Khamis, 5 Mei 2022 | 11:01am
Shaza Shamimi teruja pulang ke kampung halaman suami di Ipoh sambut lebaran. - Foto/Ihsan Shaza Shamimi
Shaza Shamimi teruja pulang ke kampung halaman suami di Ipoh sambut lebaran. - Foto/Ihsan Shaza Shamimi

Teruja sambut raya bersama si kecil

KUALA LUMPUR: Pulang ke kampung halaman menyambut Syawal bersama keluarga tercinta amat ditunggu-tunggu oleh warga kota termasuk pasangan muda yang khususnya memiliki cahaya mata sulung untuk berhari raya.

Bagi pasangan suami isteri, Nurul Amanina Md Raub dan Muhammad Nazif Rusman, masing-masing 27 tahun, Aidilfitri tahun ini lebih indah dengan kehadiran anak sulung, Nur Aisyah Sofea, 5 bulan untuk dibawa pulang beraya

di Negeri Sembilan selepas mendirikan rumah tangga, Februari tahun lalu.

Nurul Amanina berkata, sejak berkahwin mereka belum berpeluang menyambut Aidilfitri di Negeri Sembilan kerana tidak boleh merentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami berada di Negeri Sembilan sejak 26 Ramadan lalu dan kembali semula ke Kedah, pada Syawal kedua untuk meneruskan sambutan Aidilfitri bersama keluarga suami menetap di Sungai Petani.

"Nur Aisyah Sofea adalah cucu pertama dalam keluarga saya jadi memang semua teruja menyambut Aidilfitri kali ini. Malah neneknya di Negeri Sembilan sejak awal lagi sudah menyediakan dua pasang gaun baru untuk cucunya.

Siti Sarah Mohd Juzup
Siti Sarah Mohd Juzup

"Ia juga akan menjadi peluang memperkenalkan Nur Aisyah Sofea kepada saudara mara yang belum sempat ditemui memandangkan pernikahan kami di Negeri Sembilan tahun lalu, tidak dapat dihadiri ramai kerana diadakan PKP," katanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah sejak berkahwin lebih setahun lalu.

Aidilfitri tahun ini, dua pasang baju rona merah jambu dan merah manggis untuk digayakan pada raya pertama dan kedua.

"Memang agak mencabar mencari baju buat bayi baharu lahir yang sedondon dengan warna tema yang sama dengan kami berdua. Ada masanya jumpa warna sesuai tetapi saiznya pula tiada," katanya.

Beliau juga tidak kisah terpaksa meredah kesesakan jalan raya disebabkan banyak kenderaan dari Kedah ke Negeri Sembilan asal sahaja dapat pulang dengan selamat meraikan kali pertama Aidilfitri bersama si kecil.

"Sudah dua tahun tidak dapat kunjung-mengunjungi. Tetapi dalam kemeriahan ini, kami tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama mempunyai bayi," katanya.

Keterujaan sama turut dikongsi oleh Shaza Shamimi Abdul Malek, 27, yang kali pertama meraikan lebaran di kampung suaminya, Muhamad Idzam Ibrahim, 28, dan anak mereka, Fateh Elman berusia setahun di Ampang Mewah, Ipoh,

"Persiapan raya kali ini istimewa dapat membawa anak sulung yang semakin lasak dan bijak. Saya keluarga kecil, berbanding suami lima beradik jadi suasana akan lebih meriah. Tambahan pula anak saya cucu pertama bagi keluarga suami, pastinya tambah meriah.

"Malah kuih raya kegemaran ibu mentua juga sudah siap ditempah untuk dibawa pulang ke kampung. Selain itu kami seronok pulang menaiki kereta baharu selepas kenderaan saya remuk teruk akibat dilanggar trailer awal tahun ini," katanya yang tinggal di Shah Alam bersama ayah dan ibunya.

Pilih menu dan ambil makanan dalam kuantiti yang sesuai ketika ke rumah terbuka Aidilfitri.
Pilih menu dan ambil makanan dalam kuantiti yang sesuai ketika ke rumah terbuka Aidilfitri.

Menurut Shaza Shamimi, beliau membelanjakan RM1,000 untuk persiapan raya termasuk menyediakan kuih raya dan persalinan sedondon berwarna coklat pastel untuk mereka sekeluarga.

Bagi pasangan masing-masing berusia 28 tahun, Nursyafiqah Amira Zaharudin dan suaminya, Khairul Hisham Nasir, sudah membuat perancangan awal mengenai pelbagai keperluan untuk menyambut Syawal bersama puteri sulung, Serikandi Hawraa, 9 bulan.

Nursyafiqah Amira berkata, Syawal pertama disambut di kediaman suaminya di Bukit Kapar, Klang, sebelum pulang ke rumah ibu bapanya, di Kampung Baru Pantai, Negeri Sembilan.

"Memang seronok dan meriah menyambut raya dalam suasana desa bersama keluarga serta sanak-saudara berbeza di bandar yang sunyi apabila ramai warga kota pulang ke kampung halaman.

Nursyafiqah Amira gembira dapat bertemu sana-saudara raikan raya di kampung suaminya, di Negeri Sembilan.
Nursyafiqah Amira gembira dapat bertemu sana-saudara raikan raya di kampung suaminya, di Negeri Sembilan.

"Kami juga dapat bergaya dengan busana cantik. Kami beli pakaian sedia dipakai (RTW) sebagai persalinan lengkap warna dan corak sedondon.

"Saya beli kurung moden Riau, baju Melayu lengkap dengan samping untuk suami dan gaun ala puteri untuk Hawraa," katanya.

Berita Harian X