KUALA LUMPUR: Kaedah perancang keluarga di negara ini masih berada pada tahap terendah dalam kalangan negara Asia.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5, 2014) yang dijalankan oleh pihaknya, mendapati kadar prevalens kontraseptif yang 'tidak bergerak' sejak 30 tahun lalu.
Katanya, Malaysia adalah terendah, iaitu pada kadar 52.5 peratus berbanding negara Asia lain.
"Daripada jumlah itu, 34.3 peratus mengamalkan kaedah moden manakala 17.9 peratus mengamalkan kaedah tradisional.
"Kita sedia maklum perancang keluarga adalah kaedah paling efektif dan berkesan bagi memastikan kehidupan berkualiti pasangan suami isteri, selain membantu meningkatkan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga.
"Bercadang untuk berkahwin menjadi antara faktor utama mengapa masih ramai golongan wanita tidak mengamalkan kaedah merancang keluarga," katanya ketika merasmikan forum 'Take Control' Eurodrug Laboratories Malaysia dan Farmasi CARiNG, di sini, baru-baru ini.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Perancangan Keluarga Dunia (2017) sebanyak 31.5 peratus wanita tidak mengamalkan kaedah itu kerana mahu mendirikan rumah tangga manakala kerisauan terhadap kesan sampingan perancangan keluarga (16.4 peratus).
Tidak berminat mengamalkan kaedah merancang keluarga (13.7), tidak selesa (12 peratus), mengamalkan kaedah abstinen (2.9 peratus) dan tidak mendapat keizinan pasangan (2.1 peratus).
"Ia jelas menunjukkan wujud cabaran dalam penyampaian Perkhidmatan Perancang Keluarga di seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia," katanya.
Abdul Shukor berkata, perancang keluarga sering disalah erti sebilangan individu kerana masih beranggapan untuk tidak memiliki anak, sedangkan ia lebih bersifat holistik yang merangkumi semua aspek kesihatan termasuk kesejahteraan ibu, anak dan keluarga.
Oleh itu, program advokasi pendidikan dan promosi perkhidmatan perancang keluarga perlu terus diperkasakan dan menggesa lebih banyak badan korporat bidang kesihatan serta badan bukan kerajaan (NGO) bersama menjayakan usaha ini bagi mencapai matlamat penurunan kadar keperluan yang tidak dipenuhi (unmet need) dalam kalangan masyarakat.
"Usaha ini terkandung di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ketiga iaitu memastikan kehidupan sihat dan mempromosikan kesihatan kepada semua tidak kira umur.
"Matlamat kelima pula adalah kesaksamaan jantina dan pengukuhan kepada semua wanita tercapai menjelang 2030," katanya.
LPPKN sentiasa menyokong dan mengetengahkan pendekatan holistik dalam penyediaan Perkhidmatan Perancang Keluarga melalui penyampaian perkhidmatan klinikal dan advokasi pendidikan, motivasi serta kaunseling perancang keluarga yang berterusan kepada masyarakat.
Justeru, beliau amat mengalu-alukan pelaksanaan program bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasa pengetahuan rakyat terhadap perancang keluarga tanpa mengira usia, jantina, bangsa, agama dan lokaliti.
"Forum ini bertepatan sebagai platform perkongsian ilmu oleh pakar dalam bidang kesihatan repoduktif dan perancang keluarga kepada masyarakat keseluruhannya.
Objektif forum juga untuk meningkatkan kesedaran dan memperkasakan pengetahuan berkaitan perancang keluarga.
"Jika 30 tahun sebelum ini isu perancang keluarga bagai sesuatu yang cuba disembunyikan, namun berlainan dalam era hari ini kerana ia perlu diberitahu dan diambil tahu semua pihak demi kesejahteraan hidup berkeluarga," katanya.
Beliau berharap program sedemikian dapat memberi maklumat betul bagi membantu wanita membuat pilihan bijak dalam hal kesihatan reproduktif dan seksual.
Pada masa sama, ia dapat menyumbang kepada penurunan kadar keperluan yang tidak dipenuhi selain mengubah persepsi negatif atau stigma salah terhadap perancang keluarga.
Forum 'Take Control' menampilkan Pakar Perunding Obstretik dan Ginekologi yang juga Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj sebagai ahli panel.
Selain itu, Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN, Dr Wan Hilya Munira Mustapha; Ahli farmasi Farmasi CARiNG, Fatin Zafira Mohd Yassim dan selebriti jemputan Ummi Nazeera turut berkongsi pandangan.