KUALA LUMPUR: Asalnya Khairunnisa Mohd Izham melukis dengan teknik 'hatching' bagi mengubati insomnia yang dihidapi ketika mengikuti pengajian di sebuah universiti swasta, namun tanpa diduga karya beliau kini menjadi buruan peminat seni lukis tanah air.
Hatching atau 'hachure' dalam bahasa Perancis, adalah teknik melukis secara garisan atau lorekan selari yang memberikan kesan bayang atau perbezaan ton kecerahan lakaran, bergantung pada kepadatan, jumlah dan ketebalan garisan dilorek.
Bercerita mengenai pembabitannya, Khairunnisa disapa sebagai Khai, 24, berkata minat melukis bermula sejak kecil, namun sebelum ini karya dihasil menggunakan cat air, arang, pensel dan akrilik.
"Pada 2018, saya sedang mengikuti pengajian sains perubatan di Management and Science University (MSU) ketika itu, disahkan menghidap insomnia, iaitu sukar tidur malam.
"Doktor menasihati saya agar melakukan aktiviti yang boleh menenangkan minda.
Dari situ, saya mula memperbanyak lakaran kecil sesuatu objek," katanya.
Belajar sendiri
Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu, berkata beliau kemudian mempertajam kemahiran hatching dengan menonton video mengenai teknik itu yang dikongsikan oleh pelukis tempatan dan luar negara menerusi media sosial dan Internet.
"Dari situ saya mula praktis cara dan bagaimana melukis dengan langkah yang betul supaya dapat menghasilkan karya yang baik dan menarik," katanya kegiatan itu berjaya memulihkan insomnia yang dihidapinya.
Fokus utamanya ketika mula berjinak-jinak dengan teknik itu ialah lakaran bangunan dengan lukisan pertama dihasilkannya ialah rumah gaya Victoria, pada Februari 2019.
Sejak itu, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak lagi menoleh ke belakang dan menumpukan perhatian pada bidang itu sepenuh masa, sekalipun mempunyai ijazah dalam bidang sains perubatan.
Ketengahkan pelbagai teknik
Menggunakan pen pigmen berdakwat hitam sebagai wahana untuk melukis, Khai turut mengaplikasikan pelbagai teknik lain yang menekankan elemen garisan dalam penghasilan karyanya.
Menerusi langkah itu beliau dapat menonjolkan aspek bayang dalam setiap lukisan yang menjadi identiti beliau sebagai pelukis hatching.
"Agak sukar menghasilkan lukisan seperti ini kerana kita perlu membuat bentuk, garisan selari dan silang serta garisan ini pula perlu berpandukan arah, iaitu sama ada menegak, melintang atau condong.
"Garisan ini juga akan diolah mengikut kesan dikehendaki, iaitu garisan selari rapat-rapat untuk menonjolkan kesan gelap manakala garisan selari jarak untuk menghasilkan kesan cerah," jelasnya.
Tambah Khai, penggunaan pen dalam teknik hatching menuntut ketelitian kerana jika berlaku kesilapan, walaupun kecil, bermakna beliau perlu memulakan kembali lakaran itu.
"Perlu ada kesabaran dan disiplin yang tinggi kerana menyiapkan sesebuah karya memakan masa antara empat hingga lima minggu sekiranya saya melukis di atas kertas bersaiz A2, manakala untuk kertas A1 pula boleh mengambil tempoh hingga tiga bulan.
"Walaupun sukar, saya lebih selesa menggunakan pen kerana bagi saya, lakaran itu boleh dikawal, nampak lebih 'hidup' dan sesuai untuk karya menggunakan teknik sebegini," katanya.
Selain bangunan, beliau turut mengetengahkan landskap, pokok serta suasana hutan sebagai objek lukisannya.
Selain menjual lukisan, Khai turut menerima tempahan daripada orang perseorangan.
"Harga lukisan ditentukan mengikut saiz, perincian dan tahap kesukaran ketika menghasilkan lukisan. Ada antaranya boleh mencecah harga ribuan ringgit.
"Setakat ini, lukisan paling sukar saya hasilkan ialah Palazzo Carignano (bangunan bersejarah di Turin, Itali) dan lukisan termahal saya pula ialah lakaran bangunan Istana Jahar di Kota Bharu, Kelantan,'' katanya enggan mendedahkan nilai lukisan itu.
Cipta nama di media sosial
Selain memaparkan lukisannya di laman sosial Instagram dan TikTok melalui akaun khai.izhamstudio, beliau turut berkongsi ilmu tentang teknik 'hatching' dan 'crosshatching' - teknik garisan bertindan di platform berkenaan.
Kini lebih 225,000 pengikut dengan lebih empat juta menyukai videonya sejak aktif di TikTok dua tahun lalu.
Setiap kandungan video menampilkan maklumat ringkas dan kreatif berkaitan lukisannya sehingga menarik perhatian pengguna media sosial itu dan berjaya memasuki FYP (For Your Page) iaitu halaman mengandungi video dan kandungan tular di platform berkenaan.
"Saya percaya, tanpa sokongan pengikut laman sosial, saya juga tidak mampu untuk pergi sejauh ini dalam memperkenalkan karya saya.
"Bagi mengetengahkan bakat yang ada, saya turut berjinak-jinak menyertai beberapa pameran lukisan dianjurkan sebelum ini, seperti di Hom Trans di Ampang dan Ipoh Art Gallery," tambahnya.
Khai berhasrat membuka galeri lukisan sendiri agar karyanya dapat membuka mata lebih ramai orang, bukan setakat pencinta lukisan.
Katanya, perkongsian di media sosial juga diharapkan dapat menjadi pembakar semangat buat pengikutnya yang mempunyai keinginan besar dalam mengejar cita-cita mereka.
"Saya sentiasa mencabar diri menghasilkan karya seni lukis terbaik dan berharap dapat mengembara ke Eropah untuk melukis bangunan unik di sana, dan kemudian bergambar di depan bangunan itu bersama-sama lakaran saya hasilkan," katanya pelukis terkenal Thierry Duval, Teme Abdullah dan Syahmi Daud sebagai idola.- Bernama