Jumaat, 15 Julai 2022 | 9:57am
Osman menjual buah kabung sebagai sumber pendapatan. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf
Osman menjual buah kabung sebagai sumber pendapatan. - Foto/Mohd Rashidi Yusuf

Tampung kehidupan dengan jual buah kabung

Lenggong: Walaupun buah kabung atau kantau lebih laris dan dicari ketika musim perayaan terutama pada Ramadan serta menjelang Aidilfitri, namun pasangan suami isteri ini tidak pernah berhenti meneruskan jualan bagi menampung kehidupan.

Osman Basri dan isterinya, Azinor Aziz, masing-masing berusia 54 tahun tinggal di Kampung Talang Hilir, Kuala Kangsar, Perak, yakin buah kabung masih dicari orang ramai tidak mengira musim meskipun tidak begitu banyak.

Pada Aidiladha baru-baru ini, mereka berdua kembali sibuk mengusahakannya untuk dibekalkan kepada penggemar buah berkenaan sebagai antara menu sajian mereka.

"Kami mengusahakannya sebab buah kabung digemari ramai sejak dulu hingga sekarang dan yakin sentiasa ada pasarannya.

"Biarpun laris hanya pada masa-masa tertentu sebagai sumber pendapatan saya dan berpuas hati dengan usaha dilakukan ini. Pendapatan agak lumayan. Saya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM7,000 sepanjang Ramadan lalu," katanya ketika ditemui di Pekan Rabu di Kampung Luat, di sini, baru-baru ini.

Buah kabung yang siap diisi dalam plastik dengan saiz sekilogram dan 500 gram serta dijual pada harga RM10 dan RM5 setiap satu.

Osman berkata, jual isi buah kabung di pasar hari lebih mudah berbanding menjualkannya dengan cara menjaja dari rumah ke rumah.

Katanya, semasa muda dulu dia lebih suka menjaja dari rumah ke rumah dan cara itu lebih cepat dan laku.

Bagaimanapun, katanya itu cara dia berniaga ketika zaman remaja dan sebelum berkahwin tidak dilakukan lagi selepas mendirikan rumah tangga.

"Saya mengusahakan buah kabung bersama kawan-kawan sejak berumur 14 tahun di kampung kelahiran saya di Luat, Lenggong sebelum berpindah dan menetap di Talang, Kuala Kangsar," katanya.

Ketika ini dia hanya mencari dan mengait buah kabung daripada pokok yang banyak tumbuh di tepi Sungai Perak dan di dalam hutan, selain mengupah beberapa orang untuk proses pembungkusan.

Katanya, dia dan isterinya kemudiannya menjual isi buah kabung itu di pekan hari dan pasar malam di sekitar Kuala Kangsar hingga ke Lenggong.

Sementara itu, Azinor berkata, dia gembira dan seronok menjual isi buah kabung mentah dan yang diproses dijadikan halwa kerana laris terutama menjelang hari raya.

Isi buah kabung direbus terlebih dahulu sebelum dimasukkan air gula, sama ada air gula berperisa sirap, oren atau lain-lain untuk disajikan kepada pengunjung pada musim perayaan.

"Halwa kabung juga digemari oleh tetamu yang datang beraya," katanya.

Berita Harian X