Jumaat, 24 November 2023 | 10:42am
Anfaal Saari (tengah) pada sidang media Kempen Bangkit Melawan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Anfaal Saari (tengah) pada sidang media Kempen Bangkit Melawan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

16 hari kempen lawan isu keganasan wanita, kanak-kanak

SHAH ALAM: Sempena kempen 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender, Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) akan melaksanakan kempen Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Ekonomi), Anfaal Saari, berkata kempen Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadap Wanita bermula, esok sehingga Hari Hak Asasi Manusia pada 10 Disember depan.

"Kempen ini sebagai langkah advokasi mendidik masyarakat secara berterusan supaya lebih cakna, sedar dan faham mengenai bentuk keganasan mental dan fizikal, khususnya yang berlaku terhadap wanita serta kanak-kanak.

"Kita harap masyarakat di Selangor bersatu melawan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak," katanya.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga tertinggi di Malaysia, iaitu 4,690 kes berbanding negeri lain bagi tempoh 2020 sehingga Ogos lalu.

"Sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor. Daerah mencatat kes tertinggi adalah di Gombak, iaitu sebanyak 147 kes, diikuti Kajang ( 91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes).

"Dari Januari hingga Mei lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sudah mengendalikan sebanyak 2,959 kes membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak berbentuk penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian," katanya.

Tema tahun ini, 'Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak' iaitu seiring dengan inisiatif antarabangsa di bawah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UN Women yang bertemakan 'UNITE! Invest to prevent violence against women and girls'.

Katanya, naratif pencegahan ini perlu dibina di setiap peringkat dengan kerjasama dan komitmen kolektif segenap pihak meliputi akar umbi sehingga ke pembuatan dasar.

"Pendedahan dan pendidikan melalui pelbagai program akan dapat menambah ilmu dan pengalaman masyarakat terhadap bentuk keganasan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

"Menjadikan kita lebih cakna, yakin dan menyumbang ke arah usaha membendung keganasan berasaskan gender.

"Memberdayakan wanita dan masyarakat di Selangor untuk terus memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak ditindas," katanya.

Pelbagai program diatur

Justeru, pelbagai program disusun atur, antaranya pementasan tester ' Sampai Syurga' dan sesi Bual Bicara: 'Ku Bersuara' yang berkisar isu keganasan rumah tangga yang Kian membarah di Auditorium Dewan Jubli Perak, esok.

"Pada 1 Disember, Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) mengadakan lawatan ke rumah perlindungan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah untuk mendengar sendiri kisah pemandiri keganasan berdasarkan gender.

"Forum Kisah Rumah Tangga: Dikejami? Hakikat dan solusinya oleh Pertubuhan Wanita Anggun Bistari Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 pada 8 Disember.

"Kempen akan diakhiri pada 10 Disember ini, melalui dua program iaitu Dahlia Women Empowerment Program 2023 dan tayangan video 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender oleh warga kerja WBS," katanya.

Berita Harian X