, selain di Pantai Timur.

Selain tepung beras, bahan lain menyediakan kuih serunai ini adalah santan, gula Melaka dan paling penting, daun pisang yang dibentuk seperti kon atau serunai.

Menurut pengusaha kuih, Zalina Abdul Rahman, 41, dia dan ibunya akan membuat kuih bermula jam 4 pagi, kemudian dijual di Pasar Besar Gua Musang, jam 7.30 pagi.

"Proses membuat adalah dengan membuat adunan tepung beras, gula Melaka dan santan dimasukkan ke dalam acuan berbentuk kon atau serunai sebelum dikukus.

"Untuk acuan biasanya kami akan membuatnya pada petang atau malam menggunakan daun pisang. Membuat acuan perlu berhati-hati, untuk mengelak bancuhan dimasukkan ke acuan tidak bocor," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Gua Musang.

Jual lebih 20 jenis kuih

Katanya, sekitar tahun 90-an kuih serunai dijual dengan harga 10 sebiji dan kini RM 2 untuk lima biji.

Untuk kuih serunai saja, sebanyak 200 biji dijual setiap hari, selain turut menjaja lebih 20 jenis kuih di gerainya termasuk kuih tepung pelita, karipap dan pelbagai lagi.

Kuih diperbuat daripada tepung beras dan diletakkan di dalam daun pisang berbentuk serunai ini tidak dijumpai di tempat lain. - NSTP/Paya Linda Yahya
Kuih diperbuat daripada tepung beras dan diletakkan di dalam daun pisang berbentuk serunai ini tidak dijumpai di tempat lain. - NSTP/Paya Linda Yahya

"Alhamdulillah kuih tradisional ini mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dan semakin meningkat pada musim cuti sekolah.

"Adakalanya kuih dibuat tidak cukup apabila tibanya musim cuti persekolahan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Setiap hari saya akan memulakan perniagaan sekitar jam 7.30 pagi dan tamat sekitar jam 1 petang," katanya sudah berniaga di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

Dia mewarisi cara pembuatan kuih serunai itu daripada ibunya Rokiah Senik, 61, yang berpengalaman hampir 30 tahun.

Zalina berkata, dia minat untuk belajar dan mewarisi cara pembuatan kuih terbabit supaya ada yang mewarisi pembuatannya.

Berita Harian X