KUALA LUMPUR: Bagi memastikan wanita mampu untuk terus menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara, aspek kesejahteraan wanita berkerjaya harus diberi perhatian serius.
Ini kerana wanita memainkan pelbagai peranan sebagai seorang isteri, ibu, pekerja, anak dan pelbagai lagi tanggungjawab yang ada kalanya menimbulkan konflik dan seterusnya tekanan yang menghalang wanita untuk kekal produktif.
Sehubungan itu, bagi mengenal pasti apakah aspek kesejahteraan bagi wanita yang berkerjaya, satu kajian kualitatif dijalankan dalam kalangan wanita berkahwin yang berusia 40 tahun ke atas, mempunyai anak dan mempunyai pengalaman berkerja lebih 10 tahun.
Pengarah Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Che Hasniza Che Noh, berkata kajian itu mendapat penajaan di bawah 'Fundamental Research Grant' Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang membabitkan pensyarah wanita yang turut memegang jawatan pengurusan di universiti masing-masing.
Katanya, hasil temubual mendalam terhadap sekumpulan wanita berkerjaya itu mendapati kesejahteraan ditakrifkan sebagai ketenangan mental, emosi dan jiwa, serta rasa aman dan tenteram dalam setiap peranan sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja serta tanggungjawab lain yang berkaitan.
"Kegagalan dalam menjalankan salah satu peranan itu akan mendatangkan kecelaruan dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan dalam kehidupan wanita yang berkerjaya," katanya.
Justeru, suami adalah tulang belakang yang boleh menentukan jatuh bangun kehidupan kerjaya wanita berkeluarga dan mampu memastikan kelangsungan untuk meneruskan kerjaya dengan berkesan.
"Antara bentuk sokongan yang perlu ialah sikap ringan tulang dalam membantu tugas rumah tangga, menjaga anak ketika isteri bertugas di luar kawasan atau perlu hadir bertugas sehingga lewat malam atau ketika hari cuti.
"Suami yang memahami kerjaya isteri juga amat penting, misalnya ada kalanya isteri perlu menghadiri persidangan, mesyuarat dan sebagainya kerana ia salah satu keperluan kerjaya," katanya.
Selain itu katanya, reda suami yang membenarkan isteri keluar bekerja juga faktor penting yang memberikan ketenangan ketika isteri keluar bekerja.
Kajian juga mendapati wanita yang mendapat sokongan ahli keluarga sangat membantu untuk wanita merasa sejahtera khususnya apabila mereka keluar bekerja.
"Selain itu, anak-anak yang mampu berdikari seawal usia juga akan membantu ibu untuk bekerja dengan tenang," katanya.
Che Hasniza berkata, kajian itu juga mendapati pembantu rumah, pengasuh dan pusat penjagaan kanak-kanak sangat membantu wanita untuk lebih fokus ketika bekerja.
Begitu pusat asuhan yang memenuhi kriteria yang diperlukan, ia membuatkan para ibu mampu bekerja dengan tenang.
Majikan, rakan sekerja dan kemudahan yang kondusif turun memainkan peranan dalam kesejahteraan wanita.
"Ini kerana tempat bekerja adalah 'rumah kedua' wanita berkerjaya hingga ada kalanya jumlah masa diluangkan di tempat kerja lebih lama berbanding di rumah sendiri.
"Kajian mendapati jika berlaku konflik antara kerja dan keluarga, wanita akan mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sekali pun mereka terpaksa berhadapan dengan kekangan kewangan akibat berhenti bekerja," katanya.
Fasiliti di tempat kerja juga akan membantu wanita misalnya terdapat kemudahan Taska untuk meninggalkan anak-anak dengan selamat ketika bekerja.
Namun katanya, wanita yang tidak dapat menyeimbangkan kerjaya dan keluarga akan mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
"Ia jelas satu kerugian kepada masyarakat, organisasi dan negara kerana wanita tidak dapat menyumbang secara langsung.
"Justeru, bagi mencapai keseimbangan antara kerjaya dan keluarga, aspek kesejahteraan wanita harus diberi perhatian," katanya.