Khamis, 19 November 2020 | 10:30am
Kerajaan sedia perbelanjaan besar laksanakan program kesedaran dan pemeriksaan percuma untuk kesan simptom kanser payudara.- Gambar hiasan
Kerajaan sedia perbelanjaan besar laksanakan program kesedaran dan pemeriksaan percuma untuk kesan simptom kanser payudara.- Gambar hiasan

Buang malu kongsi cerita menderita kanser payudara

KUANTAN: Pesakit yang menghidap kanser payudara perlu membuang perasaan segan untuk berkongsi pengalaman mengenai penyakit dideritai bagi meningkatkan kesedaran wanita lain mengambil iktibar ketika berhadapan gejala itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, berkata perkongsian pesakit barah payudara amat penting kerana mereka merasai sendiri derita penyakit itu.

Katanya, kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kanser payudara pada peringkat awal amat penting kerana rawatan moden berupaya menyelamatkan nyawa pesakit.

"Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal, antaranya menyediakan pemeriksaan di hospital terpilih, selain ceramah kesedaran yang dikendalikan agensi bertanggungjawab.

"Kerajaan menyediakan peruntukan besar setiap tahun menjayakan program kesedaran dan pemeriksaan percuma," katanya pada Program Kesedaran Kanser Payudara, di sini, baru-baru ini.

Program tinjauan mesra kanser berkenaan membabitkan aktiviti penyampaian sumbangan keperluan harian kepada lebih 30 penghidap kanser payudara di Kampung Pandan, KotaSaS dan Sungai Karang, di sini.

Shahaniza (kiri) bertanya khabar kepada Nurul Akma ketika menghadiri pada Program Kesedaran Kanser Payudara di KotaSaS, Kuantan, baru-baru ini. - Foto/Mohd Rafi Mamat
Shahaniza (kiri) bertanya khabar kepada Nurul Akma ketika menghadiri pada Program Kesedaran Kanser Payudara di KotaSaS, Kuantan, baru-baru ini. - Foto/Mohd Rafi Mamat

Shahaniza berkata, selain ceramah secara bersemuka, program kesedaran boleh dilakukan dengan cara menghasilkan video yang mengkisahkan pengalaman mereka yang pernah menghidap kanser payudara.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nurul Akma Reduan 31, berkata tahap kesihatannya semakin menurun sehingga pernah terjatuh mendorong dirinya untuk membuat pemeriksaan doktor.

Katanya, beliau tidak menyangka hasil pemeriksaan itu mengesahkan dirinya menghidap kanser payudara tahap dua.

Detik menakutkan itu dilalui beliau, dua tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

"Hanya Allah yang mengetahui perasaan selepas doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara. Saya bersyukur kerana suami, keluarga dan rakan banyak memberi sokongan untuk melawan penyakit ini.

"Saya menjalani enam kemoterapi serta 15 rawatan radioterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh setahun.

"Tahun lalu, saya juga terpaksa menerima hakikat walaupun sukar untuk membuat pembedahan membuang payudara kanan kerana tidak mahu penyakit itu merebak," katanya yang berasal dari Padang Piol, Jerantut.

Kini, beliau bersyukur tahap kesihatannya bertambah baik dan dapat meneruskan tugas seharian sebagai pegawai makmal dengan syarikat swasta di Gebeng, di sini.

Katanya, selain mesti menguatkan semangat beliau perlu makan ubat setiap hari dan doktor juga tidak membenarkannya mengandung dalam tempoh rawatan.

Bagi Wan Saudah Wan Abdul Rafar, 63, mendapat penyakit berkenaan sejak tiga tahun lalu juga terpaksa menjalani pembedahan membuang payudara kanannya.

"Sebelum ini saya menjalani enam kemoterapi serta 15 radioterapi, selain perlu makan ubat setiap hari," kata nenek kepada enam cucu itu.

"Saya bersyukur tahap kesihatan semakin baik dengan sokongan kuat anak, menantu serta saudara," kata nenek kepada enam cucu itu.

Berita Harian X