Khamis, 4 Februari 2021 | 10:34am
Kecanggihan teknologi memudahkan saling berhubung bagi pasangan jarak jauh.- Gambar hiasan
Kecanggihan teknologi memudahkan saling berhubung bagi pasangan jarak jauh.- Gambar hiasan

Hubungan jarak jauh bukan penghalang bahagia

KOTA BHARU: Menjadi impian setiap pasangan untuk membina rumah tangga bahagia dan tinggal sebumbung bersama sehingga meniti hari tua, namun ada sebilangan pasangan suami isteri terpaksa melalui perhubungan jarak jauh disebabkan faktor kerjaya.

Keadaan itu menjadi ujian lebih berat apabila negara kini berhadapan pandemik COVID-19 sekali gus menambah kekangan kepada hubungan jarak jauh.

Rutin pulang pada setiap hujung minggu sebelum ini menjadi sukar, sebaliknya hanya mampu berkomunikasi menerusi pelbagai platform digital.

Namun, ia memberi nafas lega apabila baru-baru ini kerajaan membenarkan pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing

Bagi Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan, Zaharin Bakri, 43, yang sudah hampir sembilan tahun menjalani kehidupan jarak jauh sudah menjadi lali dengan semua itu.

Katanya, sebelum ini beliau ditugaskan di Kuala Lumpur dan sejak Ogos tahun lalu, berpindah pula ke Kelantan.

Isterinya pula, Saadiah Abd Razak, 43, terikat dengan tugasan sebagai guru di sebuah sekolah di Melaka.

"Semua tiga cahaya mata saya yang berusia lapan sehingga 16 tahun juga sudah memahami berlaku atas sebab tugas.

"Mengakui memang bukan sesuatu yang mudah, tapi bersyukur dapat menggunakan kecanggihan teknologi saling berhubung seperti menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video sebagai penghubung dengan isteri dan anak-anak.

"Biasanya, saya akan pulang ke Melaka setiap dua minggu sekali bergantung kepada jadual. Jika tidak perlu kerja di luar kawasan, pernah juga tidak dapat balik dalam tempoh yang lama sepanjang PKP pada Mac tahun lalu.

"Kali ini saya mengambil peluang, pulang awal ke pangkuan keluarga di Melaka memandangkan dibenarkan bekerja daripada rumah," katanya.

Zaharin bergambar bersama keluarga dan sentiasa berhubungan dan bertanya khabar meskipun bertugas di luar daerah sejak sembilan tahun lalu. Foto/Ihsan Zaharin Bakri
Zaharin bergambar bersama keluarga dan sentiasa berhubungan dan bertanya khabar meskipun bertugas di luar daerah sejak sembilan tahun lalu. Foto/Ihsan Zaharin Bakri

Beliau mengakui pelbagai cabaran bagi pasangan jarak jauh, namun semakin hari mereka dapat menangani setiap cabaran dengan baik dengan mengutamakan kepercayaan, kefahaman dan bertolak ansur antara satu sama lain.

"Setiap hari saya akan pastikan kami berhubung melalui telefon, selain kerap membuat panggilan video untuk mengetahui keadaan, bertanya khabar, mendengar masalah dan cerita kehidupan seharian.

"Ini perlu dilakukan supaya setiap kali keluarga merasai keadaan masing-masing walaupun hanya melalui talian telefon," katanya.

Ada pasangan membuktikan jarak bukan penghalang membina institusi kekeluargaan bahagia, sambil perlu tabah menghadapi pelbagai pancaroba.

Beliau berkata, pernah beberapa kali menanggung kerugian apabila tempahan tiket bas atau kapal terbang terpaksa dibatalkan di saat akhir disebabkan tuntutan kerja.

Pasangan suami isteri, Mohd Haniff Omar, 35, dan isteri Wan Nur Amirah Wan Mohd Din, 36, menjadi situasi hubungan jarak jauh memberi banyak pengajaran supaya lebih menghargai pasangan, selain berpeluang merasai manis rindu hidup sendirian.

Mohd Haniff berkata, beliau bekerja sebagai penjawat awam di Kota Bharu, di sini, manakala isterinya sudah 10 tahun menjadi guru di sebuah sekolah di Johor Bahru.

Sepanjang tempoh itu setiap tahun isterinya tidak pernah berputus asa mengisi borang pertukaran tempat kerja, tetapi rezekinya belum lagi menyebelahinya.

"Bagaimanapun, jika isteri dapat balik bertugas di Kelantan amat dihargai memandangkan kerja saya memang hanya di sini. Saya bertugas di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

"Selain itu, ketika PKP ini, anak lelaki saya berusia enam tahun terpaksa tinggal Kelantan di bawah jagaan saya kerana sukar isteri menguruskan seorang diri kerana banyak pusat jagaan anak ditutup.

"Isteri saya insan yang tabah walaupun terpaksa berpisah jauh tanpa anak dan suami.

"Pelbagai dugaan dihadapi sebelum ini sepanjang pandemik COVID-19 yang menyebabkan mereka sukar untuk pulang ke pangkuan masing-masing ditambah dengan jarak yang jauh antara Kelantan dan Johor," katanya.

Cuma cabaran dan dugaan tetap ada termasuk isteri pernah keguguran sendirian, selain rumah yang diduduki diceroboh masuk perompak sehingga kerugian belasan ribu ringgit, selain menyebabkan ketakutan dan trauma sehingga hari ini.

Sementara itu, Suzana Abd Rahman, 28, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur juga terpaksa berjauhan dengan suaminya, Mohamad Zaki Abdullah, 31, menyebabkan beliau terpaksa menguruskan sendiri dua anak berusia dua dan lima tahun.

Katanya, keluarga dan sahabat terdekat menjadi kekuatan untuknya terus kuat menjalani kehidupan tanpa suami di sisi selain mengakui ada masanya tidak dapat mengawal perasaan sedih dan rindu yang boleh datang secara tiba-tiba.

"Biasanya situasi itu dihadapi apabila rasa amat letih atau ketika anak-anak jatuh sakit, namun saya tidak sesekali menyalahkan suami kerana dia jauh untuk mencari rezeki buat kami sekeluarga," katanya.

Berita Harian X