Ahad, 17 Disember 2023 | 11:06am
Pemberian kredit e-tunai eMADANI dianggap tepat pada masanya bagi membantu penerima membeli keperluan harian. - Foto hiasan
Pemberian kredit e-tunai eMADANI dianggap tepat pada masanya bagi membantu penerima membeli keperluan harian. - Foto hiasan

Kredit eMADANI bukti keprihatinan kerajaan kurangkan beban isi rumah

KUALA LUMPUR: Penerima kredit e-tunai eMADANI sebanyak RM100 diberikan sejak lebih dua minggu lalu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat dalam meringankan bebanan perbelanjaan isi rumah.

Bagi kakitangan awam yang juga bapa kepada tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun, Muhammad Ashraf Atan, 35, bersyukur kredit diberikan itu dianggap tepat pada masanya untuk membeli keperluan harian.

"Kredit ini sekurang-kurangnya dapat digunakan membeli lampin pakai buang dan lain barangan anak untuk keperluan untuk seminggu.

"Saya berharap kerajaan dapat meneruskan pemberian kredit ini, meskipun jumlahnya tidak besar, tetapi ia tetap bermakna untuk kami," katanya.

Emily Shawal
Emily Shawal

Kakitangan swasta, Emily Shawal, 40, berkata kredit diberikan menerusi e-dompet itu akan dapat menggalakkan penggunaan aplikasi itu di negara ini, selain dibelanjakan untuk pelbagai kegunaan.

Dia yang menetap di Petaling Jaya berkata, mungkin masih ramai, terutama golongan berusia masih takut atau bimbang menggunakan aplikasi itu kerana ia membabitkan wang.

"Tetapi, apabila kerajaan menetapkan pemberian kredit itu hanya menerusi e-dompet, ia sekali gus menggalakkan penggunaan aplikasi dan supaya celik teknologi maklumat.

"Saya yakin orang ramai juga tidak akan ragu-ragu lagi untuk menggunakan aplikasi itu untuk berbelanja," katanya.

Bagi kakitangan swasta, Nurul Faizah Abdullah, 38, berkata dia membuat tuntutan kredit itu, pada jam 8.30 pagi, pada 4 Disember lalu dan menerima kredit itu kira-kira jam 7 petang pada hari sama.

Nurul Faizah Abdullah
Nurul Faizah Abdullah

Dia yang menetap di Putrajaya, tidak menjangka menerima kredit berkenaan secepat itu kerana tempoh yang diberikan adalah beberapa hari.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya bersyukur menerima kredit ini dan sudah tentu ia akan digunakan untuk membeli barang keperluan harian.

"Tetapi saya mencadangkan penggunaannya diperluaskan lagi kepada mengisi petrol, membayar tol dan bayaran tempat letak kereta kerana kredit ini diberikan menerusi e-dompet yang banyak digunakan untuk perkhidmatan sedemikian," katanya.

Namun katanya, dia amat bersetuju dengan syarat ketat yang dikenakan kerajaan apabila tidak membenarkan ia ditunaikan atau dipindahkan ke akaun lain.

Lebih 10 juta penduduk mendapat manfaat dan boleh menebus kredit e-tunai eMADANI sehingga 20 Februari 2024, melalui e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.

Berita Harian X