Jumaat, 8 Disember 2023 | 10:17am
Kuih putu halba atau dipanggil ‘kuih dalam kain’ sajian mendapat permintaan tinggi pada musim tengkujuh. - Foto hiasan
Kuih putu halba atau dipanggil ‘kuih dalam kain’ sajian mendapat permintaan tinggi pada musim tengkujuh. - Foto hiasan

Kuih dalam kain laku 'keras' sepanjang musim tengkujuh

GUA MUSANG: Kuih putu halba atau dipanggil 'kuih dalam kain' diperbuat daripada ubi kayu berintikan gula melaka dengan taburan kepala parut menjadi hidang paling laris dan ditunggu-tunggu penduduk di Kelantan sepanjang musim tengkujuh ini.

Mungkin bagi sesetengah peniaga musim tengkujuh saat paling merisaukan kerana boleh menjejaskan hasil jualan dan kurang mendapat sambutan, malah ada yang merudum.

Namun, berbeza bagi pengusaha kuih putu halba, musim tengkujuh ibarat lubuk rezeki kerana mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan berikutan ramai yang mencari kuih tradisional itu.

Nur Ain Zubaidah (kanan) tak menang tangan sepanjang musim tengkujuh menjual kuih putu halba yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai. - NSTP/Paya Linda Yahya
Nur Ain Zubaidah (kanan) tak menang tangan sepanjang musim tengkujuh menjual kuih putu halba yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai. - NSTP/Paya Linda Yahya

Peniaga kuih putu halba, Nur Ain Zubaidah Zamri, 33, mengakui sejak tiga minggu lalu, dagangannya itu mendapat permintaan tinggi,

Katanya, jualan kuih itu memang amat dicari ketika musim tengkujuh, mungkin enak dimakan ketika masih panas.

Beliau juga menjalankan perniagaan menjual kuih putu halba sejak 2018 lalu hanya ketika tiba musim tengkujuh di daerah ini.

"Apabila tiba musim hujan permintaan tinggi hingga tidak menang tangan disebabkan pada hari biasa kuih ini tidak banyak dijual disebabkan sukar mendapatkan bekalan ubi kayu yang menjadi bahan utama sajian ini.

"Jadi, apabila tiba musim tengkujuh banyak bekalan ubi, jualan kuih ini banyak didapati di gerai membuatkan ramai tertunggu-tunggu membelinya.

Pada permulaan berniaga tiga minggu lalu, saya hanya membuka kedai bermula jam 11 pagi hingga 3 petang, namun sejak seminggu lalu saya mula berniaga jam 9 pagi sehingga 3 petang.

"Sejak minggu lalu, saya sebanyak 25 kilogram ubi kayu digunakan sehari.

"Saya jual dengan harga RM3 untuk empat biji dan sejak seminggu lalu. Saya dibantu oleh seorang anak dan pekerja," katanya ketika ditemui di Bandar Baru, di sini.

Tambahan pendapatan

Nur Ain berkata, pendapatan kasar hasil jualan kuih putu halba sebanyak lebih RM600 sehari.

Beliau mendapatkan ubi kayu yang sudah diproses daripada adiknya dengan harga RM 7.50 sekilogram.

"Alhamdulillah dengan jualan ini dapat menambah sumber pendapatan kami sekeluarga," katanya yang tinggal di Tanah Putih.

Pembeli, Mohd Fauzi Yahya, 38, berkata setiap kali tibanya musim tengkujuh, kuih putu halba akan menjadi kuih yang dicari keluarganya.

"Kuih ini menjadi kegemaran kami sekeluarga terutama apabila tiba musim tengkujuh.

"Di sini tak banyak kedai menjual kuih ini dan saya tak kisah terpaksa menunggu untuk membelinya," katanya.

Berita Harian X