Khamis, 30 September 2021 | 12:39pm
Kotak Teduh, kediaman mempunyai 1,001 kisah yang menarik untuk dikongsikan bersama.- Foto/Ihsan Apit
Kotak Teduh, kediaman mempunyai 1,001 kisah yang menarik untuk dikongsikan bersama.- Foto/Ihsan Apit

Kotak Teduh simbol cinta sejati

Kuala Lumpur: Di sebalik tempat berlindung unik berbentuk 'kotak' yang didiami sepasang suami isteri di Meru, Klang ini mempunyai 1,001 kisah yang menarik untuk dikongsikan bersama.

Kediaman dinamakan Kotak Teduh, mengabadikan janji keramat pasangan, Zaizul Azri, 39, dan Hamizah Baharuddin, 34, hidup harmoni meskipun ditakdirkan menghidap kanser payudara.

Disebabkan penyakit merebak hingga ke pangkal rahim dan kedua-dua ovari Hamizah terpaksa dibuang sekali gus perlu menerima hakikat tidak berpeluang menimang cahaya mata.

Semua itu perlu dilalui dengan tabah, lantas kedua-dua pasangan ini bertekad menyemarakkan kasih sayang dengan sulaman cinta menerusi Kotak Teduh ini.

Mengimbau saat menerima perkhabaran itu, Zaizul atau mesra dengan panggilan Apit, berkata, beliau tentunya bersedih dan terkejut apabila diberitahu isterinya mengenai kanser yang dihidapi selepas menjalankan pembedahan ketumbuhan di dalam perut.

Katanya, sewaktu diberitahu, beliau berada di rumah manakala Hamizah atau Ijah, berada di hospital bersama-sama ibu mentuanya.

"Hati suami mana yang tidak sedih sebaik dimaklumkan penyakit yang dihidap isteri, tambah pula mereka belum berkesempatan menimang cahaya mata lagi.

"Pedih dan sukar terima pada mulanya namun, siapa kami untuk melawan takdir. Sebagai suami, saya tidak seharusnya patah semangat sebaliknya perlu bersama-sama berjuang melawannya walaupun kesakitan itu tidak dirasai," katanya.

Apit yang juga guru sebuah sekolah rendah berkata, selepas isterinya mengambil masa setahun untuk tidak menjalani rawatan di hospital atas sebab tertentu.

Katanya, selepas setahun baru isterinya bersetuju menjalani rawatan dan saat itu tidak akan dilupakannya melihat kekuatan isteri tercinta mengharungi hidup sebagai cancer survivor.

"Selepas menjalani lebih 21 kali kitaran kemoterapi dan beberapa pembedahan membuang kanser payudara, hidup kami sekali lagi diuji apabila Ijah berdepan dengan risiko kanser merebak ke rahim empat tahun lalu dan terpaksa dimenopause awal.

"Melihat Ijah yang agak murung dan tertekan dengan situasi ini, saya perlu kuat kerana emosinya tidak stabil. Tetapi kagumnya saya terhadap isteri, dia tidak mengambil masa lama untuk bangkit semula dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya yang juga jurugambar bebas.

Zaidul dan Hamizah semarakkan kasih sayang dengan sulaman cinta menerusi Kotak Teduh.- Foto/Ihsan Apit
Zaidul dan Hamizah semarakkan kasih sayang dengan sulaman cinta menerusi Kotak Teduh.- Foto/Ihsan Apit

Mengusahakan syarikat fotografi TiedTheKnot bersama, mereka tidak terlepas daripada soalan cahaya mata.

Ijah berkata, siapa yang berkahwin tidak mahu mempunyai anak dan saat diberitahu doktor terpaksa membuang rahim dan ovarinya, beliau sudah bersedia.

"Saya manusia biasa. Seorang wanita yang mempunyai naluri untuk mempunyai anak. Tetapi saya juga seorang pesakit kanser yang masih berjuang untuk meneruskan kehidupan.

"Saya bersyukur kerana mempunyai suami dan ahli keluarga lain yang begitu memahami situasi kami dan sangat positif.

"Suami sering memberitahu maksud bahagia itu sangat luas dan membawa banyak makna dalam hidup seseorang. Kami reda walaupun tidak berkesempatan menimang cahaya mata, ini adalah takdir yang sudah tertulis dan ditentukan Maha Kuasa," katanya yang juga seorang artis illustrasi.

Katanya, Kotak Teduh juga sebagai simbol cinta mereka yang hidup berdua dengan konsep minimalis tetapi kemas.

"Biasalah bila membabitkan pembikinan rumah idaman, masing-masing ada sahaja idea. Cuma idea yang bernas atau tidak untuk diterima. Ada juga bergaduh manja tetapi tidaklah sampai berlarutan.

"Tetapi disebabkan kami sememangnya meminati seni unik, maka terhasil kediaman ini menggunakan dua kontena yang berkeluasan 167.225 meter persegi, Kotak teduh juga dilengkapi dengan taman mini Hutan Kecil bagi menempatkan pelbagai jenis tumbuhan sebagai terapi.

"Kami menggunakan perabot yang minimum berwarna natural dengan susun atur bertepatan dengan konsep minimalis.

"Isteri juga seorang artis illustrasi yang mempunyai jenama dan reka bentuk kami buat sendiri, iaitu TekapbyKotak. Begini kehidupan dilalui yang sentiasa bahagia dengan cara kami," katanya.

Berita Harian X