Khamis, 23 March 2023 | 12:46pm
Sebahagian penerima Bakul Rahmah bergambar bersama Saliza (belakang, kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng.
Sebahagian penerima Bakul Rahmah bergambar bersama Saliza (belakang, kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng.

Bakul Rahmah ringan beban golongan memerlukan

PETALING JAYA: Ketibaan Ramadan sering menjadi platform pelbagai pihak untuk melipatgandakan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan supaya ia lebih diberkati.

Sama ada bantuan dalam bentuk barangan makanan dan keperluan seharian atau wang tunai, ia amat dihargai kerana dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup yang meningkat.

Ketua Komuniti Zon 3 USJ, di sini, Norazliana Husin, 51, mengakui banyak bantuan bakal diterima daripada pelbagai pihak dan ia memberi makna yang besar, lebih-lebih lagi pada Ramadan.

"Saya ada 10 anak, jadi bantuan yang diberikan sangat bererti untuk meringankan beban saya sekeluarga yang tinggal di bandar besar seperti Subang Jaya.

"Sebelum ini, banyak bantuan diterima daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ini membuktikan mereka amat mengambil berat terhadap kami golongan B40.

"Saya berharap akan ada lagi bantuan seperti ini kerana ramai penduduk di sini memerlukannya bagi menampung keperluan harian," katanya ditemui, baru-baru ini.

Beliau adalah antara 100 penduduk di Subang Jaya yang menerima bantuan Bakul Rahmah Ramadan sumbangan Aeon Big cawangan Subang Jaya, pada majlis yang dianjurkan BG Capital Holdings Sdn Bhd (BGCH).

Suri rumah, Faizatul Nalkiyah, 38, berkata bantuan diterima memberi sinar kepada masyarakat di sekitar bandar itu, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tiada pekerjaan tetap.

"Saya tak sangka tersenarai sebagai penerima. Jadi, bila saya tahu saya terpilih, saya tidak lepaskan peluang begitu sahaja kerana tidak semua dapat peluang seperti ini," katanya.

Seorang lagi penerima, suri rumah, Paramaswari Marimuthu, 43, berkata bantuan yang diterima itu mampu mengurangkan beban kos sara hidup di bandar, lebih-lebih lagi keadaan ekonomi negara ketika ini yang sedang dalam proses pemulihan ekoran pandemik COVID-19.

"Saya tidak mempunyai pendapatan dan tiada pekerjaan selepas berhenti bekerja sebagai tukang sapu.

"Walaupun suami saya bekerja, pendapatan masih tidak mencukupi sebab tinggal di bandar raya...kos sara hidup tinggi.

"Saya gembira sebab tersenarai sebagai penerima manfaat ini. Antara keperluan yang saya dapat seperti minyak masak, gula dan beberapa lagi keperluan harian lain sudah memadai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan BGCH, Saliza Abdullah, berkata inisiatif syarikatnya dan Aeon Big cawangan Subang Jaya memberi Bakul Rahmah kepada ibu tunggal dan golongan B40 itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan, dalam keadaan ekonomi yang semakin tertekan ketika ini.

Beliau berkata, ia juga adalah bagi menyokong program Payung Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu meringankan beban golongan B40.

"Program Payung Rahmah yang dilaksanakan kerajaan ini

memberi impak positif kepada penduduk, khususnya golongan terkesan terutama akibat pandemik COVID19.

"Kami menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan inisiatif ini. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya.

Selain memberi Bakul Rahmah, BGCH juga menganjurkan pelbagai program bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia dengan kerjasama pelbagai rakan strategik untuk masyarakat setempat.

Antaranya, ceramah mengenai peluang perniagaan, hak wanita di sisi undang-undang serta pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan kesihatan asas percuma yang disediakan oleh Subang Jaya Medical Centre (SJMC).
Pemeriksaan kesihatan asas percuma yang disediakan oleh Subang Jaya Medical Centre (SJMC).

Bicara Topik Perkahwinan dan Syariah: Bertahan atau Bercerai?, antara program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.
Bicara Topik Perkahwinan dan Syariah: Bertahan atau Bercerai?, antara program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Berita Harian X