Jumaat, 30 Julai 2021 | 10:50am
Memasak bersama anak-anak dapat mengurangkan rasa bosan.- Foto hiasan
Memasak bersama anak-anak dapat mengurangkan rasa bosan.- Foto hiasan

Hilang bosan terkurung di rumah

KUALA LUMPUR: Rutin harian yang berubah secara mendadak disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meletakkan kanak-kanak dalam keadaan bingung, cemas dan tertekan.

Perunding dan Pakar Pediatrik MSU Medical Centre, Shah Alam, Dr Sharifah Aida Alhabshi, berkata PKP mempengaruhi kehidupan kesihatan mental dan emosi golongan itu yang terpaksa berada di rumah sepanjang masa.

Katanya, mereka perlu sentiasa di rumah selepas sekolah ditutup, tidak dibenarkan ziarah-menziarahi, bersiar-siar dan bermain dengan rakan sebaya.

"Pengurangan interaksi sosial sangat terhad memberi kesan amat serius terhadap kesihatan mental.

"Bagi kanak-kanak, ia mengganggu pembentukan kemahiran bersosial dan percakapan.

"Bayi dan kanak-kanak pra-sekolah amat bergantung kepada ibu bapa dalam kehidupan harian," katanya.

Dr Sharifah Aida Alhabshi
Dr Sharifah Aida Alhabshi

Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu memantau situasi termasuk pembelajaran anak-anak meskipun ada yang terpaksa bekerja dari rumah dan mengurus anak kecil.

Dalam keadaan itu, tidak dapat dinafikan mungkin masa dan perhatian diberikan terganggu, sekali gus anak tidak dapat kemahiran bersosial dan berinteraksi seperti diharapkan bagi umur mereka.

Jika dibiarkan kanak-kanak dan remaja mengalami masalah tekanan mental, kesunyian cemas dan kemurungan.

"Kita dapati ramai ibu bapa menyuarakan kerisauan terhadap perubahan tingkah laku anak mereka.

"Ada yang sering mengamuk atau mengalami gangguan tidur dan paling ekstrem mencederakan diri sendiri," katanya.

Untuk mengelak keadaan berlarutan, Dr Sharifah Aida mencadangkan supaya ibu bapa menyelitkan rutin harian keluarga dengan aktiviti bermanfaat seperti waktu makan semeja, beriadah bersama atau bermain bersama.

"Libatkan diri dengan memberi idea yang lebih kreatif supaya rutin harian tidak menjadi terlalu bosan.

"Bahagikan tugasan rumah seperti menyidai pakaian, memasak serta menyapu bersama-sama dengan anak-anak mengikut umur mereka supaya mereka boleh belajar berdikari," katanya.

Masa terluang di rumah beri peluang anak lakukan pelbagai aktiviti berfaedah.- Foto hiasan
Masa terluang di rumah beri peluang anak lakukan pelbagai aktiviti berfaedah.- Foto hiasan

Beliau berkata, ibu bapa juga harus babitkan anak dengan aktiviti persekolahan mereka dengan mengambil tahu tahap pembelajaran termasuk berhubung dengan guru.

Sekiranya anak mengalami masalah memahami pembelajaran mudah mereka aturkan kelas tambahan.

Selain itu, lakukan latihan seperti memasak, menukar lampu dan membetulkan paip rosak di rumah supaya dapat membantu mereka mempraktikkan apa yang diajar di sekolah.

"Sekiranya didapati menghadapi masalah pembelajaran ketara, rujuk kepada pakar untuk mendapatkan bantuan khusus," katanya.

Berita Harian X