Selasa, 19 September 2023 | 11:45am

3 kali kenderaan terbalik dalam hutan, terserempak harimau, tak luntur semangat Cikgu As

GUA MUSANG: Pernah beberapa kali kenderaan pacuan empat roda (4X4) dinaiki terbalik ketika melalui jalan berlurah dan berlumpur, selain bermalam di dalam hutan, namun tidak mematahkan semangat seorang guru wanita terus menabur bakti mengajar anak-anak Orang Asli demi memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

Guru, Asmawati Ahmad, 43, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, di Pos Balar, berkata tiga kali beliau melalui kejadian kenderaan 4X4 dinaiki terbalik akibat becak dan berlumpur ketika musim hujan.

Namun, setakat ini tiada sebarang kecederaan dialami.

Asmawati mesra dipanggil Cikgu As, mengajar bahasa Inggeris di SK Balar itu, mengakui tidak kisah dan menjadi pilihannya kerana mahu mencari pengalaman baharu bertugas di pedalaman, selain turut ditemani suaminya, Md Faizul Abdullah @ Yunus, 46, yang menjadi penolong kanan hal ehwal murid di sekolah sama,

Nampak harimau di luar sekolah

Malah, pengalaman baharu dilalui adalah pernah melihat harimau berkeliaran di luar pagar kuartes guru di sekolah terbabit.

"Waktu melihat harimau terbabit saya sangat terkejut tambahan pula bila melihat haiwan liar itu cuba melompat pagar untuk masuk ke kawasan kuartes guru.

"Tetapi haiwan itu tidak dapat masuk dan berlalu pergi," katanya yang masih teringat kejadian yang berlaku pada Januari tahun lalu.

Cikgu As sentiasa berdedikasi demi memastikan murid-muridnya di SK Balar mendapat pendidikan sempurna. - Foto/Paya Linda Yahya
Cikgu As sentiasa berdedikasi demi memastikan murid-muridnya di SK Balar mendapat pendidikan sempurna. - Foto/Paya Linda Yahya

"Saya berasal dari Kedah dan manakala suami dari Kelantan merasakan anak Orang Asli suku kaum Temiar yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun ini perlu dibantu dari segi pendidikan," katanya ditemui baru-baru ini.

Mengimbas kembali kejadian pertama berlaku, pada 2018 ketika pertama beliau dan suami masuk ke penempatan Orang Asli untuk mengajar, katanya, mereka terpaksa bermalam di dalam hutan apabila kenderaan 4X4 dinaiki tersadai di tebing jalan ketika melalui jalan berlurah.

"Masa itu kami terpaksa keluar melalui pintu sebelah kerana kenderaan sudah tersandar di tebing apabila hilang kawalan.

"Kejadian pertama berlaku pada hari pertama kami dalam perjalanan mengajar di sini.

"Tragedi kedua, apabila pacuan empat roda dinaiki terbalik ketika saya bersama suami pulang dari menghadiri taklimat, manakala kejadian berlaku tiga minggu lalu, ketika dalam perjalanan pulang bercuti sebaik sahaja habis sesi mengajar di sekolah.

"Alhamdulillah... kami tidak mengalami kecederaan dan semua yang terbabit juga selamat," katanya.

Selepas beberapa tahun mengajar di SK Balar, timbul rasa kasih dan selasa dengan mereka. - NSTP/Paya Linda Yahya
Selepas beberapa tahun mengajar di SK Balar, timbul rasa kasih dan selasa dengan mereka. - NSTP/Paya Linda Yahya

Cikgu As berkata, selepas beberapa tahun bersama anak-anak Orang Asli, di sekolah itu, timbul rasa kasih dan selesa dengan mereka.

"Di sekolah ini hanya ada dua guru wanita, iaitu seorang lagi adalah Orang Asli manakala terdapat 309 murid Orang Asli termasuk Pra Sekolah.

"Cuti hujung minggu, Jumaat dan Sabtu saya banyak menghabiskan masa beramah mesra, berbual dan bercerita dengan kawan dan komuniti di situ.

"Saya hanya akan keluar apabila ada keperluan dan ketika cuti panjang untuk bertemu dua anak yang berusia 13 dan 20 tahun, dimana yang sulung masih dalam latihan dan bongsu tinggal di asrama.

"Insya-Allah amanah dan tanggungjawab ini saya laksanakan dengan ikhlas demi masa depan anak Orang Asli. Kalau ikutkan rasa takut, namun apa pun cabaran saya akan tetapi hadapi," katanya berasal dari Kedah.

Menurut beliau sebelum dia pernah berkhidmat di sekolah SK Padang Serai, Kedah sebelum membuat pilihan berpindah ke SK Balar.

Keadaan pacuan empat roda dinaiki Cikgu As bersama kakitangan SK Balar terbalik dalam kejadian tiga minggu lalu. - Foto/Ihsan Asmawati Ahmad
Keadaan pacuan empat roda dinaiki Cikgu As bersama kakitangan SK Balar terbalik dalam kejadian tiga minggu lalu. - Foto/Ihsan Asmawati Ahmad
Berita Harian X