KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial ketika ini banyak mempengaruhi hidup pengguna sehingga menjadi antara punca perkahwinan tempoh singkat, seterusnya membawa kepada perceraian.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Nurfarizan Jaafar, berkata sebagai contoh ada individu yang belum berkahwin melihat rakan, artis kegemaran atau saudara mara membuat hantaran gambar perkahwinan mereka di media sosial, sehingga membuatkan dirinya rasa tercabar.
Lantas, individu itu berusaha mencari pasangan dan berkahwin segera, semata-mata untuk menunjukkan dirinya juga mampu berkahwin.
"Apabila tujuan perkahwinan hanya untuk menunjuk di sosial media yang dia juga mampu berbuat demikian, ia tidak selari dengan matlamat utama perkahwinan.
"Individu yang tergesa-gesa mencari pasangan dan tidak sempat mengenal hati budi seterusnya apabila berlaku masalah, dengan mudah terus meminta cerai.
"Lebih membimbangkan, individu itu juga bangga menggunakan media sosial memaklumkan perceraiannya.
"Ini jelas menunjukkan penggunaan media sosial boleh mempengaruhi hidup seseorang, termasuk punca berlaku perkahwinan dan perceraian," katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Konsultatif Pemantapan Perkahwinan 2022: Melayari Bahtera Perkahwinan Bersama Hingga Akhir Hayat yang diadakan dalam talian, kelmarin.
Forum itu dianjurkan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Nurfarizan berkata, selain penggunaan media sosial trend untuk berkahwin sebagai imej sosial juga menjadi antara punca perkahwinan singkat.
Ada individu hanya berkahwin semata-mata ingin menunjuk dirinya mampu berkahwin seperti pasangan lain.
"Perkahwinan sepatutnya perlu ada ilmu dan memahami matlamat utama dengan mengambil tahu cara mengukuhkan ikatan itu, bukan mahu mengikut trend.
"Jika ada sebarang masalah dalam perkahwinan, masing-masing tahu apa tindakan perlu diambil untuk mengharmonikan semula rumah tangga.
"Keserasian juga penting untuk membina mahligai bahagia," katanya.
Setiap pasangan wajar memahami tanggungjawab dan saling membantu melakukan kerja rumah.
Katanya, wanita zaman dahulu berbeza, hanya menjadi suri rumah, berbanding sekarang ramai sudah berkerjaya.
"Apabila sama-sama ada profesion, kerja rumah perlu dilakukan bersama dan jangan hanya meletakkan tugasan itu pada bahu wanita.
"Lelaki patut tahu tugas mereka dan bukan membiarkan isteri membuat kerja rumah sendirian. Senario dahulu dan sekarang jauh berbeza," katanya.
"Mengikut data JAKIM, kebanyakan pasangan bercerai disebabkan gagal mengikut kemahuan pasangan dan terpengaruh dengan media sosial.
"Sebagai contoh wanita mahukan barang kemas atau perabot mahal, tetapi suami gagal beli kerana kurang berkemampuan.
"Contoh lain, suami mahukan layanan isteri, tetapi isteri enggan kerana alasan penat bekerja. Contoh ini nampak remeh, tetapi memberi impak besar sehingga membawa kes perceraian," katanya.
Tanpa ilmu perkahwinan semuanya menjadi rapuh dan bukan hanya menghadiri kursus praperkahwinan.
Bagaimanapun, jika perceraian tidak dapat dielak, wanita perlu tahu hak mereka.
Isu pembubaran perkahwinan tidak kira sama ada beragama Islam atau agama lain, penting supaya setiap wanita tahu prosedur perceraian.
Masalah kewangan punca perceraian
Timbalan Pengarah Pentadbiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wilayah Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz, berkata, antara punca utama perceraian bukan beragama Islam disebabkan masalah kewangan, curang, penderaan dan pasangan tidak bertanggungjawab.
"Bagaimanapun, cabaran mereka untuk bercerai agak sukar kerana syarat pertama perlu berkahwin dalam tempoh dua tahun.
"Ini membuatkan ramai pasangan bukan Islam memilih tidak bercerai, tetapi hanya berpisah (tidak tinggal sebumbung) kerana urusan perceraian mahal dan susah. Khidmat peguam juga gagal menemui jalan perdamaian.
"Bagi pasangan tidak sebumbung, ada juga kes ingin meneruskan perceraian, tetapi disebabkan tiada alamat lengkap proses menjadi sukar.
"Mengikut data, negeri paling tinggi permohonan rujukan ke Tribunal Perkahwinan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), adalah Selangor diikuti Johor dan Kuala Lumpur.
"Bagi kes perceraian, Kuala Kuala Lumpur mencatat kes tertinggi, diikuti Johor dan Selangor. Lazim perceraian berlaku selepas lima tahun berkahwin, iaitu dalam kalangan mereka berusia antara 34 hingga 39 tahun," katanya.