Khamis, 7 Disember 2023 | 8:03am
Kealpaan ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta boleh mengundang tragedi buruk sehingga bawa maut. - Foto hiasan
Kealpaan ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta boleh mengundang tragedi buruk sehingga bawa maut. - Foto hiasan

12 langkah elak lupa anak

Mungkin Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndromate (FBS) menarik perhatian masyarakat berikutan beberapa insiden, baru-baru ini yang melaporkan kanak-kanak tertinggal secara tidak sengaja di dalam kereta mengakibatkan tragedi

tidak diingini.

Dalam masa hanya lebih dua bulan lalu, negara dikejutkan dengan tiga kes FBS yang menekankan kepentingan mendidik khalayak ramai tentang fenomena ini. Kejadian ini membabitkan ibu bapa yang penyayang, dan membuktikan bahawa FBS berpunca dari kealpaan dan bukannya pengabaian tanggungjawab mereka.

Sindrom terlupa ini berlaku apabila kanak-kanak ditinggalkan di dalam kenderaan untuk jangka masa lama, sehingga boleh membawa maut.

Statistik di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa secara purata, terdapat 38 kes kematian kanak-kanak setiap tahun dari 1998 hingga 2017.

Ini menunjukkan sindrom itu juga adalah satu tragedi global yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja.

Bagi menangani isu ini, kita perlu mengambil iktibar dan mengambil langkah-langkah berwaspada.

Berikut 12 langkah langkah boleh menyumbang pencegahan Sindrom Terlupa Anak bagi memastikan keselamatan terjamin.

1. Berkongsi ilmu cara mencegah

sindrom terlupa anak

Berkongsi cerita serta menyebarkan ilmu cara pencegahan Sindrom Terlupa Anak dalam perbualan harian boleh meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadapnya.

2. Sentiasa fokus ketika di dalam kenderaan

Jadikan amalan memeriksa kerusi belakang setiap kali sebelum keluar kenderaan, terutama jika ada perubahan aktiviti seharian sebagai satu tabiat.

3. Letakkan barang peribadi berdekatan dengan anak

Letakkan barang-barang penting di tempat duduk belakang atau berhampiran anak anda bagi memastikan pemeriksaan menyeluruh sebelum meninggalkan kenderaan.

4. Penempatan kerusi kanak-kanak dengan betul

Letakkan tempat kerusi kanak-kanak di tengah-tengah kerusi belakang supaya mereka sentiasa berada dalam pandangan melalui cermin pandang belakang.

5. Rutin mengunci kereta

Biasakan diri untuk memeriksa tempat duduk belakang sebelum mengunci kenderaan.

6. Gunakan mainan atau barangan peribadi sebagai peringatan

Letakkan barang keperluan anak dan mainan di tempat duduk penumpang untuk mengingatkan kita tentang keberadaan anak.

7. Wujudkan protokol dalam komunikasi

Wujudkan protokol komunikasi dengan ahli keluarga, rakan ataupun pengasuh untuk mengesahkan keberadaan kanak-kanak.

8. Elakkan gangguan

Elakkan gangguan seperti panggilan telefon ketika memandu.

9. Berkongsi tanggungjawab

Bercakap dengan sesiapa yang dapat mengingatkan anda tentang tanggungjawab menjaga anak anda, khususnya ketika hari-hari yang sibuk.

10. Peringatan visual atau digital

Gunakan poster atau aplikasi telefon pintar untuk mengingatkan anda mengenai keberadaan kanak-kanak.

11. Pengumuman awam dan pemeriksaan kereta

Gunakan radio, televisyen, media sosial dan pengumuman dari pejabat untuk mengingatkan penjaga supaya memeriksa keberadaan anak-anak secara konsisten, terutama ketika waktu kerja awal serta masa peralihan yang sibuk.

Selain itu, galakkan pemeriksaan kereta secara berkala oleh pengawal keselamatan untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan secara tidak sengaja.

12. Penggunaan peranti pengesan atau penderia gerakan

Gunakan penderia gerakan dan peranti pengesan untuk memberi peringatan kepada penjaga dan memastikan keselamatan kanak-kanak.

Setiap individu perlu berperanan dalam mencegah sindrom terlupa anak. Oleh itu, penting untuk mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai keselamatan kanak-kanak serta berkongsi maklumat melalui media sosial dan perbualan harian.

Sikap ingat mengingati sesama individu juga adalah amalan yang baik dan langkah yang proaktif dalam memastikan keselamatan anak.

* Artikel disumbangkan oleh sekumpulan pakar kesihatan dari Jabatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan, Fakulti Perubatan UM

Berita Harian X