Rabu, 10 Ogos 2022 | 10:24am
Siti Eaishah menyusu kesemua anaknya yakin ia memberi banyak manfaat untuk perkembangan mereka. - Foto ihsan Siti Eaishah
Siti Eaishah menyusu kesemua anaknya yakin ia memberi banyak manfaat untuk perkembangan mereka. - Foto ihsan Siti Eaishah

Payudara bengkak, bernanah kerana tak menyusu awal kelahiran

SERI KEMBANGAN: Pengalaman payudara terpaksa dibedah disebabkan gagal mengeluarkan susu ibu pada awal kelahiran anak pertama, dijadikan sebagai panduan Siti Eaishah Hamzah, 38, untuk tidak melakukan perkara sama selepas itu.

Beliau yang juga pengasas Listra Malaysia, berkata sebelum dibedah, pelbagai cara dilakukan bagi mengurangkan bengkak susu itu seperti tuam, urut dan sebagainya, tetapi semuanya tidak berfungsi.

"Akhirnya saya tak dapat tahan kesakitan dan terpaksa melakukan pembedahan kerana menurut doktor, payudara saya sudah bernanah dan ia perlu dikeluarkan.

"Jadi, anak pertama saya hanya sempat menyusu selama 40 hari, bagaimanapun selepas mempunyai sedikit ilmu, apabila anak kedua lahir, saya berjaya menyusukannya selama setahun, anak ketiga setahun lebih, keempat menyusu sepenuhnya dan kelima setahun kerana perlu melakukan pembedahan lain pula," katanya.

Bentuk karakter anak 

Menceritakan lebih lanjut mengenai sikap anaknya itu, beliau berkata anak keempat, Hyderabad Ali, 4, adalah paling rapat sekali dengannya berbanding anak lain berikutan menyusu sepenuhnya.

"Kita sendiri dapat merasai perbezaan antara sikap semua anak itu, jadi saya percaya melalui sentuhan dan ikatan terhasil sepanjang penyusuan ibu itu membentuk karakter anak yang tersendiri.

Siti Eaishah (belakang) bersama anak-anak dan keluarganya. - Foto ihsan Siti Eaishah
Siti Eaishah (belakang) bersama anak-anak dan keluarganya. - Foto ihsan Siti Eaishah

"Malah, apabila kita menyusukan anak, memang dapat dirasai dari segi ketahanan badan mereka melawan penyakit dan sembuh dengan cepat.

"Diakui ada masa memang sibuk dan terlalu tertekan untuk mengurus perniagaan saya sepanjang menyusukan anak, namun melalui penjagaan pemakanan yang tepat, secara tidak langsung membantu merancakkan kembali penghasilan susu itu.

"Saya biasanya akan mengamalkan susu dikisar dengan kurma, kismis, buah tin, selain mengambil habatussauda, Alhamdulillah ia berhasil," katanya.

Selain pemakanan, sokongan suaminya juga membantu dalam menjayakan penyusuan eksklusif ini kerana secara tidak langsung ibu tidak akan penat.

"Suami saya sangat membantu, apabila saya selesai mengempam susu, dia akan mencuci dan sebagainya, jadi kita seolah-olah bekerjasama.

"Melihat kepada perbezaan karakter lima anak saya, jika boleh saya ingin mengembalikan masa itu dan menyusukan mereka sepenuhnya kerana ikatan yang terhasil itu sangat bernilai dan sukar untuk digambarkan," katanya.

Berita Harian X