Jumaat, 7 Julai 2023 | 8:32am
Ejon dan Faridah bersama anak mereka yang membuat pendaftaran lewat Sijil Lahir untuk empat anak mereka di Kampung Gawin, Pos Gob, baru-baru ini.- NSTP/Paya Linda Yahya
Ejon dan Faridah bersama anak mereka yang membuat pendaftaran lewat Sijil Lahir untuk empat anak mereka di Kampung Gawin, Pos Gob, baru-baru ini.- NSTP/Paya Linda Yahya

Selepas 8 tahun, penantian 4 anak Orang Asli dapat sijil kelahiran berakhir

GUA MUSANG: Penantian pasangan suami isteri Orang Asli suku Temiar, di sini bagi mendapatkan sijil lahir untuk empat anak mereka sejak lapan tahun berakhir apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang menyantuni masyarakat itu pada Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat baru-baru ini.

Pasangan, Ejon Busu, 37, dan Faridah Along, 35, dari Kampung Gawin, Pos Gob dibantu kakitangan JPN bagi pendaftaran lewat sijil lahir untuk empat anak mereka, iaitu Mek Kayek Ejon, 1, Aga Redu Ejon, 3; Aga Julian Ejon, 6; dan Aga Pinsol, 8.

Ejon bersyukur akhirnya empat anaknya berjaya didaftarkan untuk mendapatkan sijil lahir.

Dia mengakui penting memiliki sijil kelahiran anak, tetapi tidak dapat keluar untuk membuatnya kerana masalah pengangkutan dan tinggal di kampung pedalaman.

Dia lega kini empat anak akan memiliki sijil lahir yang akan digunakan pada masa akan datang terutama pendaftaran persekolahan.

"Saya sudah dimaklumkan kehadiran JPN yang ingin membantu penduduk dalam urusan pendaftaran lewat sijil lahir di sini, namun kerana jarak dari Kampung Gawin ke Kampung Gob agak jauh dan tiada kenderaan ke sana, saya terpaksa pendamkan hasrat itu.

"Saya tidak sangka mereka sanggup singgah di Kampung Gawin dalam perjalanan pulang dan membantu kami buat pendaftaran anak, penantian kami berakhir," katanya.

Timbalan Pengarah JAKOA Kelantan Terengganu Roslina Bun, berkata hasil Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat selama seminggu sebanyak 71 pendaftaran lewat kelahiran dan membuat kad pengenalan berjaya di selesaikan yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan lain.

"Program ini bermanfaat kepada Orang Asli di pedalaman terutama mereka sukar untuk keluar membuat urusan pendaftaran kelahiran.

"Seramai 53 penduduk juga membuat kad pengenalan, 18 kes daftar lewat kelahiran dan penyerahan kad pengenalan kepada beberapa penduduk" katanya ditemui di Kampung Bihai Lama, Pos Bihai, baru-baru ini.

 Kakitangan JPN membantu masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di pedalaman melakukan pendaftaran lewat Sijil Lahir bagi anak-anak mereka Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat. - NSTP/Paya Linda Yahya
Kakitangan JPN membantu masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di pedalaman melakukan pendaftaran lewat Sijil Lahir bagi anak-anak mereka Program Outreach dan Kembara Mesra Rakyat. - NSTP/Paya Linda Yahya

Roslina berkata lebih 300 kilometer (km) perjalanan melalui jalan tanah merah, berbatu dan berlumpur ditempuh ke perkampungan itu, tapi berbaloi dapat membantu mereka.

"JKM juga dapat membantu 33 kes termasuk permohonan bantuan dan kad untuk orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Peka GM, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pihaknya juga mengagihkan baju terpakai kepada penduduk Orang Asli hasil sumbangan orang ramai.

"Kami bawa 1,000 pakaian terpakai untuk lelaki dan wanita yang kami pilih dan bungkus untuk diagihkan golongan memerlukan di sana. Kami harap mereka juga gembira dengan usaha dilakukan ini," katanya.

Berita Harian X