Sabtu, 23 Disember 2023 | 9:17am
Tarian indung yang sering dilakukan oleh kumpulan wanita di Ulu Tembeling ketika musim merumput di sawah, kini sudah tidak lagi jadi amalan. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Tarian indung yang sering dilakukan oleh kumpulan wanita di Ulu Tembeling ketika musim merumput di sawah, kini sudah tidak lagi jadi amalan. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

Nyanyi, tarian indung ketika musim merumput di sawah semakin dilupakan

JERANTUT: Nyanyian dan tarian indung yang sering dinyanyikan oleh kumpulan wanita di Ulu Tembeling, dekat sini, ketika penduduk kampung bergotong-royong pada musim merumput di sawah atau padi huma dilihat semakin dilupakan.

Situasi berlaku disebabkan kurang diberi perhatian khusus sedangkan ia dianggap sebagai khazanah seni Melayu yang wajar dipelihara untuk diketahui generasi akan datang.

Bekas penggiat seni, Jariyah Mat Petah, 77, berkata masyarakat di Ulu Tembeling dulu menanam padi atau 'buat padi' dan sering membersihkan kawasan tanaman padi daripada ditumbuhi rumput.

Katanya, kini nyanyi dan tarian itu sudah tidak dilakukan di kawasan kampungnya kumpulan biasa melakukannya juga sudah berusia.

Dulu, beliau kerap ke kawasan tanaman padi untuk merumput atau 'merepeh' sambil melakukan kerja itu akan menyanyi dalam bentuk pantun dan menari secara bergilir-gilir bersama rakan lain.

"Terdapat 38 lagu di dalam rangkaian Tarian Indung ini. Jumlah itu adalah yang dirakamkan secara lisan.

"Judul lagu dalam rangkaian Tarian Indung seperti; Anak Indung, Kubang, Yanakidin, Dendang Sayang Adik dan beberapa lagu lagi.

"Saya hanya dapat mendendangkan dua lagu yang masih ingat kerana sudah lama tidak mendendangkannya serta melakukan tarian kerana aktiviti menanam padi sudah tidak dilakukan di kawasan kampung itu di samping faktor usia saya," katanya.

Beliau dan tiga adiknya, Mahani, Faizah dan Aminah, dulu juga sering menyanyi dan menari indung termasuk bersama saudara mara lain, tetapi kini sudah tidak melakukannya.

"Masih saya teringat, nyanyian lagu didendangkan seperti lagu bertajuk Burung Belatok mirip berzanji atau marhaban yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Lagu-lagu dinyanyikan berdasarkan perasaan gembira, sedih, marah dan lain-lain mengaitkan dengan alam flora dan fauna setempat.

Tarian dimulakan oleh penyanyi utama yang berada di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh penyanyi lain.

Jariyah menunjukkan kiut atau keri digunakan untuk merumput dalam tarian indung. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Jariyah menunjukkan kiut atau keri digunakan untuk merumput dalam tarian indung. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

Lagu dinyanyikan penyanyi utama akan disambut sebagai korus atau 'jong dondang' oleh penyanyi lain sambil mereka menghayun 'kiut-kiut' mereka di hadapan penyanyi utama dan memulakan gerakan tarian mereka mengelilingi penyanyi utama di dalam sawah.

Tarian indung ini sebenarnya adalah gabungan dua elemen seni, iaitu nyanyian dan tarian yang membentuk kepada aktiviti sosial seperti bergotong-royong yang memang kaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Tarian indung di Ulu Tembeling, bertujuan berhibur sambil mengadakan melakukan kerja.

Sambil bekerja mereka menghiburkan diri dengan menyanyi dan berpantun serta usik-mengusik menerusi berbalas-balas pantun.

Ini secara tidak langsung kerja dilakukan tidak meletihkan dan membosankan sebaliknya memberi keseronokan.

Berita Harian X