Khamis, 10 November 2022 | 1:18pm

'Suami Masak Apa Hari Ini', tonjol aksi kaum Adam di dapur

BUKIT MERTAJAM: Lazimnya tidak ramai golongan lelaki menonjol dalam platform media sosial berkongsi panduan dan video pelbagai resipi masakan, memandangkan kebanyakan mereka lebih bersifat 'introvert' atau lebih menumpukan pada diri sendiri.

Namun, berbeza kepada lebih 319,000 lelaki yang menyertai kumpulan 'Suami Masak Apa Hari Ini' (SMAHI) dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom (UK) Singapura dan Australia mereka ini 'kaki memasak'

Menerusi platform berkenaan, rata-rata suami atau bakal suami yang menyertai kumpulan itu mula mengasah bakat dan menunjukkan kemahiran dalam bidang masakan, selain mahu meringankan tugas isteri.

Bagi kakitangan sebuah kolej, Fathi Ibrahim, 40, yang menjadi ahli kumpulan itu, berkata beliau meminati bidang masakan dan kerap membantu isterinya menyediakan juadah di rumah.

"Apabila ada masa terluang dan cuti saya akan membantu isteri memasak, bahkan turut menghadiri kenduri gotong-royong memasak lauk permintaan tuan rumah.

"adi, saya mengenali kumpulan SMAHI menerusi Facebook dan menyertainya kerana tertarik dengan perkongsian resipi dan tips masakan disediakan lelaki yang mempunyai minat seperti saya.

Ahli kumpulan SMAHI bergotong-royong menyediakan masakan dalam pertemuan mereka, baru-baru ini. - NSTP/Danial Saad
Ahli kumpulan SMAHI bergotong-royong menyediakan masakan dalam pertemuan mereka, baru-baru ini. - NSTP/Danial Saad

"Kebetulan ketika penubuhan kumpulan ini, negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ramai terpaksa duduk di rumah. Malah, kumpulan ini menjadi popular apabila suami dan bakal suami beraksi di dapur," katanya ketika ditemui pada perjumpaan ahli SMAHI di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Lebih 3,000 ahli SMAHI berkumpul dalam perjumpaan selama 12 jam itu dengan pengisian pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah, gotong-royong memasak gulai kawah daging batang pisang, jualan produk dan lain-lain.

Menurut Fathi, platform SMAHI itu memberi peluang kepada suami dan bakal suami beraksi di dapur sekali gus ia memberikan 'mood' isteri dan keluarga dalam situasi menyenangi dan membahagiakan mereka.

"Kadang masakan itu ringkas, tetapi disebabkan ia hasil 'air tangan' suami masak mampu mengeratkan hubungan dan membahagiakan hati mereka" katanya.

Kongsi pelbagai resipi

Bagi Zakaria Awang Noh, 31, berkata berasal dari Jeli, Kelantan menjadikan platform SMAHI untuk berkongsi resipi kerana bosan terkandas di kampung ketika PKP.

"Saya membuka perniagaan menjual nasi campur di Ampang, Kuala Lumpur dan menetap di sana. Sebelum kerajaan umumkan PKP saya balik kampung sekejap.

"Bagaimanapun siapa sangka keadaan negara pada masa itu sedikit kelam-kabut apabila berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menyekat semua aktiviti sosial termasuk rentas negeri menyebabkan saya terkandas di kampung.

"Bosan tidak tahu buat apa, saya terjumpa kumpulan SMAHI dan tertarik kerana semua ahlinya lelaki. Mereka berkongsi tentang masakan dan mendapat komen sangat positif daripada semua ahli, tanpa ada seorang pun yang mengherdik mahupun mencaci," katanya.

Beliau teruja apabila perkongsian resipi ayam goreng dan sambal nasi lemak mendapat maklum balas paling tinggi selepas ramai ahli mencubanya sekali gus ia penghargaan baginya.

"Sebagai peniaga makan siapa tidak seronok melihat ramai suka akan makanan yang dimasak, di samping berkongsi ilmu dengan ahli dan warganet.

"Bertambah gembira apabila sesama ahli memberi maklum balas positif yang ia sekali gus meningkatkan keyakinan saya untuk lebih maju dalam perniagaan makanan pada masa hadapan," katanya.

Menghilangkan bosan suami

Pengasas kumpulan SMAHI, Mohd Salleh Ab Hamid, berkata kumpulan itu ditubuhkan sejak dua tahun lalu dengan objektif untuk menghilangkan kebosanan suami dan bakal suami tidak bekerja termasuk sedang bekerja di rumah ketika PKP dilaksanakan.

Antara ahli SMAHI sedang membakar sate untuk jamuan perjumpaan ahli mereka. - NSTP/Danial Saad
Antara ahli SMAHI sedang membakar sate untuk jamuan perjumpaan ahli mereka. - NSTP/Danial Saad

"Ketika itu, memang dapat lihat rancaknya di platform media sosial berhubung perkongsian resipi dan masakan, gara-gara sudah terlalu bosan duduk di rumah.

"Saya bukan pandai memasak. Disebabkan minat, saya ada mencuba beberapa resipi kemudian memuatnaik di Facebook sebelum mendapat idea menubuhkan SMAHI yang ahlinya hanya lelaki.

"Tidak sangka hanya dalam tempoh dua bulan ditubuhkan sudah mencecah 200,000 ahli dan terkini kumpulan ini mempunyai lebih 319,000 ahli bukan sahaja di Malaysia bahkan luar negara," katanya mendapat banyak manfaat berkongsi resipi dan tips dan pelbagai ilmu masakan.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun penubuhan kumpulan ini, tiada insiden pertelingkahan dalam kumpulan itu, walaupun ada disertai golongan profesional dan ahli politik.

"Kumpulan ini juga bukan bermotifkan untuk melawan atau bergaduh dengan isteri, tetapi kami sebagai suami termasuk bakal suami mencari jalan untuk meringankan beban kaum hawa dengan membahagiakan melalui masakan disediakan selepas mereka berpenat-lelah menguruskan rumah tangga," katanya.

Lebih 3,000 ahli SMAHI berkumpul dalam perjumpaan selama 12 jam dengan pengisian pelbagai aktiviti, baru-baru ini. - NSTP/Danial Saad
Lebih 3,000 ahli SMAHI berkumpul dalam perjumpaan selama 12 jam dengan pengisian pelbagai aktiviti, baru-baru ini. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X