Sabtu, 3 Disember 2022 | 10:16am
Semua pasangan mengharapkan perkahwinan mereka bahagia hingga akhir hayat tanpa diuji dengan isu perceraian. - Foto hiasan/Freepik
Semua pasangan mengharapkan perkahwinan mereka bahagia hingga akhir hayat tanpa diuji dengan isu perceraian. - Foto hiasan/Freepik

Kekal romantis elak bercerai pada penghujung usia

[email protected] 

Kuala Lumpur: Pasangan yang sudah menjangkau usia perkahwinan melebihi 20 tahun perlu tahu cara mengukuh, mengekal dan menambah kemanisan hubungan bagi mengelak kasih sayang dibina semakin pudar.

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyemarakkan hubungan seperti sentiasa romantis, menyambut acara istimewa dan keluar makan bersama sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi menyemarakkan keharmonian rumah tangga.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr Anjli Doshi Ghandi, berkata semua pasangan mengharapkan perkahwinan mereka bahagia hingga akhir hayat tanpa diuji dengan isu perceraian.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila banyak juga kes perceraian membabitkan pasangan berumur 50 tahun ke atas dengan usia perkahwinan sudah melebihi 20 tahun dilaporkan.

Katanya, kes sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam usia itu ketika semua anak-anak sudah dewasa, tetapi masih berlaku perceraian.

"Antara punca perceraian disebabkan tiada lagi persefahaman pasangan tidak bertanggungjawab dan ada kes hanya kerana masalah remeh.

"Berdasarkan kajian LPPKN, antara punca lain perceraian yang direkodkan kes suami terlalu kedekut dengan pasangan, bergaduh kerana hanya mahu melihat rancangan televisyen kegemaran, isteri gemuk dan sebagainya," katanya pada Forum Konsultatif Pemantapan Perkahwinan 2022: Melayari Bahtera Perkahwinan Bersama Hingga Akhir Hayat, secara dalam talian, baru-baru ini.

Sudah menjadi adat perkahwinan ada pasang dan surut, sebaliknya suami isteri perlu tangani dengan sebaiknya.

Perkukuhkan ilmu keibubapaan

Justeru, selain menyemarakkan kasih sayang dengan cara tersendiri, bagi pasangan yang sudah lama berkahwin, mereka seharusnya dengan sukarela mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak terutama LPPKN seperti kursus pasca perkahwinan atau kursus keibubapaan.

 Dr Anjli Doshi Ghandi
Dr Anjli Doshi Ghandi

Katanya, pasangan juga boleh membuat rujukan sendiri di laman sosial atau membeli buku yang bersesuaian dalam usaha mengukuh dan mengharmonikan lagi rumah tangga.

Setiap pasangan perlu berkongsi masalah antara satu sama lain atau dengan kawan yang boleh dipercayai bagi mengurangkan beban.

"Jika ada masalah perlu cari jalan penyelesaian dengan segera kerana masalah tidak akan hilang begitu sahaja dan semua pasangan ada masalah tersendiri.

"Namun, cabaran yang paling penting adalah cara mengawalnya dengan bijak bagi mengelakkan keganasan rumah tangga," katanya.

Berita Harian X