Rabu, 29 November 2023 | 8:19am
Wanita Orang Asli suku Temiar sedang gigih belajar membaca di Dewan Merak, Kesedar Inn.
Wanita Orang Asli suku Temiar sedang gigih belajar membaca di Dewan Merak, Kesedar Inn.
 Saedah (dua dari kiri) bersama Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan (tiga kanan) selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil PLFOA di Dewan Merak, Kesedar Inn. - NSTP/Paya Linda Yahya
Saedah (dua dari kiri) bersama Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan (tiga kanan) selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil PLFOA di Dewan Merak, Kesedar Inn. - NSTP/Paya Linda Yahya

Seronok belajar membaca, mengira walaupun usia cecah 47 tahun

GUA MUSANG: Tiada istilah terlambat, sebaliknya belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi insan celik huruf supaya mampu lebih berdaya saing.

Justeru, meskipun sudah menginjak usia 47 tahun, seorang wanita Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Blau, di sini tidak pernah berputus asa untuk belajar membaca melalui Program Pendidikan Literasi Fungsian Orang Asli (PLFOA).

Kegigihan Saedah Along, 47, membuahkan hasil apabila dia kini sudah mengenal huruf dan mengira hasil tunjuk ajar guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Dia gembira apabila kini sudah boleh

membaca dan mengeja nama sendiri selain dapat mengira.

Katanya, setiap hari dia bersama 20 pelajar lain akan menjalani sesi pembelajaran selama empat jam selama 23 hari.

"Seronok dapat belajar membaca, menulis dan mengira, saya tidak buta huruf lagi.

"Jika sebelum ini saya memang langsung tidak tahu membaca dan mengira. Nama sendiri hanya tahu sebut, nak tulis atau mengeja memang tak tahu.

 Saedah (tengah) bersama rakan gembira dapat mengenal huruf dan mengira diajar oleh KEMAS.
Saedah (tengah) bersama rakan gembira dapat mengenal huruf dan mengira diajar oleh KEMAS.

"Terima kasih Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pilih saya untuk menyertai program ini sehingga saya dapat membaca dan mengira," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil PLFOA di Dewan Merak, Kesedar Inn, di sini.

Saedah berkata, dia menyertai kelas terbabit kerana bertekad untuk tidak buta huruf lagi dan berharap ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk mendidik anak-anaknya.

"Kini kami masyarakat Orang Asli juga sudah sedar akan kepentingan bidang pendidikan terutama untuk masa depan anak-anak," katanya.

Bantu basmi buta huruf

Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan, berkata PLFOA membantu membasmi masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat Orang Asli dewasa di negeri ini.

Katanya, modul pengajaran berasaskan kaedah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira itu adalah usaha Jakoa dengan kerjasama Kemas dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

"Sebanyak 40 masyarakat Orang Asli berumur antara 15 sehingga 55 tahun di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dan Pos Blau terpilih untuk mengikuti program PLFOA pada tahun ini.

"Tahun ini sebanyak RM40,000 diperuntukkan Jakoa untuk melaksanakan program PLFOA di dua buah penempatan terbabit," katanya.

Program PLFOA dilaksanakan sejak 2019 dan setakat ini, kira-kira 200 masyarakat Orang Asli di Kelantan menerima manfaat dan keluar daripada masalah buta huruf.

Berita Harian X