Isnin, 13 March 2023 | 8:09am
Praanvi, kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun catat sejarah jadi guru yoga termuda dunia. Foto/ Guinness World Records
Praanvi, kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun catat sejarah jadi guru yoga termuda dunia. Foto/ Guinness World Records

Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun jadi guru yoga termuda di dunia

Kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun, Praanvi Gupta, mencipta sejarah apabila mencatat rekod sebagai pengajar yoga wanita termuda di dunia oleh Guinness World Records.

Kejayaan anak kelahiran India itu diperakui RYT200 (Guru Yoga Berdaftar) oleh Pertubuhan Perikatan Yoga selepas menamatkan kursus latihan guru yoga selama 200 jam.

Praanvi memulakan perjalanan kariernya dalam bidang senaman yoga pada umur tiga tahun apabila mendapat inspirasi daripada ibunya yang berlatih senaman yoga di rumah.

Selepas berbulan-bulan memerhati dan meniru gerak-geri ibunya, Praanvi mula berlatih yoga sendiri, sebelum mendaftar kelas yoga secara formal pada usia tujuh tahun.

Praanvi berkata, dia juga berminat mengajar dan mahu menyebarkan rasa cintanya terhadap aktiviti yoga kepada orang ramai.

Katanya, dalam website guinnessworldrecords.com, guru yoganya turut menggalakkan dia untuk meneruskan minatnya itu dengan memulakan program latihan guru yoga.

"Namun, peranan sebagai seorang guru atau pengajar bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya juga bersekolah seperti anak-anak yang lain.

"Tetapi, dengan sokongan padu guru dan ibu bapa, saya berjaya menamatkan kursus serta lulus dalam peperiksaan kelayakan kursus latihan guru yoga," katanya.

Difahamkan, ini bukan kejayaan pertama Praanvi. Sebelum ini, dia pernah menerima beberapa pingat emas dalam pertandingan Olimpik di peringkat antarabangsa.

Padam rekod lelaki termuda lulus jadi guru yoga

Pengiktirafan Guinness World Records itu, sekali gus, Praanvi berjaya memadamkan pemegang rekod pengajar yoga termuda lelaki sebelum ini, Reyansh Surani yang mendapat kelulusan menjadi guru yoga pada usia sembilan tahun, dicatat pada Julai 2021.

Praanvi berjaya padamkan rekod yang pernah dicatat lelaki termuda lulus jadi guru termuda pada usia 9 tahun. - Foto/Guinness World Records
Praanvi berjaya padamkan rekod yang pernah dicatat lelaki termuda lulus jadi guru termuda pada usia 9 tahun. - Foto/Guinness World Records

Bagi membawa semangatnya untuk mengajar, Praanvi juga mencipta laman Youtube miliknya untuk berkongsi perjalanan senaman yoga kepada masyarakat di seluruh dunia, di samping dapat mendidik orang ramai berkaitan senaman itu.

Praanvim berpendapat yoga mampu memberi manfaat kepada kanak-kanak dan orang dewasa kerana ia membantu meningkatkan tumpuan dan menyumbang kepada kehidupan lebih sihat dan bahagia. - AGENSI

Berita Harian X