KUALA LUMPUR: Kegagalan lelaki bergelar ayah atau suami menjadi pemimpin dalam keluarga antara penyumbang kepada pelbagai masalah dan keberantakkan dalam institusi keluarga dibina.
Lebih parah lagi, wujud perilaku negatif apabila ketua keluarga ini 'menjadi duri dalam daging' berlaku kepincangan disiplin termasuk terbabit jenayah seksual seperti sumbang mahram atau merogol anak yang diibaratkan seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi'.
Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, berkata isu jenayah seksual dalam kalangan ahli keluarga tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya bapa perlu berperanan menjaga anak dalam segala aspek.
"Perbuatan sumbang mahram atau terus melepaskan si pelaku ini bukan baru sahaja berlaku di negara kita. Malah ia berlaku sejak dahulu lagi.
"Malah, ramai juga mangsa yang memilih untuk senyap atau diminta untuk lupakan 'kisah hitam' kerana mahu melindungi pelaku (ayah) yang menjadi tunggak utama keluarga.
"Sudah tiba masa masyarakat menjadikan alasan takut mengaibkan keluarga sebaliknya melaporkan terus kepada pihak berkuasa.
"Sampai bila mahu melihat generasi akan datang berdepan dengan trauma hanya semata-mata mahu menjaga kedudukan keluarga," katanya.
Beliau yang juga kaunselor berdaftar dari Lembaga Kaunselor Malaysia, berkata isu dalam keluarga ini boleh menyebabkan timbul masalah psikologi ahli keluarga, selain mengakibatkan keberantakkan antara mereka.
Katanya, sifat kepimpinan yang sepatutnya ada dalam diri bapa dan suami adalah sebagai pelindung untuk membendung masalah sosial dalam institusi keluarga.
Kebanyakan kes masalah keluarga tidak kira membabitkan jenayah seksual atau tidak, ia berpunca daripada kurang ilmu kepimpinan lelaki untuk bertindak sebagai pemimpin bukannya punca pencetus kepada pelbagai masalah.
"Malah, kepincangan itu juga bermula dengan sikap kepimpinan lelaki yang 'hilang' seterusnya mengakibatkan mereka ini gagal dalam mewujudkan sebuah keluarga harmoni," katanya.
Beliau berkata, masyarakat sering beranggapan faktor kewangan atau demografi menjadi penyumbang masalah institusi keluarga ketika ini.
Namun, hakikatnya ia berpunca daripada kegagalan ayah atau suami bertindak sebagai orang pelindung keluarga berbanding memecah belahkan hubungan keluarga seterusnya mengakibatkan kesan qalbu, mental, psikologi, sosial dan fizikal.
"Apabila ayah atau suami itu mempunyai keazaman untuk mencari nafkah, bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga ia sekali gus memberi gambaran positif kepada anak-anak di rumah.
"Sebaliknya yang berlaku apabila lelaki tidak mempunyai sikap kepimpinan seperti tidak bekerja, beribadat, panas baran dan sambil lewa terhadap keperluan keluarga, pastinya ia menyumbang kepada keretakan institusi keluarga," katanya.
Elak anak trauma
Pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata kurang pegangan agama seseorang mengundang kepada masalah sosial dalam keluarga.
Katanya, ilmu agama sangat diperlukan terutama suami yang juga ketua keluarga kerana ia bertanggungjawab membimbing isteri dan anak-anaknya.
"Agama tunggak utama sesebuah institusi kekeluargaan. Malah, dalam Islam juga turut menyatakan etapa pentingnya ilmu agama kerana ia mengajar umatnya untuk mendidik akhlak dan jiwa yang luhur selain membentuk kesantunan tinggi serta mempersiapkan diri dengan sifat terpuji.
"Tanpa pegangan ilmu agama, sesebuah institusi kekeluargaan mudah goyah dengan hasutan iblis yang gembira melihat perpecahan dalam hubungan kekeluargaan terutama ketika pasangan itu menghadapi dugaan konflik rumah tangga yang tiada jalan penyelesaian," katanya.