Khamis, 22 Oktober 2020 | 10:30am
Pendidikan seksualiti perlu elak undang pelbagai implikasi buruk terhadap moral, sahsiah dan sosial remaja. - Gambar hiasan
Pendidikan seksualiti perlu elak undang pelbagai implikasi buruk terhadap moral, sahsiah dan sosial remaja. - Gambar hiasan
Peranan ibu bapa awasi anak elak mereka beralih kepada rakan sebaya atau orang luar sebagai tempat berkongsi cerita serta masalah. - Gambar hiasan
Peranan ibu bapa awasi anak elak mereka beralih kepada rakan sebaya atau orang luar sebagai tempat berkongsi cerita serta masalah. - Gambar hiasan

Pendidikan seksualiti, cegah seks luar nikah

KUALA LUMPUR: Pendidikan seksualiti wajar dilihat sama penting dengan pendidikan akademik khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bagi mengelak golongan itu terdedah dengan keruntuhan sosial yang semakin membimbangkan seperti seks bebas.

Pakar pediatrik, Dr Anayasmin Azmi, berkata pendidikan seksualiti perlu digerakkan secara proaktif kerana pengabaian boleh mengundang pelbagai implikasi serius.

Katanya, sudah tiba masanya untuk semua pihak kibarkan slogan 'bermula di rumah'.

"Pendidikan seksualiti perlu dilihat sama penting dengan pendidikan lain seperti akademik kerana pengabaian aspek ini boleh memberi kesan mudarat seumur hidup kepada individu," katanya.

Beliau yang juga aktivis Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), berkata dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) siri kelima pada 2014 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendedahkan terdapat 3,980 kes remaja hamil luar nikah berumur antara 10 hingga 19 tahun.

Dr Anayasmin berkata permasalahan itu perlu ditangani dengan penyelesaian yang tuntas kerana ia membabitkan anak kecil dan remaja.

"Kita berada dalam era hyperseksualiti, di mana ramai individu yang mindanya dipenuhi fantasi seksual diikuti tabiat menonton pornografi, zina, masturbasi keterlaluan dan pedofilia.

"Siasatan oleh LPPKN ke atas dua rumah perlindungan remaja hamil mendapati antara punca utama remaja terbabit dengan kehamilan luar nikah adalah faktor pengabaian tanggungjawab oleh ibu bapa khususnya dalam memberikan didikan agama, perceraian ibu bapa dan juga kurang komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak.

"Ini menyebabkan mereka beralih kepada rakan sebaya atau orang luar sebagai tempat berkongsi cerita dan masalah," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Katanya, kajian LPPKN mengenai pengetahuan remaja berkaitan pencegahan kehamilan, mendapati cuma 30 peratus daripadanya cakna mengenai cara mencegah daripada mengadakan hubungan seks sebelum nikah.

"Dalam kajian itu, sekitar 80 peratus mengaku tahu mengenai kondom, 60 peratus tahu berkenaan pil perancang , tetapi hanya sekitar 30 peratus cakna bagaimana mencegah hubungan sebelum pernikahan.

"Antara lain, kajian melalui Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) pada 2012 melaporkan 50 peratus remaja mengaku melakukan hubungan seks luar nikah dan 49.7 peratus daripadanya mengadakan hubungan intim dengan lebih daripada seorang pasangan.

"Di sini penekanan yang kita perlu berikan dan ia perlulah berterusan sejak bayi sehingga dewasa supaya ia berkesan," katanya.

Dr Anayasmin berkata, pendidikan seksualiti daripada perspektif Islam perlu diterapkan kerana ia pendekatan yang lebih tepat dan menyeluruh serta sentiasa terkait dengan akidah, syariat, akhlak, adab dan ibadah.

"Sebagai kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar, mereka perlu dibimbing akan apa yang betul dan salah supaya mampu membuat keputusan terbaik dan jelas.

"Konsep Barat yang permisif dan hanya memfokuskan kepada mencegah kehamilan dan penularan penyakit kelamin cuma menyelesaikan masalah secara 'superficial' (dasar), bahkan ada aspek yang menyimpang daripada sosiobudaya negara kita," katanya.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu mengambil kira aspek agama sebagai satu komponen bagi penyelesaian isu ini.

"Tidak dinafikan, isu pendidikan seksualiti sudah berdekad lamanya dibincangkan di negara ini.

"Namun, tidak sesuai sekiranya kita mengambil pakai secara terus pendidikan seks dari Barat seperti pendidikan seksual secara menyeluruh yang tidak bertepatan dengan Perlembagaan yang mana Islam adalah agama persekutuan dan sosiobudaya masyarakat Malaysia yang penuh tatasusila dan adab ketimuran.

"'Abstinence only' (menahan diri daripada melakukan hubungan seks) pula banyak dikritik di Barat sebagai tidak berkesan. Ini disebabkan acuan Barat ini hanya fokus menjauhi hubungan intim tanpa pendidikan berterusan yang membantu menguruskan nafsu," katanya.

Menyentuh konsep 'abstincence' mengikut acuan Islam, beliau berkata, ia bermula daripada larangan mendekati zina mengikut konsep 'La Taqrabuzzina', iaitu penting kawalan nafsu dalam hal pergaulan, tidak berdua-duaan, memastikan pakaian menutup aurat, menjauhi menonton pornografi dan seumpamanya.

Katanya, usaha kerajaan melalui pelbagai modul seperti Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Modul Cakna Diri, LPPKN sangat baik dan perlu terus dimurnikan supaya ia dapat disampaikan secara berkesan.

"Apa sahaja modul atau dasar yang mahu diadaptasi perlulah diteliti akan kandungannya dan bagaimana ia disampaikan supaya sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama persekutuan dan juga sosiobudaya masyarakat," katanya.

Berita Harian X