Jumaat, 20 Ogos 2021 | 12:11pm
SKSSR memberi harapan dan melegakan suri rumah jika sesuatu perkara tidak diingini menimpa keluarga. - Foto hiasan
SKSSR memberi harapan dan melegakan suri rumah jika sesuatu perkara tidak diingini menimpa keluarga. - Foto hiasan

Suri rumah dilindungi daripada bencana domestik

KUALA LUMPUR: Peranan suri rumah dalam institusi kekeluargaan sangat signifikan untuk memastikan segala urusan seharian mengendalikan keperluan anak dan suami berjalan lancar.

Namun, golongan itu tidak kecuali berhadapan dengan kecelakaan, bencana domestik atau mengalami keilatan kerana tiada sebarang perlindungan keselamatan sosial.

Justeru, pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), yang menyediakan perlindungan bencana domestik seperti kemalangan, penyakit atau kematian akan dibuka kepada semua suri rumah dianggarkan seramai 2.99 juta orang pasti melegakan mereka.

Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka melaksanakan SKSSR kepada golongan itu, tahun depan apabila draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah diluluskan Parlimen kelak.

Rata-rata suri rumah dan badan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan pengumuman itu dapat menjamin kesejahteraan keluarga dari segi emosi dan kedudukan ekonomi.

Presiden Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, berkata SKSSR dilihat langkah proaktif dan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan suri rumah selepas pelaksanaan skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

"Pandemik COVID-19 menjejaskan ramai suri rumah termasuk usahawan wanita kebanyakan diceburi golongan itu.

 Norhimah Aziz
Norhimah Aziz

"SKSSR sekurang-kurangnya memberi harapan atau melegakan mereka jika sesuatu perkara tidak diingini menimpa keluarga sekali gus sebagai perlindungan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Peranan wanita dilihat sebagai ejen sosialisasi utama dalam keluarga selepas suami kini tercabar dengan perubahan nilai dan norma membabitkan golongan itu mempunyai pendidikan yang baik.

"Kebanyakan suri rumah kini bukan sahaja sebagai ibu dan isteri, tetapi sesetengahnya menceburi bidang keusahawanan secara kecil-kecilan.

"Namun, pandemik melanda negara sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi sesebuah keluarga, terutama berhadapan kehilangan ketua keluarga sekelip mata," katanya.

Beliau berharap SKSSR ini, kerajaan tidak meletakkan syarat penyertaan yang begitu tinggi dan tidak membebankan suri rumah.

"WIN berharap kerajaan atau pihak terbabit mendapatkan pandangan dan idea daripada NGO wanita pada peringkat awal ini sebagai input yang lebih relevan untuk kebaikan bersama.

"Memandangkan masih tiada maklumat lanjut mengenainya, ia seharusnya diperhalusi agar perlindungannya menyeluruh seperti kes peningkatan sakit mental dalam kalangan suri rumah dan lain-lain perlu disediakan," katanya.

Seiring perubahan semasa yang memperlihatkan tugas dan peranan suri rumah pelbagai selayaknya mereka mendapatkan perlindungan itu.

Suri rumah dari Bangi, Siti Nurzafirah Mohd Noor, 33, berkata cadangan SKSSR adalah langkah baik dan berharap dapat dilaksanakan memandangkan ada suri rumah dalam kalangan B40 antara yang turut terjejas teruk disebabkan pandemik ini.

"Sebagai suri rumah, kami bukan sahaja duduk di rumah menjaga pakai minum anak dan suami sebaliknya, kami juga keluar membeli barang atau menghantar anak-anak ke sekolah.

"Bagi mengurangkan bebanan suami mencari nafkah, umpamanya saya juga membantu menambah pendapatan menjaga anak jiran selepas habis waktu sekolah. Namun, sekolah ditutup berikutan COVID-19 kini menghentikan sementara menjaga mereka.

"Jadi, amat wajar kami mendapat perlindungan bagi meringankan bebanan tidak diketahui bila akan berakhir," katanya ibu tiga anak ini.

Serenbarina Sudin
Serenbarina Sudin

Senada dengan pandangan itu, suri rumah, Serenbarina Sudin, 47, berharap SKSSR diluluskan secepat mungkin bagi membolehkan golongan itu mendapat manfaatnya.

"Macam-macam perkara boleh berlaku tanpa dijangka. Saya ada dua anak yang kini berusia 16 dan 19 tahun, dengan adanya SKSSR ini ia memberi kelegaan suri rumah seperti saya jika berlakunya sebarang bencana.

"Sekurang-kurangnya anak juga dapat dilindungi dan ini boleh memberi kekuatan serta meredakan bebanan kehidupan mereka," katanya.

Berita Harian X