KANAK-kanak cenderung makan makanan seperti ibu bapa mereka
Laporan satu kajian mengenai sumbangan ibu bapa terhadap masalah obesiti yang semakin ketara di kalangan kanak-kanak dan remaja, mendapati mereka cenderung menikmati makanan seperti ibu bapa mereka.
Penyelidik mendapati, remaja lebih cenderung untuk makan sekurang-kurangnya lima sajian buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari, jika ibu bapa melakukan perkara sama.
Sebaliknya, remaja yang mempunyai ibu bapa yang sering memilih makanan segera atau minuman bersoda, juga cenderung mempunyai tabiat pemakanan sedemikian.
Setiap hari, ramai remaja menikmati minuman soda dan menikmati makanan segera. Tetapi, mereka kurang makan sajian buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kekurangan makanan menyihatkan dalam diet remaja dikatakan berpunca daripada kewujudan restoran makanan segera yang banyak di bandar dan kawasan kejiranan serta faktor persekitaran lain.
Kajian mendapati bahawa tabiat pemakanan yang baik bermula di rumah. Ramai remaja mengalami masalah berat badan berlebihan atau kegemukan.
Tabiat pemakanan yang buruk disertai faktor persekitaran lain, banyak dikaitkan dengan obesiti.
Antara hasil kajian berkenaan mendapati:
* Remaja yang mempunyai ibu bapa yang minum soda setiap hari, juga mempunyai kecenderungan untuk menikmati minuman berkenaan berbanding remaja yang mempunyai ibu bapa yang tidak minum soda.
* Remaja yang mempunyai ibu bapa yang makan lima sajian buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari, menunjukkan kecenderungan bagi remaja itu melakukan perkara serupa berbanding remaja yang mempunyai ibu bapa yang tidak menikmati hidangan menyihatkan itu.
Perkara utama untuk menyelesaikan krisis obesiti remaja bermula dengan ibu bapa tetapi persekitaran makanan di kebanyakan masyarakat berpendapatan rendah juga harus dipertingkatkan.
Ibu bapa adalah contoh utama untuk kanak-kanak dan tingkah laku golongan dewasa itu sama ada secara positif atau negatif, boleh mempengaruhi kesihatan kanak-kanak.