Kuala Lumpur: Wanita tidak lagi perlu dianggap insan lemah dan memerlukan pelbagai bantuan, sebaliknya amalkan pengurusan kewangan bijak dengan membuat simpanan sekurang-kurangnya RM1 setiap hari.
Pakar pengurusan kewangan, Laila Johari berkata mempunyai simpanan sendiri boleh meningkatkan keyakinan wanita untuk menghadapi apa sahaja cabaran menimpa.
"Menyimpan wang, kita akan belajar berjimat dan menghargai sukarnya mencapai tahap simpanan optimum. Ini secara tidak langsung wanita akan lebih cermat dalam berbelanja," katanya.
Justeru, Laila juga pakar motivasi dan penasihat kewangan sudah memiliki siri video di media sosial berkongsi panduan meningkatkan kesedaran mengenai ilmu dan pengurusan kewangan kepada wanita.
Melalui program 'Lets talk with Laila Johari,' beliau berbincang mengenai topik berkenaan ilmu cilik kewangan dan pengurusan khusus untuk wanita.
Antara topik mendapat perhatian ramai ialah lima perkara setiap wanita (terutama wanita yang sudah berumah tangga) perlu tahu mendepani krisis ekonomi diri sendiri dan keluarga.
Laila menegaskan setiap wanita tidak umur, latar belakang dan status kewangan perlu ada sekurang-kurang satu akaun simpanan sendiri.
"Tak perlu ribuan ringgit, cukup sekadar kita berdisiplin dan menyimpan RM5 setiap minggu, atau RM10 sebulan mengikut kemampuan masing-masing.
"Malah, boleh mulakan menyimpan walaupun RM1 sehari bagi memupuk disiplin dan selalulah berpegang kepada pepatah "Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.", katanya.
Beliau berkata, amalan menyimpan boleh menjadi contoh baik untuk anak-anak dan keluarga lain untuk tabungan pada masa depan.
"Perlahan-lahan penuhkan simpanan wang tunai di bank sebanyak RM5,000 kemudian baru mula fokus untuk simpanan di Tabung Haji, Amanah Saham dan emas fizikal atau akaun emas di bank," katanya.
Wanita perlu menetapkan had optimum yang mengikut kemampuan sendiri dan munasabah.
"Jika kita letak had simpanan terlalu tinggi dan tidak mampu mencapainya, kita akan kecewa. Jika terlalu rendah kita akan leka. Jadi, kenali diri sendiri dan letaklah jumlah simpanan yang sesuai dengan diri sendiri.
"Sebaiknya simpanan hendak cukup untuk enam bulan perbelanjaan jika seseorang itu kehilangan sumber kewangan," katanya.
Kongsi panduan jimat berbelanja
Beliau berkongsi panduan berbelanja berhemah, iaitu buat penelitian ketika membeli barang termasuk harga dan kira jumlah simpanan dan kos perbelanjaan," katanya.
Wanita boleh mengamalkan teknik melengahkan pembelian dengan ambil masa antara 15 hingga 20 minit, tinggalkan barangan dahulu untuk ke tempat lain.
Jika masih yakin diri mampu untuk membelinya, bolehlah dibeli.
"Selalunya termasuk diri saya sendiri, selepas 5 atau 10 minit saya sudah lupakan barangan yang hendak dibeli," katanya.
Beliau berkata, wanita sering terperdaya dengan iklan jualan murah, jualan hujung tahun dan sebagainya.
"Beli ikut keperluan, tak perlu beli losyen sehingga hingga lima atau enam botol, beli barangan kosmetik sekadar diperlukan. Tak perlu beli lima gincu berlainan warna, satu sudah memadai," katanya ahli seumur hidup 'Million Dollar Round Table", sebuah kumpulan pengurusan kewangan bertaraf antarabangsa.
Laila turut mengamalkan konsep sedekah sebelum beli supaya dirinya sentiasa mensyukuri apa yang sudah dimilikinya.
"Sebelum membuat keputusan untuk pergi membeli-belah, saya akan semak dahulu almari pakaian saya dan keluarkan jumlah pakaian yang hendak dibeli.
"Jika saya merancang membeli tiga pasang baju kurung, saya akan keluarkan tiga pasang baju kurung yang sudah ada dan sedekahkan sebelum membeli yang baharu," katanya.
Amalan itu dapat meningkatkan kesedaran terhadap apa yang sudah dimilikinya dan sentiasa bersyukur serta dapat lakukan amalan bersedekah.
"Jika tersilap beli, saya akan simpan elok-elok dan hadiah kepada orang lain, jika masih elok dipakai akan ubahsuai seperti letak manik atau memadankannya dengan aksesori lain," katanya banyak mengendali seminar, motivasi, kerjasama dengan Malaysian Insurance Institute (MII) untuk menarik masyarakat supaya celik insurans.