KUALA LUMPUR: Kehadiran atau campur tangan orang ketiga tetap menjadi punca utama keruntuhan rumah tangga, meskipun terdapat 1,001 sebab lain yang mendorong perkahwinan dibubarkan antaranya tidak lagi sanggup terus dipergunakan.
Peguam syariah, Nurul Izzah Zainol, berkata faktor usia tidak menentukan berlaku perceraian, berikutan punca terlerai ikatan boleh terjadi disebabkan berapa lama tempoh perkahwinan ditempuhi mereka.
"Memang diakui satu-satu masa trend menunjukkan pasangan muda bercerai, namun pada satu ketika, pasangan berkahwin dengan tempoh 20, 30 bahkan 50 tahun pula mahu berpisah, kerana perubahan didambakan bertahun-tahun terhadap pasangan tidak menjadi kenyataan.
"Sebagai contoh, anak guam saya berusia 70 tahun mahu bercerai, kerana masing-masing tiada lagi ruang kesefahaman, walaupun sudah membina rumah tangga lebih 50 tahun.
"Hal ini membuktikan usia bukan faktor penentuan sama terus bertahan atau berpisah, kerana perceraian dipilih apabila seseorang itu dicurangi, tidak diberi nafkah, dicederakan hingga tiba satu masa, mereka bertekad memfailkan perceraian kerana tidak mampu lagi bertahan," katanya.
Beliau berkata, ramai pasangan memilih pendekatan untuk bertahan walaupun dari awal perkahwinan dirinya dipukul, dibiarkan menanggung sepenuhnya beban kewangan tetapi masih tidak mahu mengambil keputusan berpisah demi masa depan anak-anak.
"Wanita seolah-olah imun (kebal) walaupun mereka dikasari namun sampai satu masa, kesabaran sampai kemuncaknya, mereka mula sedar kembali bujang lebih menjanjikan kehidupan bahagia.
"Sebab itu perceraian tidak berlaku secara tiba-tiba hanya kerana dicurangi, tetapi disebabkan faktor lain seperti wujudnya parasit atau peranan yang tidak seimbang antara pasangan, memaksa golongan wanita perlu bekerja keras berikutan semua beban ditanggungnya sendirian," katanya.
Namun, menurut Nurul Izzah, persepsi ramai apabila seseorang itu merujuk masalah rumah tangga kepada peguam, hubungan itu pasti berakhir perceraian, adalah kurang tepat.
"Sebenarnya kita bukan bulat-bulat mengusulkan perceraian, tetapi peguam menasihatkan anak guam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan haknya untuk bercerai. Pilihan menggunakan haknya di sisi undang-undang atau tidak adalah atas individu itu.
"Peguam berperanan memberikan maklumat undang-undang misalnya, tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak mohon cerai fasakh dan jika empat bulan tidak diberi nafkah, boleh memohon cerai ta'liq.
"Bagaimanapun, intervensi guaman biasanya menjadi penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil contohnya berkaitan isu nafkah, ada wanita hingga ke peringkat menderita tekanan mental.
"Jadi kita memberi saranan sepatutnya seperti tiga bulan tidak diberi nafkah, wanita ada hak memohon cerai, khidmat guaman adalah penyelesaian terakhir selepas segala usaha tidak membuahkan hasil," katanya.
Beliau berkata, perkahwinan sepatutnya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang lebih dan ikatan itu sewajarnya lebih memperbaiki banyak keperluan dan gaya hidup serta mempertingkatkan potensi, kecemerlangan, karier dan kewangan lebih baik.
"Itu tujuan perkahwinan. Bagi saya, apabila perkahwinan itu tidak mencapai matlamat daripada pelbagai sudut dan berlaku kepincangan, maksiat, maka matlamat perkahwinan sudah tidak lagi tercapai.
"Justeru, penyelesaiannya adalah perceraian, apabila perkahwinan tidak lagi menjadi ladang pahala, bahkan lebih banyak kemungkaran dan dosa, kualiti hidup juga tidak semakin membaik. Apa lagi yang ditunggu?
"Perkahwinan tidak seharusnya memandulkan potensi dan produktiviti setiap orang. Jika kita dimandulkan oleh perkahwinan sehingga tidak memberikan perubahan yang positif kepada diri dan masyarakat, itu bukan perkahwinan yang dimahukan dalam Islam.
"Jadi asas kita untuk menilai wajarkan sebuah perkahwinan itu dipertahankan adalah dengan melihat apa nilai positif dan negatif yg wujud daripada perkahwinan itu.
"Sekiranya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan, maka perpisahan adalah jalan yang terbaik," katanya