Selasa, 7 September 2021 | 10:45am
Sebahagian sukarelawan Helping Shoulder ketika misi bantu mangsa banjir di Temerloh, Pahang.- Foto/Ihsan Lila
Sebahagian sukarelawan Helping Shoulder ketika misi bantu mangsa banjir di Temerloh, Pahang.- Foto/Ihsan Lila

Wujudkan segera suruhanjaya bela nasib kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan segera bagi menangani isu berkaitan golongan itu yang lazimnya cukup mengambil masa untuk diselesaikan ketika ini.

Presiden Helping Shoulder, Lila Ruzaini Mohd Hussin berkata, kanak-kanak dan remaja juga sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, namun kesnya tidak dibawa ke muka pengadilan.

"Mereka sering menjadi mangsa keganasan, eksploitasi, pedofilia, persediaan seksual (sexual grooming) adalah antara jenayah terancang yang sering disembunyikan daripada dilaporkan kerana membabitkan keluarga terdekat.

"Pembelaan kanak-kanak antara yang menjadi tunjang perjuangan Helping Shoulder sejak dimulakan kira-kira lebih dua tahun lalu," katanya kepada BH.

Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), matlamatnya mereka adalah menyingkap sisi yang tidak selalu diberi perhatian iaitu pengabaian dan keganasan terhadap kanak-kanak.

"Banyak kes ibu menukar fikiran dan menarik laporan polis anaknya dicabul bapa sendiri kerana bimbang hilang tempat bergantung jika pasangan di bawa ke muka pengadilan.

"Situasi ini menyukarkan untuk kita membantu mangsa daripada masalahnya.

"Justeru, kita mahu masyarakat memiliki kesedaran terhadap perbuatan salah, selain membantu mangsa yang takut, diugut untuk tahu keperluan untuk tampil ke hadapan," katanya.

Wanita anggun yang dinobatkan tempat tempat kedua Mrs Malaysia 2018, ini melakukan aktiviti kemasyarakatan bukan kerana populariti tetapi mahu membantu hingga penyelesaian diperoleh.

Lila Ruzaini (tengah) ketika mengunjungi perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan. - Foto/Ihsan Lila
Lila Ruzaini (tengah) ketika mengunjungi perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan. - Foto/Ihsan Lila

"Banyak kes kanak-kanak menjadi perhatian netizen, pertubuhan, peguam tetapi malangnya banyak kes itu senyap tanpa sebarang keadilan.

"Justeru, Suruhanjaya Kanak-kanak ini penting kerana ia akan menjadi satu komuniti bertindak dan berjaya ditangani.

"Biarpun isu seksual kanak-kanak sering dianggap taboo dalam norma masyarakat negara ini, tetapi Amerika Syarikat, United Kingdom tampak bersepadu dalam segala tindakan kerana ada suruhanjaya khusus," katanya.

Justeru, Helping Shoulder itu lebih tertumpu di projek perumahan rakyat (PPR) yang mana ramai kanak-kanak menjadi mangsa tetapi tidak tahu mereka boleh melaporkan perlakuan tidak bermoral itu.

"Misalnya, apa yang kita bantu adalah memberikan nasihat psikologi, risalah, lukisan dan memberikan nombor untuk hubungi untuk mendapatkan nasihat dan tahu tindakan lanjut," katanya.

Lila Ruzaini menegaskan, bantuan sedemikian tidak boleh diberikan bermusim dan perlu menjalankan amalan berterusan kerana kanak-kanak memerlukan masa untuk percayai dan yakin berkongsi apa yang dilalui.

Berita Harian X