Khamis, 27 April 2023 | 9:42am

Pengalaman raya paling pahit

JOHOR BAHRU: Lebih dua tahun tidak dapat bertemu anak kesayangan menjadi antara pengalaman pahit seorang ibu, juga rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Bagi Farrah Diyana Mohamad Ali, 35, penutupan sempadan negara pada 18 Mac 2020 hingga 1 April 2022, menyebabkan beliau terpaksa berpisah sementara dengan Muhammad Azfar Darwish, 11 dan Muhammad Azwar Daiyan, 9, adalah memori duka yang tidak dapat dilupakannya.

Farrah Diyana penolong pengurus sebuah syarikat logistik di Singapura berkata, perpisahan sementara itu sangat memeritkan apatah lagi anaknya itu amat manja dan rapat dengannya.

Katanya, paling memilukan apabila beliau hanya dapat menatap air mata anak bongsu yang merinduinya menerusi panggilan video setiap hari akan dilakukannya.

"Itu antara pengalaman pahit saya sebagai ibu apabila terpisah dengan anak berikutan sempadan negara ditutup akibat COVID-19.

"Seperti pekerja Malaysia di Singapura lain, kami pada mulanya ingatkan penutupan sempadan hanya dua minggu, namun kami tidak jangka terus ditutup sehingga lebih dua tahun.

"Hampir setahun saya terpaksa pujuk anak yang menangis kerinduan. Apabila tiba Ramadan dan Aidilfitri, anak dan saya juga jadi lebih sayu dan hiba kerana kami tidak dapat menyambut bulan penuh barakah itu bersama seperti kebiasaan.

Anak sulung, Muhammad Azfar Darwish, 11, bersalaman bersama Farrah Diyana di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Anak sulung, Muhammad Azfar Darwish, 11, bersalaman bersama Farrah Diyana di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Paling sedih setiap kali berbuka puasa sendirian, saya jadi sebak mengenangkan anak dan keluarga di Johor Bahru. Ketika takbir bergema pada malam terakhir Ramadan, hati jadi sebak dan menangis hiba," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Namun, episod duka Farrah Diyana dan keluarganya itu berakhir dengan pembukaan sempadan pada 1 April 2022.

Berseorangan uji erti kesabaran

Katanya, ketika pengumuman pembukaan sempadan itu dibuat, hatinya melonjak gembira kerana kerinduan ditanggung bakal berakhir.

"Seolah-olah terasa macam dapat nyawa baharu apabila berita itu diumumkan. Ketika itu saya sedari keluarga adalah segala-galanya dan bertekad mahu lebih menghargai setiap saat bersama mereka," katanya.

Beliau sudah berkhidmat di Singapura lebih lapan tahun berkata, berkata berpuasa dan beraya berseorangan banyak mengajar erti ketabahan dan sentiasa bersabar.

Farrah Diyana menyambut hari raya bersama dua anak lelakinya Muhammad Azfar Darwish, 11, dan Muhammad Azwar Daiyan, 9, dan anak saudaranya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Farrah Diyana menyambut hari raya bersama dua anak lelakinya Muhammad Azfar Darwish, 11, dan Muhammad Azwar Daiyan, 9, dan anak saudaranya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Memang tidak sama berpuasa dan beraya tanpa ada keluarga di sisi. Setiap masakan dan hidangan dibuat terasa hambar dan tidak seenak air tangan ibu," katanya.

Tidak mahu bersedih lagi, Farrah Diyana dan keluarganya menyambut Aidilfitri lebih meriah tahun ini dengan semua adik-beradik akan berkumpul.

Gembira dapat beraya bersama keluarga

Katanya, tahun lalu sambutan Aidilfitri kurang terasa berikutan tidak semua ahli keluarganya dapat berkumpul, apatah lagi ketika itu sempadan juga baru dibuka.

"Aidilfitri tahun ini kami masak makanan kegemaran keluarga iaitu lontong, lodeh, ayam masak merah dan sambal kacang bersama-sama.

"Sudah pasti insan paling gembira adalah dua anak kesayangan dan ibu saya. Selepas lebih dua tahun berpisah, hubungan kami menjadi lebih rapat dan menghargai setiap detik masa terluang," katanya.

Anak sulung, Muhammad Azfar Darwish, 11, bersalaman bersama Farrah Diyana di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Anak sulung, Muhammad Azfar Darwish, 11, bersalaman bersama Farrah Diyana di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Beliau aktif melakukan kerja kemasyarakatan di Singapura tatkala dirinya dan ribuan pekerja Malaysia terperangkap di sana akibat penutupan sempadan

Beliau bernasib baik kerana mempunyai ayah saudara di Singapura yang sentiasa menyokong emosinya terganggu akibat terpisah dengan keluarga.

"Namun, ramai pekerja Malaysia terperangkap berhadapan nasib lebih menyedihkan daripada saya kerana kebanyakan mereka pendapatan rendah.

"Bayangkan, kebanyakan mereka mempunyai pendapatan S$1,000 (RM3,318). Sewa bilik sahaja sudah S$550 (RM1,825) paling murah, itu belum lagi makan minum, tambang atau minyak motosikal selain wang untuk keluarga di Malaysia.

"Oleh itu, saya dan beberapa rakyat Malaysia di Singapura aktif membantu rakan senegara tidak bernasib baik menerusi pertubuhan sukarela, 1thirdmedia Movement.

"Pada awal penutupan sempadan, kami mengumpul dana sesama sendiri bagi menyediakan makanan untuk diagihkan kepada rakan senegara yang mengalami kesempitan hidup di sana," katanya.

Sertai kerja kebajikan

Farrah Diyana ketika ditemuramah di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Farrah Diyana ketika ditemuramah di rumahnya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Kerja sukarela membantu rakan senegara kesempitan itu akhirnya diketahui rakyat Singapura yang kemudiannya turut bersama menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah, ketika kerja kebajikan kami tersebar, ramai warga Singapura berhati mulia tampil membantu berikan dana tambahan dan turun padang menyumbangkan makanan sebelum diagihkan kepada rakan senegara yang terkesan.

"Walaupun, penutupan sempadan sudah berakhir, badan kebajikan kami terus aktif membantu rakan senegara ditimpa musibah termasuk kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja selain membantu mereka ditipu agensi pekerjaan serta pelbagai masalah lain," katanya.

Farrah Diyana bergambar bersama keluarganya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Farrah Diyana bergambar bersama keluarganya di Masai, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Farrah Diyana bersalaman dengan ibu dan neneknya. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Farrah Diyana bersalaman dengan ibu dan neneknya. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X