JOHOR Bahru: Melihat fizikal tubuhnya bongkok tiga, dengan usia emas pasti terlintas di fikiran inilah golongan yang perlu dihulurkan bantuan.
Namun, tidak bagi Siti Normah Alif, 77, biarpun sudah bergelar moyang dan mempunyai tiga cicit, beliau mempunyai sosok berbeza apabila masih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi persatuan Perkumpulan Perempuan (WI) cawangan Taman Ungku Tun Aminah, di sini.
Beliau mesra disapa Mak Long, mula aktif dalam persatuan itu sejak 1987 lagi dan kini sudah mencecah 36 tahun melakukan kerja kebajikan,
Pembabitannya dalam persatuan sebagai ahli pada ketika itu banyak mendedahkan diri dengan pelbagai isu kemasyarakatan terutama membabitkan golongan wanita.
"
Kita bantu semua wanita dari segi kewangan dan tenaga tanpa mengira latar belakang politik dan agama.
"Seronok bila dapat membantu orang susah, anak yatim dan mereka yang ditimpa bencana. Kepuasan menolong mereka ini sukar digambarkan.
"Saya bergiat aktif ketika berumur 40 tahun. Bantuan kami melangkau hingga ke Indonesia. Kami menyumbang barangan keperluan harian kepada mangsa Tsunami, di Aceh, Indonesia, ketika itu usia saya 65 tahun," katanya.
Beliau berkata, WI awalnya dianggotai seramai 150, tetapi sekarang yang aktif hanya 57 orang, ramai veteran, berusia 60 tahun ke atas.
"Setiap program kita akan buka tabung sumbangan. Yang sumbang dalam kalangan ahli, keluarga, saudara, jiran dan masyarakat.
"Apabila beri sumbangan kepada mereka yang memerlukan akan timbul rasa insaf dan bersyukur biarpun hidup secara sederhana," katanya kini lebih menumpukan aktiviti di kawasan setempat berikutan faktor usia.
Kejadian dirompak menyebabkan bongkok
Mengenai dirinya, pada 1998 keluarganya diuji dengan kematian suaminya, Abdul Raub Kadir akibat kanser paru-paru.
Katanya walaupun memegang status ibu tunggal dan membesarkan lima anaknya sendirian dengan berniaga warung tolak di tepi jalan, aktiviti kemasyarakatan tetap diteruskan.
"Mak Long dulu kerja tukang masak di sebuah restoran di Danga Bay, jadi setiap hari bekerja pada jam 4 pagi akan keluar dari rumah memandu kereta ke tempat kerja.
"Kejadian tak dapat dilupakan pernah ditendang oleh seorang lelaki hingga masuk ke longkang sebelum dia meletakkan pisau di leher dan merampas kunci kereta Mak Long dan terus melarikan diri tanpa dapat dikesan, ketika ingin mengunci pagar rumah.
"Akibat kejadian ini menjadi bongkok dan memerlukannya menggunakan tongkat dan kerusi roda jika berjalan jauh. Kesan kejadian itu juga terus dirasai sehingga sekarang," katanya.
Rumah jadi markas aktiviti persatuan
Ketika ini, rumah beliau dijadikan markas bagi melaksanakan pelbagai aktiviti persatuan termasuk mesyuarat dan meletakkan barangan sumbangan dan sebagainya.
"Kalau dulu WI guna balai raya untuk aktiviti kemasyarakatan, tetapi sekarang peraturan baru balai raya tidak boleh digunakan sebagai aktiviti persatuan.
"Jadi sudah bertahun-tahun WI ini menjadikan kediaman saya sebagai lokasi mesyuarat, pertemuan dan perbincangan.
"Kalau boleh besar sangat harapan saya untuk melihat WI mempunyai bilik gerakan sendiri bagi memudahkan urusan dan aktiviti kemasyarakatan, tidak perlu besar, ruang yang sederhana pun memadai," katanya bercadang mengunjungi WI Jakarta, tahun ini untuk bertukar pandangan dalam isu wanita, komuniti dan sukarelawan.