Golongan lelaki mempunyai daya ketahanan badan lebih kuat, berbanding wanita lebih mudah mendapat penyakit diabetes atau kencing manis.
Kebanyakan wanita juga mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.
Ada wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung berpunca daripada perubahan hormon dan faktor pemakanan.
Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.
Jadi, jangan tunggu sehingga sudah sampai ke peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa doktor.
Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.
Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran bayi, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang.
Malah, bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal.
Kajian mendapati satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu.
Sekiranya kedua-dua ibu bapa mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan mendapatnya.
Cara mencegah diabetes
Cara mencegah dan mengawal diabetes dengan mengawal pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat.
Ambil makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.
Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah hari.
Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan, mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam.
Ini kerana makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan.
Kebanyakan mereka akan tidur dan menonton televisyen selepas makan malam. Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam setiap hari.
Sering kali alasan tidak sempat, banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota.
Sekiranya terikat dengan tugasan pejabat sehingga tidak dapat bersenam, sepatutnya individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan harian.
Misalnya, menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari, banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.
Jaga kesihatan anak elak obes
Selain itu, penjagaan kesihatan awal kanak-kanak sangat membantu mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini.
Ibu bapa perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel, justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami masalah berat badan.
Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak. Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif.
Jangan kerana mahukan anak yang comel dan besar sehingga membiarkan anak makan apa saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah.
Oleh itu ibu bapa perlu menetapkan apa yang perlu dimakan anak.
Misalnya, menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan vitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Memberi air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat.
Beri makanan dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat, berlemak dan bergula secara berlebihan.
Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil, berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa.