Khamis, 5 Ogos 2021 | 10:28am
Panggilan video atau telefon cara lepas rindu bagi pasangan jarak jauh. - Foto hiasan
Panggilan video atau telefon cara lepas rindu bagi pasangan jarak jauh. - Foto hiasan

Panggilan video pengubat rindu pasangan jarak jauh

KUALA LUMPUR: Tidak berjumpa suami yang bekerja di Singapura sejak Julai 2020 akibat sempadan tutup, bukan perkara mudah bagi Noor Aiin Rosli, 35, terutama apabila perlu mengurus tiga anak kecil secara bersendirian.

Katanya, ini kali pertama mereka berjauhan untuk tempoh lama kerana sebelum ini, suaminya, Fauza Izhami Ibrahim, 35, yang bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat, berulang alik dari rumah mereka di Johor Bahru ke Singapura.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, suami dibenarkan bekerja dari rumah tetapi gajinya dipotong majikan, justeru sebaik dibenarkan bekerja seperti biasa, suami ambil keputusan menyewa bilik di sana.

"Tapi tidak sangka sempadan ditutup lama sehingga sekarang. Tiada apa boleh dilakukan mengubat kerinduan anak kami berusia antara tiga hingga sembilan tahun menerusi panggilan video setiap malam.

"Saya juga perlu membawa anak sulung yang menghidap disleksia untuk janji temu di hospital, sebelum ini dilakukan suami.

Noor Aiin Rosli mengurus tiga anak secara bersendirian sejak suami terkandas di Singapura akibat PKP. - Foto Ihsan Noor Aiin
Noor Aiin Rosli mengurus tiga anak secara bersendirian sejak suami terkandas di Singapura akibat PKP. - Foto Ihsan Noor Aiin

Dia juga perlu menguruskan dua lagi anak lain yang sudah bersekolah dan kini menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Suami banyak memberi sokongan supaya saya kuat dan bersyukur kerana mendapat jiran sangat memahami, selain menjadi rakan untuk berkongsi masalah.

"Di kejiranan saya, ramai wanita senasib. Sebab itu kami boleh menjadi baik. Jika ada ada masalah, kami akan saling membantu sebagai contoh menjaga anak atau membelikan barangan keperluan," katanya.

Dia sebelum ini bekerja sebagai kakitangan awam, namun sudah berhenti kerana berpindah ke Johor Bahru, amat berharap pandemik berakhir segera dan pintu sempadan dibuka bagi membolehkan suaminya berulang-alik kerja seperti biasa.

Menjadi pasangan jarak jauh sejak 2008, bagaikan sudah sebati dalam hidup bagi pasangan jurutera, Anis Hanum Hamzah dan suaminya Ejaz Yaacob.

Anis, 38, berkata tempoh lama itu membuatkan dia semakin lebih belajar berdikari dan mampu mengawal emosi setiap kali berdepan kesukaran.

Katanya, ketika ini suaminya berusia 38 tahun, bekerja di Sarawak sejak awal tahun ini dan mereka sempat berjumpa pada Mei lalu apabila suaminya pulang bercuti.

Ibu kepada empat anak berusia empat sehingga 11 tahun itu berkata, suaminya sebelum ini bekerja di banyak lokasi termasuk Arab Saudi, Brunei, Johor dan Perak dan menyebabkan dia sudah terbiasa dengan perhubungan jarak jauh.

"Malah, anak juga sudah terbiasa dengan suasana ini. Tetapi di rumah ada dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dan suami selalu juga memantau anak dari situ.

"Menariknya, kadang-kadang suami akan menegur anak menerusi pembesar suara CCTV itu dengan meminta mereka membantu saya. Cara ini membuatkan saya rasa seperti suami ada dalam rumah," katanya.

Bagaimanapun katanya yang kini menetap di Puncak Alam, jika dia berdepan kesukaran terutama kerana masalah kerja, dia akan memilih untuk meluahkan kepada rakan karib kerana lebih selesa dengan cara itu.

Bagi pembantu kewangan Nor Haslinda Rusli, 41, dia bersama suami menjadi pasangan jarak jauh hampir lima tahun lalu apabila suaminya, Khairul Anuar Hashim, 41, seorang pegawai bomba perlu berpindah ke Kuala Lumpur.

Keluarga Nor Haslinda Rusli, 41, dan Khairul Anuar Hashim, 41, bersama empat daripada lima anak mereka.
Keluarga Nor Haslinda Rusli, 41, dan Khairul Anuar Hashim, 41, bersama empat daripada lima anak mereka.

Katanya, sejak itu juga dia mengambil keputusan untuk tinggal berhampiran rumah keluarganya di Simpang Ampat, Pulau Pinang bagi memudahkannya jika berlaku sebarang kecemasan.

Ibu kepada lima anak berusia empat sehingga 18 tahun itu berkata, suaminya banyak memberi semangat kepadanya untuk menguruskan keluarga setiap hari, selain dia turut memberi dorongan kepada suami supaya menjalankan tugas dengan baik.

"Kalau diikutkan emosi memang tidak akan stabil kerana dari awal pagi sehingga malam tugas sebagai 'ketua keluarga' tidak habis dengan perlu menguruskan PdPR tiga anak, bekerja dari rumah, menguruskan rumah tangga lagi.

"Tetapi saya bersyukur anak yang bersekolah, sudah besar dan memahami keadaan ibu mereka, selain keluarga turut membantu jika saya dalam kesusahan terutama ibu bapa," katanya.

Bagi pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Siti Amalina Mohd Yazid, 33, dia mula menjadi pasangan jarak jauh bersama suami Mohd Khairulanwar Md Yusof, 33, yang juga pensyarah di UiTM Arau, Perlis sejak setahun lalu.

Ibu kepada dua anak berusia empat tahun dan enam bulan itu berkata, walaupun tinggal bersama ibu bapanya, namun dia masih perlu berdikari kerana kedua ibu bapanya juga bekerja.

Katanya, jika dia berdepan masalah atau sedang dalam emosi kerana menguruskan anak atau masalah kerja, dia lebih selesa meluahkan kepada suaminya untuk meredakan tekanan.

"Saya rasa tertekan apabila anak sulung selalu bertanyakan mengenai bapanya. Jika sebelum ini walaupun PKP, tetapi pasangan jarak jauh kerap berjumpa.

"Tetapi kini sudah beberapa bulan tidak dapat berjumpa suami dan kami berhubung menerusi panggilan video," katanya yang berharap pasangan jarak jauh dibenarkan merentas negeri semula," katanya.

Berita Harian X